Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

hidayah

NIAT bantu ubah amalan harian jadi ibadah

Jun 08, 2023 | 05:32 PM



Pernahkah anda terbayang bahawa perbuatan seharian kita, walau sekecil mana pun, boleh diberi ganjaran yang berlipat ganda?

Perbuatan yang telah menjadi rutin harian seperti pergi ke kerja, memasak, meluangkan masa bersama keluarga, sehinggakan makan dan minum, semuanya boleh dianggap sebagai ibadah jika hanya disertakan dengan niat yang tulus. 

Sabda Baginda saw: “Sesungguhnya setiap perbuatan tergantung pada niat dan setiap orang akan mendapatkan seperti apa yang dia niatkan.”


Hadis Nabi saw yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dan Muslim ini sering kali disebut dan ditekankan agama.


Malah, ia merupakan hadis pertama yang dibincangkan dalam kitab Hadis 40 oleh Imam An-Nawawi.


Begitu pentingnya niat, walau hanya merupakan amaliyah qolbiyah atau amalan hati, ia boleh menjadikan amalan seharian kita sebagai suatu ibadah.


MAKSUD NIAT & IBADAH

Niat dari segi bahasa menurut Al-Mu’jam Al-Wasith adalah mengarah diri kepada sesuatu perbuatan. Manakala menurut dewan bahasa dan pustaka pula, niat adalah maksud atau tujuan sesuatu perbuatan.


Menurut Imam An-Nawawi dalam kitab Al-Majmu’, niat dari segi istilah adalah keazaman (tekad) di dalam hati di atas setiap perkara yang fardu dan selain daripadanya (wajib).


Para ulama pula mentafsirkan ibadah sebagai segala bentuk perbuatan yang mendapatkan keredaan, kasih sayang dan rahmat Allah swt – sama ada ada dalam bentuk amalan atau ucapan yang zahir mahupun batin.


Justeru, kita dapat perhatikan bahawa niat dan ibadah berkait rapat sepertimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra bahawa Nabi saw pernah bersabda:


“Sesungguhnya Allah swt tidak melihat kepada rupa dan harta kamu. Akan tetapi Allah swt melihat kepada hati dan amalan kamu.” (HR Muslim).


JENIS IBADAH

Terdapat dua jenis ibadah dalam perspektif Islam iaitu ibadah khas dan ibadah am.

Ibadah khas merupakan amalan diperintahkan oleh syarak yang wajib dilakukan seperti yang terkandung dalam rukun Islam dan iman (solat, puasa, zakat, haji dan selainnya).

Ibadah am pula merupakan segala amalan dalam kehidupan seharian kita yang diniatkan untuk meraih keredaan Allah swt.


Seperti contoh, ketika seseorang niatkan kerjanya sebagai suatu ibadah, beliau bukan sahaja meraih pahala atas niatnya itu.

Malah, beliau secara tidak langsung akan lebih bersungguh-sungguh menghasilkan kerja berkualiti dan akhirnya mencapai kecemerlangan dengan izin Allah.

Maka sungguh rugi jika seseorang mengorbankan waktu dan tenaga untuk melaksanakan sesuatu amalan tanpa bersertakan niat beribadah.

Firman Allah swt dalam Surah An-Nur ayat 37:


“(Ibadah itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual beli daripada menyebut serta mengingati Allah dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.”


SYARAT IBADAH

Sesuatu amalan dijadikan ibadah apabila mencukupi dua syarat:

1) Niat kerana Allah

Seperti yang diterangkan sebelum ini, niat merupakan dasar utama atas perbuatan seseorang Muslim. Sesuatu perkara boleh dianggap bernilai atau tidak, menghasilkan pahala atau sia-sia, bergantung hanya pada niat.

2) Cara yang dilaksanakan haruslah sesuai dengan syariat Islam

Sesuatu perkara menjadi ibadah hanya jika ia sesuai dengan syariat serta ajaran Islam. Sebagai contoh, amalan seperti makan dan minum haruslah merupakan sesuatu yang halal dan bukan dilarang agama.

Menghiasi diri dengan pakaian juga menjadi ibadah hanya jika ia menutupi aurat sepertimana yang digariskan dalam ayat-ayat Al-Quran dan hadis Nabi saw.


Namun, jika amalan-amalan ini dilaksanakan tanpa niat untuk mendapatkan keredaan Allah, maka ia tidak dianggap sebagai suatu ibadah. Malah, ia hanya dianggap sebagai suatu adat atau kebiasaan yang tidak diberi ganjaran atau pahala.

IKHLAS DALAM BERIBADAH

Sebagaimana niat begitu penting dalam melaksanakan sesuatu perkara, ia juga penting untuk menyertakan keikhlasan dalam beramal.

Ikhlas bermaksud mengerjakan sesuatu semata-mata kerana Allah, tanpa paksaan dan tanpa mengharapkan balasan daripada orang lain, kecuali balasan daripada-Nya.

Niat dan keikhlasan merupakan dua perbuatan hati yang tidak diketahui sesiapa kecuali diri sendiri. Hanya diri sendiri yang boleh menentukan sama ada niat kita baik atau tidak dan kita sendiri mampu menilai sama ada kita benar-benar ikhlas dalam melaksanakan sesuatu ibadah atau sebaliknya.

Justeru, niat, ibadah dan keikhlasan sangat berhubung rapat.

Jika niat merupakan dasar utama suatu amalan, keikhlasan pula merupakan faktor terpenting dalam pelaksanaannya.

Firman Allah swt dalam Surah Al-A’raf ayat 29:


“Dan sembahlah Dia dengan mengikhlaskan ibadah semata-mata hanya kepada-Nya. Kamu akan dikembalikan kepada-Nya sebagaimana kamu diciptakan.”


KEPENTINGAN IKHLAS

Ikhlas dari segi bahasa adalah menyucikan sesuatu. Manakala dari segi istilah, ikhlas adalah menyucikan amalan dengan niat yang betul, iaitu kerana Allah swt, serta menghalang atau menjauhkan amalan tersebut daripada sifat menyekutukan Allah swt iaitu syirik.


Ini selaras dengan firman-Nya dalam Surah Al-Bayyinah ayat 5:

“Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah swt dengan mengikhlaskan ibadah kepada-Nya”.


Dalam mengerjakan amal bersertakan niat dan keikhlasan, ini sekali gus dapat meningkatkan keimanan dan ketakwaan seorang mukmin.

Ketakwaan – menuruti segala perintah Tuhan dan menjauhi larangan-Nya – bukan sekadar diucapkan pada lidah, namun dipraktikkan oleh perbuatan.

Ketakwaan inilah yang menjadikan seseorang itu mulia di sisi Allah swt. Sepertimana yang disebut dalam Surah Al-Hujurat ayat 13:


“Sesungguhnya yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling bertakwa.”


Firman Allah swt:


Sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia menyekutukan sesiapa pun dalam ibadah kepada Tuhannya”. (Surah Al-Kahfi: 110).


PENUTUP

Kesimpulannya, niat boleh dianggap sebagai kayu ukur sama ada sesuatu amalan itu diterima atau tidak.

Niat memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju setiap amal.

Kadangkala, riak, ujub dan takabur boleh berlaku ketika melaksanakan sesuatu amalan. Maka, penting untuk kita sentiasa meperbaharui niat dan berjaga-jaga dengan lintasan hati supaya terhindar daripada sifat-sifat dicela ini.

Semoga Allah swt memberkati kami dengan keikhlasan dalam beramal serta menyucikan niat dan amal ibadah kita daripada sifat-sifat mazmumah, amin insya-Allah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >