Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21

Banjir kilat landa Bukit Tinggi, tapak pelancongan ditutup

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Malaysia
41333
0

Banjir kilat landa Bukit Tinggi, tapak pelancongan ditutup

Nov 27, 2023 | 01:03 PM



Bukit Tinggi iaitu antara kawasan pelancongan terkenal di Pahang, sekali lagi dilanda banjir kilat pada Sabtu malam, yang disifatkan terburuk dalam tempoh dua tahun.

Banjir kilat akibat hujan berterusan selama beberapa jam bukan saja menyebabkan kerosakan kediaman dan kehilangan harta benda akibat dihanyutkan arus deras, bahkan menjejas operasi perniagaan yang turut mengalami kerugian.

Kejadian banjir di Bukit Tinggi itu yang tular di media sosial turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan orang ramai yang ingin berkunjung ke kawasan berkenaan dan Janda Baik, sehingga ada yang membatalkan percutian dan tempahan chalet.

Kesan banjir juga menyebabkan penutupan sementara jalan utama ke Janda Baik melalui Kampung Bukit Tinggi akibat tanah runtuh, pokok tumbang dan kerosakan jalan.

Namun orang ramai masih boleh ke Janda Baik menggunakan laluan alternatif.

Menurut kenyataan Jabatan Kerja Raya Daerah Bentong, laluan berkenaan ditutup kepada semua kenderaan selama lima hari sehingga 1 Disember demi keselamatan awam dan kerja pembaikan.

Orang ramai yang ingin ke Janda Baik boleh menggunakan hanya satu laluan alternatif iaitu Lebuh Raya Kuala Lumpur Karak ke Persimpangan Bukit Tinggi menuju ke stesen minyak BHP Bukit Tinggi dan melalui Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Tinggi.

Seorang penduduk, Encik Wong Chee Siang, 30-an tahun yang berkongsi detik cemas ketika kejadian, berkata banjir kali ketiga terjadi dalam tempoh dua tahun, menghanyutkan banyak barang perniagaan bapanya selepas tembok restoran mereka runtuh akibat bencana tersebut.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Encik Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ahli Parlimen (AP) Bentong, Cik Young Syefura Othman, turut meninjau kesan kejadian di Kampung Bukit Tinggi.

Berdasarkan perkongsian di laman Facebook rasminya, Encik Nik Nazmi berkata siasatan awal mendapati banjir itu berpunca daripada kepala air yang kemudian menyebabkan aliran air deras dan kerosakan pada kediaman, pusat perniagaan dan harta benda.

Beliau turut mengarahkan siasatan segera dilaksanakan untuk mengenal pasti punca banjir puing di Bukit Tinggi, susulan dakwaan mengatakan kejadian berlaku disebabkan kegiatan penerokaan haram di sekitar kawasan hutan simpanan di situ.

“Saya akan mendapat laporan terperinci sebelum melihat langkah penyelesaian terbaik. Tapak-tapak air terjun sudah ditutup dari dikunjungi orang ramai.

“Saya menasihatkan orang ramai supaya mengelak daripada mengunjungi tapak perkhemahan di cerun dan tepi sungai ketika musim hujan ini demi keselamatan semua,” katanya.

Dalam pada itu, perkembangan banjir menyaksikan jumlah mangsa di Kelantan meningkat, manakala Terengganu dan Selangor semakin pulih.

Bagaimanapun, banjir kali ini menyaksikan seorang kanak-kanak lelaki berusia 18 bulan menjadi korban pertama banjir selepas dia ditemui lemas selepas tergelincir ke dalam sungai di belakang rumahnya di Kampung Kenari, Kota Bharu, Kelantan, pada Ahad.

Berdasarkan maklumat di portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), hanya Kelantan yang merekodkan pertambahan jumlah mangsa iaitu 718 orang di empat pusat pemindahan sementara (PPS) masing-masing dua di Pasir Mas dan dua di Bachok.

Terengganu pula menyaksikan penurunan mendadak jumlah mangsa kepada 148 orang di lima PPS membabitkan daerah Kuala Terengganu, Setiu, Dungun dan Besut, manakala Selangor kekal dengan 83 mangsa di dua PPS di Kuala Selangor.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >