Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Percepat naikkan gaji asatizah: Pengamat, guru agama

Gesa agar setimpal kepakaran, khidmat namun elak saingan lemahkan institusi kurang mantap dari segi kewangan
Jul 23, 2023 | 05:30 AM




Sebaik sahaja tamat pengajian sekitar lima tahun di sebuah institut pengajian tinggi di Timur Tengah, beliau memutuskan untuk menyumbang tenaga sebagai pegawai dakwah di sebuah masjid di Singapura.

Jangkaan gaji beliau pada masa itu yang sekitar $2,000, ditetapkan berdasarkan tinjauan gaji sektor tersebut dan pengalaman rakan sebidang, dipenuhi oleh majikannya.

Kini – setelah lebih enam tahun bekerja di tempat sama – gaji beliau, yang tidak mahu namanya didedah, masih kurang $2,700 sebulan.

Meskipun mengakui pelbagai usaha telah dijalankan bagi menaikkan gaji asatizah, beliau berkata pelaksanaan usaha itu masih bergantung pada keupayaan dan ketersediaan majikan sendiri.

“Tugas sebagai asatizah ini memerlukan sijil yang memerlukan kami belajar selama empat hingga lima tahun di luar negara, dan tawaran gaji sekitar $2,000 sebulan apabila kami kembali ke sini jelas tidak setimpal.

“Memang tugas, tanggungjawab, sumbangan, pengorbanan bagi masyarakat merupakan dorongan utama untuk kami berkhidmat. Tapi ada perbezaan antara berkorban untuk masyarakat dengan rasa diremehkan,” kata beliau semasa ditemui Berita Minggu.


USAHA NAIKKAN GAJI ASATIZAH DALAM TIGA TAHUN

Soal gaji asatizah telah lama dibincangkan, dengan pengamat dan asatizah sendiri menggesa agar dipercepat usaha menaikkan gaji mereka dan merapatkan jurangnya dengan gaji sektor lain.

Gesaan tersebut semakin lantang sedang pelbagai daya usaha dilakukan oleh pemerintah untuk memastikan tangga gaji lebih progresif bagi beberapa sektor, termasuk pekerja pembersihan dan penyenggaraan serta keselamatan.

Pada 2019, Jawatankuasa Asatizah Masa Depan (Cofa) mengemukakan saranan Garis Panduan Gaji Umum (CSG) bagi asatizah masjid dan madrasah. Ia bertujuan memastikan asatizah diberi pampasan adil berdasarkan kecekapan dan nilai yang mereka bawa kepada pekerjaan mereka.

Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) akan melaksana CSG Asatizah secara berperingkat dari 2023, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, dalam jawapan bertulisnya kepada soalan Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Encik Abdul Samad Abdul Wahab, pada awal bulan ini.

Muis mendedahkan baru-baru ini ia akan memperuntukkan tempoh tiga tahun bagi perlaksanaan tersebut.

Pada Mei 2022, Encik Masagos mengumumkan Muis akan bekerjasama dengan madrasah dan masjid untuk melaksana CSG Asatizah, dengan pelarasan gaji disokong oleh sistem berasaskan prestasi dan dengan memanfaatkan Wakaf Masyarakat Singapura (WMS), antara lain.

Para pengamat berkata soal gaji asatizah semakin mendapat perhatian sekarang memandangkan peranan mereka kini bertambah penting terutama dalam persekitaran sosioagama yang lebih mencabar sekarang.

Asatizah harus berasa sumbangan mereka kepada sektor keagamaan di sini dihargai, kata Penganalisis Hal Ehwal Antarabangsa Kanan di Solaris Strategies Singapore, Dr Mustafa Izzuddin.

“Mereka perlu diberikan insentif supaya mereka kekal menyumbang kepada masjid dan madrasah dan tidak tinggalkan sektor ini kerana berasa masa dan usaha mereka akan lebih dihargai di sektor lain,” ujar beliau.

Meskipun langkah memperbaiki gaji asatizah sudah dimulakan, pengamat menggesa usaha itu dipercepat agar jurang gaji antara sektor keagamaan dengan sektor lain yang sudah pun besar tidak semakin luas.

Ini terutama sekali kerana kos sara hidup semakin meningkat, kata Naib Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Abdul Samad Abdul Wahab.

“Berdasarkan maklum balas daripada interaksi saya bersama asatizah, kemajuan dalam mencari huraian bagi isu ini agak lambat, dan ia memerlukan usaha segera, terutama sekali dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Pihak berkuasa seperti Muis dan Pergas (Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura) perlu mempertingkat usaha dan melakukan semakan bagi mengelakkan jurang (gaji asatizah dengan pekerja sektor lain) semakin luas,” ujar Encik Abdul Samad.

Beliau berpandangan gaji minimum sekurang-kurangnya $3,000 perlu diberi kepada asatizah berkelulusan universiti agar “setara dengan siswazah dalam sektor perkhidmatan dan sokongan”.

Gaji median kasar bulanan siswazah baru jurusan kemanusiaan dan sains kemasyarakatan yang bekerja tetap sepenuh masa pada tahun lalu ialah $3,800, menurut Tinjauan Bersama Pekerjaan Siswazah Universiti Berautonomi 2022.

Tinjauan itu dijalankan bersama oleh Universiti Nasional Singapura (NUS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Universiti Pengurusan Singapura (SMU) dan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).

BERAPA GAJI YANG WAJAR BAGI ASATIZAH?

Persekitaran sosioagama sekarang menimbulkan pelbagai cabaran baru dan memerlukan asatizah mempertingkat diri dari segi kelulusan, kepakaran dan keupayaan.

Justeru, gaji yang dibayar kepada mereka perlu setimpal dengan tiga perkara itu serta khidmat, masa dan tenaga yang mereka beri, kata bendahari kehormat Majlis Tertinggi Pergas, Ustazah Nadia Hanim Abdul Rahman.

“Kalau tanya sebahagian asatizah, mungkin mereka katakan mereka percaya pada keberkatan rezeki, tapi pihak yang membayar (gaji) perlu faham bahawa mereka telah melakukan pelbagai pengorbanan,” ujar Ustazah Nadia Hanim.

Pergas melaksana Model Gaji Progresif (PWM) bagi asatizah yang bekerja di persatuan itu secara rasmi sejak tahun lalu, dengan gaji mereka ditetapkan antara $2,400 dengan $7,500 sebulan.

Lebih 80 peratus warga kerja Pergas terdiri daripada asatizah, termasuk dalam jawatan mengajar, pembangunan dasar, pentadbiran pertubuhan dan penyelidikan.

Mengenai pelaksanaan CSG, Ketua Sumber Manusia Muis, Cik Indahsuria Mokhtar, berkata antara faktor yang menjadi pertimbangan dalam pembentukan CSG ialah siapa ‘pesaing’ sektor keagamaan dan gaji yang mereka tawarkan.

“Faktor utama ialah... ke sektor mana yang asatizah mungkin berpindah kerja, contohnya, sekolah nasional atau sektor perkhidmatan sosial.

“Jadi, kita perlu tahu berapa gaji yang ditawarkan oleh sektor ini untuk bersaing dengan sektor keagamaan,” katanya.

Menurut Cik Indahsuria, Muis mengalu-alukan institusi mengambil inisiatif melaksana langkah menaikkan gaji asatizah lebih awal dari tempoh tiga tahun yang ditentukan.

“Bagi institusi yang mampu menaikkan gaji terus kepada paras minimum garis panduan umum itu, kami sangat alu-alukan,” kata beliau.

CABARAN PELAKSANAAN

Cik Indahsuria mengakui usaha menaikkan gaji asatizah turut bergantung kepada keupayaan madrasah, masjid dan institusi dalam sektor itu.

Justeru tempoh tiga tahun yang diberikan itu bertujuan memberi masa kepada majikan untuk menyesuaikan diri dengan CSG itu dengan mengukur kestabilan kewangan mereka bagi melaksanakanya, kata beliau.

“Mungkin ada institusi kecil yang menghadapi kesukaran untuk naikkan gaji dengan banyak kerana situasi kewangan mereka, justeru kita perlu berhati-hati dalam pelaksanaan CSG.

“Kita tidak mahu berlakunya persaingan tidak sihat antara institusi, dengan institusi lebih mantap (dari segi kewangan) akan lebih menyerlah daripada yang lain,” kata Cik Indahsuria.

Beliau menambah bahawa Muis akan bekerjasama dengan institusi-institusi dalam melaksanakan CSG itu.

Dalam pada itu, perubahan ke atas gaji asatizah turut memerlukan ekosistem kukuh yang bukan dibentuk oleh pertubuhan sahaja, bahkan masyarakat.

Anggota masyarakat Islam juga perlu memainkan peranan mereka dalam usaha itu.

“Memang keupayaan kewangan pertubuhan atau majikan yang mengambil asatizah bekerja adalah antara faktor utama yang menentukan gaji.

“Tapi pada masa sama, masyarakat juga perlu mengubah minda, terutama sekali dalam membayar bagi khidmat asatizah,” kata Encik Abdul Samad. 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >