Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

SKANDAL KES PEMBUNUHAN PEGAWAI KANAN POLIS DI INDONESIA

Presiden Jokowi arah seret penjenayah ke pengadilan

Aug 16, 2022 | 05:30 AM



IBARAT sebuah filem penuh aksi yang jalan ceritanya sangat mendebarkan - dipenuhi watak 'berwibawa', sarat dengan persoalan, tindakan terancang, komplot, konspirasi, serangan seksual, pembunuhan kejam dan diakhiri dengan seorang inspektor jeneral polis dan tiga yang lain berdepan tuduhan membunuh.



Hakikatnya, kes amat tragis ini bukan satu khayalan apa lagi dongeng, sebaliknya satu skandal besar berlaku di Jakarta Selatan, melibatkan seorang pegawai pemerintah dan puluhan anggota polis Indonesia - yang cuba 'tutup kes' berdasarkan arahan pegawai tersebut.



Sejak awal Julai lalu, rakyat Indonesia - termasuk di Singapura - digemparkan dengan kes penuh teka-teki dan menggiurkan ini.



Kontroversi timbul apabila polis pada 11 Julai lalu melaporkan kematian seorang pegawainya, Brigadier Nofriansyah Yosua Hutabarat atau 'Brigadier J', 28 tahun, akibat "kejadian berbalas tembak" - yakni tiga hari selepas pembunuhan berlaku.



'Brigadier J' adalah pembantu Inspektor Jeneral Polis Ferdy Sambo (FS), 49 tahun. Sebelum dipecat dua minggu lalu, Ferdy adalah ketua jabatan ehwal dalaman polis di Ibu Pejabat Briged Mobil (Brimob), luar Jakarta.



Namun apabila jenazah 'Brigadier J' diterima pihak keluarga, mereka mendapati keadaannya dipenuhi tanda kecederaan sangat teruk.



Mereka berasakan adanya perbuatan khianat, melantik peguam untuk memfailkannya sebagai kes bunuh dan mendesak bedah siasat kedua dilakukan ke atas mayat mangsa.



Ini setelah mereka menyaksikan pelbagai kesan luka di bahu, kaki, jari-jari, dagu, ketiak, belakang ketiak yang panjangnya lebih kurang sejengkal, dan telinga bengkak.



Selain itu, ada juga bekas luka di kaki seperti terkena senjata tajam tetapi lukanya sudah dijahit.



Akibat kesemua penemuan ini, Ketua Polis Indonesia, Jeneral Drs Listyo Sigit Prabowo, mengarahkan pembentukan pasukan penyiasat kedua, mengadakan bedah siasat kedua melibatkan pasukan doktor forensik bebas lewat bulan lalu.



Menurut ketua pasukan forensik, Dr Ade Firmansyah Sugiharto, hasil penuh bedah siasat akan diketahui lewat bulan ini.



"Kami menemui banyak kesan luka. Bagaimanapun kami tidak dapat pastikan sama ada kecederaan berlaku sebelum atau selepas kematian. Malah punca kematian belum dapat dipastikan," ujarnya yang ditukil media tempatan, tirto.id, minggu lalu.



Kes kematian 'Brigadier J' mengambil masa lebih sebulan sebelum Polis Nasional akhirnya tampil dengan tuduhan serius ke atas Ferdy, yang dilihat ramai sebagai "tidak boleh disentuh" dalam kes pembunuhan dipercayai berlaku di rumahnya di Jalan Saguling, Duren Tiga, Pancoran, Jakarta Selatan.



Tekanan orang ramai telah menarik campur tangan Presiden Indonesia, Encik Joko 'Jokowi' Widodo, yang tegas mengarahkan polis negara itu menyiasat sehingga ke akar umbi dan tidak membiarkan nama baik polis tercalar.



"Semenjak awal, saya telah meminta aparat terkait (pasukan penyiasat polis) untuk mengusut tuntas kes penembakan yang menewaskan anggota Polri Brigadier Nofriansyah Yoshua Hutabarat tanpa keraguan.



"Jangan ada yang ditutup-tutupi. Ungkap kebenaran apa adanya," tegasnya di Facebook pada 9 Ogos lalu.



Pembunuhan 'Brigadier J' dikatakan berlaku selepas mangsa didakwa melakukan serangan seksual ke atas isteri Ferdy.



Akibat tindakan itu, Ferdy dan tiga suspek lain dituduh merancang membunuh 'Brigadier J' pada 8 Julai lalu.



Tiga lagi suspek terlibat dalam kes pembunuhan itu ialah:



■ Pegawai Peronda Polis juga Pengawal Ferdy, Richard Eliezer (RE) atau Bharada E;



■ Brigadier Ricky Rizal atau Brigadier RR; dan,



■ Kuat Ma'ruf (KM), orang awam, yang tugasnya menjaga rumah dan pemandu isteri Ferdy, Cik Putri Candrawathi (PC).



Dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis di Jakarta Selatan minggu lalu, yang turut diikuti Berita Harian (BH) secara maya, Drs Listyo berkata tertuduh cuba menyembunyikan pembunuhan itu dengan cara mengatur keadaan yang mewujudkan kesan jenayah serta mengada-adakan cerita bahawa mangsa terbunuh semasa berbalas tembak dengan anggota polis lain.



Bagi memberi gambaran adanya tindakan berbalas tembak tertuduh menggunakan pistol dan menembak ke tembok beberapa kali, katanya.



Pengarah Jenayah Umum Ibu Pejabat Polis, Brigadier Jeneral Andi Rian, berkata Ferdy telah mengaku mengarahkan pembunuhan tersebut.



"Dalam keterangannya, FS mengatakan bahawa dirinya marah dan emosi setelah mendapat laporan daripada isterinya, PC, yang mendapat perlakuan yang melukai harkat martabat keluarga di Magelang yang dilakukan 'Brigadier J'.



"FS memanggil RE dan RR untuk merancang pembunuhan terhadap Almarhum Yosua," kata Brigadier Jeneral Andi.



Ketua Agensi Siasatan Jenayah Polis Nasional, Pesuruhjaya Jeneral Agus Andrianto, menyatakan kesemua empat suspek menghadapi tuduhan melakukan pembunuhan terancang dan sekiranya mereka didapati bersalah, berdepan "hukuman mati, penjara seumur hidup, atau penjara selama-lamanya 20 tahun".



Peguam Eliezer, Encik Muhammad Burhanuddin, dipetik media tempatan sebagai berkata anak guamnya sedia "bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk membongkar kes" di bawah undang-undang Perlindungan Saksi dan Mangsa, dan mahu mendapat keringanan daripada tindakan itu.



Sejauh ini, sekurang-kurangnya 31 pegawai polis berdepan dengan tindakan tatatertib atas salah laku manakala sekurang-kurangnya 10 pegawai tinggi telah dilucutkan daripada jawatan mereka atau digantung tugas atas pelbagai dakwaan termasuk merosakkan bukti di tempat kejadian dan percubaan "tutup kes".



Menteri Penyelaras bagi Ehwal Politik, Undang-Undang dan Keselamatan, Encik Mohammad Mahfud MD, memberitahu keluarga mangsa dan peguam mereka minggu lalu bahawa kes ini "bukan satu kes jenayah biasa".



Beliau berharap kes ini dapat segera dibawa ke mahkamah agar pelakunya dipertanggungjawabkan.



Kata mantan Ketua Hakim Mahkamah Perlembagaan itu: "Harapnya ia tidak mengambil masa begitu lama dan akan dibawa ke mahkamah dengan tuduhan dan pendakwaan serius. Kami akan menyelia pejabat pendakwaraya sekarang dan mendorong mereka untuk punya semangat serupa polis."




"Semenjak awal, saya telah meminta aparat terkait (pasukan penyiasat polis) untuk mengusut tuntas kes penembakan yang menewaskan anggota Polri Brigadier Nofriansyah Yoshua Hutabarat tanpa keraguan.
Jangan ada yang ditutup-tutupi. Ungkap kebenaran apa adanya."
- Presiden Indonesia, Encik Joko 'Jokowi' Widodo, di Facebook pada 9 Ogos.




Isteri suspek utama pembunuhan mengaku tulus cinta pada suami 



WANITA ditengah-tengah skandal kes pembunuhan, isteri bekas Inspektor Jeneral Ferdy Sambo, Cik Putri Candrawathi, mengakui "tulus mencintai" suaminya yang kini ditahan reman di ibu pejabat Markas Komando Korps (Mako Brimob) di Kelapa Dua Depok, Jawa Barat.



Semasa ditemui media tempatan sewaktu mengadakan pertemuan dengan suaminya yang berdepan tuduhan membunuh Brigadier Nofriansyah Yosua Hutabarat atau 'Brigadier J', beliau berkata:



"Saya Putri, bersama anak-anak mempercayai dan tulus mencintai suami saya," ucapnya dan turut meminta doa agar beliau dan keluarganya berupaya mengharungi keadaan ini.



"Saya mohon doa agar kami sekeluarga cepat menjalani masa yang sulit ini, dan ikhlas memaafkan segala perbuatan yang kami dan keluarga alami," kata Cik Putri yang didakwa menjadi serangan seksual 'Brigadier J', yang dilaporkan akhbar Pikiran Rakyat pada 9 Ogos.



Dalam pada itu, Pihak Lembaga Perlindungan Saksi dan Korban (LPSK) menyatakan, Cik Putri menzahirkan rasa malu, menangis semasa menjalani proses penilaian psikologi, dan lebih banyak mendiamkan diri.



"Sebetulnya belum ada apa pun yang kami perolehi, beliau menyatakan rasa malu untuk mengungkapkan.



"Lebih banyak diam, masih beberapa kali menangis. Sedikit informasi yang kami perolehi baik wawancara maupun arahan bertulis, seharusnya pemohonan melakukan, itu juga tidak dikerjakan," kata Wakil Ketua LPSK Edwin Partogi Pasaribu, yang ditukil Kompas.com menyentuh sesi penilaian yang dilakukan di rumah Cik Putri pada 9 Ogos lalu di Kompleks Pertambangan, Duren Tiga, Pancoran, Jakarta Selatan.



Sementara itu, ayah 'Brigadier J', Encik Samuel Hutabarat, sewaktu diwawancara akhbar Detik Sumatera Utara (detikSumut) pada bulan lalu mengatakan anaknya bercita-cita sejak kecil menjadi seorang anggota polis.



Mengongsi kisah anaknya, Encik Samuel yang masih diselimuti kesedihan bercerita bahawa anaknya tergila-gila menjadi seorang anggota polis.



Bahkan, setiap barang yang punya kaitan dengan polis, pasti dibeli. Hingga pada akhirnya cita-cita itu tercapai.



"Jadi saya masih ingat betul itu, waktu beliau kecil, beliau punya cita-cita jadi polis, sampai beliau kalau mahu beli baju itu yang baju polislah, yang ada gambar garis kuning-kuningnya di baju itu. Sampai beliau besar cita-citanya itu tercapai," ujar beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >