Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

PANDANGAN

Tinjauan: Kaitan kompleks antara Islam, politik dan masyarakat di Indonesia

Dec 27, 2022 | 05:30 AM



KUMPULAN hak asasi manusia di Indonesia dan di tempat-tempat lain, resah dengan pindaan kontroversial baru-baru ini terhadap kanun jenayah Indonesia (KUHP).



Antara lain, undang-undang itu, seperti yang dipinda, kini menyebut bahawa adalah menjadi satu kesalahan mengkritik presiden, ini menambah lagi kebimbangan akan mundurnya demokrasi negara itu di bawah pimpinan Presiden Indonesia, Encik Joko Widodo.



Tetapi, usaha pengukuhan "undang-undang moral" ini yang menimbulkan keresahan.



Apabila undang-undang ini dikuatkuasakan kelak, seks di luar pernikahan dan pasangan bersekedudukan yang belum berkahwin, menjadi satu kesalahan.



Pelakunya boleh dipenjara hingga satu tahun.



Secara kontroversi, ibu bapa, anak dan pasangan Indonesia boleh melaporkan pesalah yang didakwa (termasuk penzina dan mereka yang melakukan hubungan seksual di luar nikah) kepada polis.



Ini yang menimbulkan kekecohan dan kebimbangan, kerana fasal ini mungkin dijadikan sasaran yang tidak adil terhadap kumpulan LGBTQ (lesbian, gay, biseksual, transgender dan queer) dan individu, bukan sahaja terhadap pasangan heteroseksual yang belum berkahwin, malah warga asing dan pelancong juga.



Masih terlalu awal untuk memahami bagaimana undang-undang ini akan dan boleh dilaksana dan dikuatkuasakan.



Apakah ini suatu isyarat bahawa masyarakat Indonesia menjadi konservatif, justeru "langkah kontroversi" ini diambil, seperti yang dikatakan oleh beberapa cendekiawan?



TINJAUAN



Projek Tinjauan Kebangsaan Indonesia 2022 (INSP2022) yang ditugaskan oleh Iseas-Institut Yusof Ishak memberikan lebih nuansa.



(Ulasan ini memberi tumpuan kepada hasil tinjauan mengenai sikap umat Islam di Indonesia; laporan sebelum ini telah membahaskan tentang hubungan Sino-Indonesia dan keprihatinan dasar luar).



Tiga agama monoteistik utama di dunia, sepakat bersetuju bahawa hubungan seksual dibenarkan hanya antara pasangan hateroseksual yang sudah berkahwin.



Bagaimanapun, pelaku dosa itu dipertanggungjawabkan sendiri terhadap Ilahi dan perbuatan itu bukan satu jenayah dari segi sekular atau undang-undang.



Rakyat Indonesia, yang hidup dalam sebuah negara paling ramai panganut Islam di dunia, dengan sebilangan penganut Katolik, Protestan dan penganut minoriti Hindu, boleh pertikaikan bahawa seks di luar perkahwinan atau zina, adalah perbuatan yang tidak wajar dari segi sosial dan budaya.



Namun, selama ini, tidak ada undang-undang yang menjadikannya suatu jenayah atas perbuatan "dosa" seperti itu.



Secara umum, pemerintah sebelumnya juga tidak cuba mencampuri urusan peribadi rakyat Indonesia.



Dalam kehidupan masyarakat Islam pramodern, sebelum sesuatu pasangan didapati bersalah atas kesalahan berkaitan seks, perbuatannya harus disaksikan oleh empat orang dewasa, sesuai dengan prinsip Al-Quran.



Beberapa ulama Islam progresif berpendapat bahawa syarat ini secara tidak langsung bermakna Islam tidak mencampuri urusan kehidupan peribadi seseorang.



Tidak mungkin empat saksi boleh melihat perbuatan sedemikian yang dilakukan secara tertutup.



(Bagaimanapun, ini bukan bermaksud untuk mengatakan, tiada "jenayah" seperti ini yang dijatuhi hukuman di bawah undang-undang syariah dalam bidang kuasa Islam yang lain).



Terdapat banyak pemahaman tradisional yang menunjukkan bahawa Nabi Muhammad saw tidak cenderung untuk mendengar pengakuan pasangan yang telah berbuat dosa secara peribadi.



Apa yang menjadi keprihatinan dalam masyarakat Indonesia hari ini adalah semua parti politik sebulat suara bersetuju untuk menjenayahkan perbuatan "dosa" ini.



Adakah ini gara-gara tekanan masyarakat yang berfahaman konservatif?



Secara meluas, penemuan tinjauan INSP 2022 itu menunjukkan rakyat Indonesia masih berfahaman sederhana, sekular dan berbilang budaya dalam memberikan pandangan mereka.



Ketika ditanya sama ada Islam serasi dengan ideologi negara, iaitu Pancasila?



Hanya 13 peratus responden tidak bersetuju.



Salah satu daripada lima prinsip Pancasila, menggariskan keadilan sosial dan perpaduan, yang boleh memberi makna menghormati kepelbagaian.



Sekitar 61 peratus responden bersetuju supaya pemerintah membubarkan pertubuhan-pertubuhan Islam seperti Hizbut Tahrir Indonesia (HTI) dan Front Pembela Islam (FPI) jika mereka dianggap "membahayakan."



Bagaimanapun, 19 peratus tidak menyatakan pendirian mereka.



Hasil tinjauan ini boleh diertikan sebagai petunjuk bahawa sebahagian besar rakyat Indonesia tidak bertolak ansur dengan kumpulan eksklusif.



Lebih membimbangkan adalah, 29 peratus responden menyatakan, hanya Islam yang harus menjadi agama rasmi di Indonesia, sekalipun terdapat enam agama lain yang telah diiktiraf.



Sekitar 35 peratus bersetuju, undang-undang Islam dan syariah harus dibenarkan pelaksanaannya di peringkat daerah.



Walaupun Indonesia mempunyai penduduk majoriti beragama Islam, kebanyakan responden percaya bahawa Indonesia harus kekal sebagai sebuah negara sekular.



HAL BERTENTANGAN



Hanya satu hal yang bertentangan adalah, tinjauan itu mendedahkan bertambahnya fahaman eksklusif dan lebih separuh daripada responden bersetuju apabila mengundi dalam pilihan raya, yang lebih penting adalah memilih seorang pemimpin beragama Islam.



Lebih ketara lagi, 36 peratus responden percaya bahawa perbuatan menghina Islam harus dihukum lebih berat daripada menghina lain-lain agama.



Secara umum, sikap konservatif lebih kuat dalam kalangan responden; orang-orang Sunda, Minang dan mereka yang berada di Sumatera, Banten dan sebahagian Jakarta.



Tinjauan itu menanyakan soalan khusus kepada umat Islam, yang tidak diajukan kepada yang bukan Islam, untuk mengukur sejauh mana pegangan mereka yang beragama Islam.



Sekitar 93 peratus responden beragama Islam menunjukkan mereka berpuasa di bulan Ramadan, dan 80 peratus pula melaksanakan solat setiap hari.



Bagaimanapun, hanya 50 peratus responden membayar zakat. Sedangkan ini adalah satu daripada rukum Islam yang lima itu, yang diwajibkan ke atas mereka yang kaya dan berada di kelas pertengahan.



TUNAI HAJI



Sekitar 93.1 peratus responden beragama Islam belum menunaikan haji ke Makkah.



Sebab-sebab struktural dan polisi menjelaskan hasil tinjauan mengenai hal ini: mereka mungkin belum berkemampuan, justeru tidak diwajibkan untuk melaksanakan haji.



Mereka juga mungkin terlepas kuota yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi yang memberi kuota 100,000 jemaah bagi Indonesia, separuh daripada jumlah sebelum pandemik Covid-19.



Lebih menarik lagi, hanya 3.2 peratus sahaja umat Islam yang dilibatkan dalam tinjauan itu mengatakan, mereka tidak mahu mengerjakan haji.



Ini bermakna, pegaman agama umat Islam cukup kuat sekalipun mereka mungkin ada yang belum berkemampuan untuk ke Tanah Suci.



Pastinya terdapat perubahan dalam soal ekspresi identiti agama.



Hampir 70 peratus responden Muslim percaya bahawa wanita mesti memakai hijab, walaupun ada beberapa ulama di Indonesia, seperti Profesor Quraish Shihab, berhujah bahawa ini adalah soal pilihan seseorang.



Hanya 22 peratus umat Islam yang terlibat dalam tinjauan ini bersetuju bahawa ia adalah pilihan peribadi.



Kebanyakan mereka yang percaya bahawa pemakaian hijab adalah mandatori, terdiri daripada para pegawai kanan atau kakitangan pemerintah, karyawan dan pekerja perkhidmatan.



Sekitar 54 peratus pekerja umum, 63 peratus pekerja seni dan 57 peratus pekerja pertanian dan perikanan bersetuju bahawa pemakaian hijab adalah wajib bagi kaum wanita, berbanding 100 peratus para pegawai kanan dan 81 peratus karyawan yang terlibat dalam tinjauan ini.



Komitmen umat Islam dalam mengerjakan solat, berpuasa, zakat, haji dan pemakaian hijab bagi wanita, menunjukkan ketaatan peribadi.



Bagaimanapun, ini tidak semestinya bermakna esklusivisme Islam dalam masyarakat Indonesia lebih meluas.



Peralihan ke arah ketekunan peribadi beragama juga dilihat bersilang antara responden yang berpendidikan tinggi atau kedudukan sosioekonomi dan status penduduk bandar.



Mereka lebih berkemungkinan mempunyai akses yang lebih besar kepada wacana agama sejagat, termasuk di Eropah dan Amerika Syarikat, di mana umat Islam hidup sebagai minoriti.



Sebahagian umat Islam Indonesia mungkin menunjukkan kebiasaan atau penampilan umat Islam minoriti itu, yang ingin lebih tegas dengan identiti agama secara lebih ketara, berbanding apa yang perlu dilakukan oleh umat Islam yang tinggal di negara majoriti Islam.



RUMUSAN



Hasil tinjauan itu menunjukkan kaitan yang kompleks antara Islam, politik dengan masyarakat Indonesia.



Rakyat Indonesia tidak semestinya mendedahkan trend konservatif dalam beragama.



Kajian lanjutan mengenai topik ini harus meliputi perbualan dengan para pensyarah atau ulama di kampus-kampus Islam (terutama universiti Islam negeri, atau UIN) dan aktivis hak asasi Islam di merata negara itu.



Respons daripada kumpulan seperti itu mungkin dapat menunjukkan bahawa kebanyakan umat Islam di Indonesia tidak konservatif seperti yang difikirkan oleh ahli-ahli politik atau yang didakwa oleh mereka.



Menggandingkan semakan terbaru undang-undang jenayah Indonesia ini dengan adat istiadat sosial yang ketat, hasil kajian ini mendedahkan bahawa golongan elit dan ahli politik Indonesia mungkin tidak membaca sentimen Islam dengan teliti.



Ia mungkin bermakna ahli-ahli politik yang dipilih sekarang adalah konservatif, tetapi lebih berkemungkinan juga bahawa mereka bertindak kerana ada tekanan daripada beberapa kumpulan pelobi konservatif yang memiliki kuasa.



Tinjauan INSP 2022 ini mendapati bahawa umat Islam Indonesia tidak begitu konservatif secara homogen seperti yang ditunjukkan oleh kanun jenayah yang kontroversial ini.




► Dr Norshahril Saat ialah Zamil Kanan dan Penyelaras di Program Kajian Sosial dan Budaya Serantau, Iseas-Institut Yusof Ishak. Rencana ini pertama kali diterbitkan di halaman Fulcrum Singapura.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >