Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Siasatan CPIB terhadap Iswaran

Walau siasatan jejas reputasi, ketelusan pemerintah dapat perkukuh kepercayaan awam: Pengamat

Jul 13, 2023 | 08:07 PM



Walaupun siasatan oleh Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) yang melibatkan Menteri Pengangkutan, Encik S Iswaran, boleh merosakkan reputasi pemerintah Parti Tindakan Rakyat (PAP), ia juga mencerminkan pendirian pemerintah yang mengambil pendekatan toleransi sifar terhadap rasuah dan kesalahan lain tanpa mengira kedudukan pelaku, menurut pengamat politik.

Bahkan menurut mereka, respons yang diambil pemerintah untuk terus memastikan sifat telus, bersih dan bebas rasuah itu adalah amat penting kerana ini juga akan menjejas tanggapan orang ramai.

Ia menjadi lebih genting dengan beberapa kontroversi lain melibatkan pemegang jawatan politik dalam PAP baru-baru ini, kata pakar sosiologi Universiti Nasional Singapura (NUS), Profesor Madya Tan Ern Ser.

Ini termasuk berhubung Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, dan Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, yang disiasat CPIB bagi kes sewa banglo hitam putih Ridout Road yang diurus Penguasa Tanah Singapura (SLA).

Mereka kemudian didapati bebas daripada sebarang salah laku.

“Kebanyakan orang akan menetapkan piawaian lebih tinggi bagi pegawai pemerintah yang dipilih atau pemegang jawatan... dan sekiranya pegawai itu didapati bersalah, ini akan mencemar (reputasi) pemerintah,” kata Dr Tan.

Profesor Madya Eugene Tan dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU) berkata meskipun siasatan yang sedang dijalankan terhadap menteri Kabinet itu boleh merosakkan reputasi pemerintah PAP, tindakan yang telah diambil sejauh ini menunjukkan komitmen teguh mereka yang tidak boleh menerima salah laku sedemikian.

“Sekarang ini, pemerintah sedang perbaiki keadaan dan bagaimana mereka menangani hasil siasatan nanti adalah amat penting,” ujarnya.

Meskipun akur akan kesan jangka pendek siasatan terhadap seorang menteri itu pada tanggapan orang ramai, pengamat politik berkata tindakan CPIB menyiasat mana-mana individu tidak kira kedudukan politik mereka dalam pemerintah juga berupaya mengukuhkan keyakinan orang awam dalam kedua-dua pemerintah dan proses antirasuah di sini dalam jangka masa panjang.

“Keputusan pemerintah untuk mendedahkan siasatan ini pada tahap awal juga mencerminkan kebertanggungjawapan yang kukuh,” kata Zamil Penyelidikan Kanan di Institut Pengajian Dasar (IPS), Dr Woo Jun Jie.

Zamil Kanan dan Penyelaras bagi Program Pengajian Budaya dan Sosial Serantau, Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat, berpandangan bahawa walaupun kejadian terbaru ini boleh menjejas kepercayaan orang awam, ia tidak akan menjejas pembaharuan kepimpinan kerana pemimpin 4G perlu kekal komited terhadap memastikan sistem yang telus dan bersih.

“Hal ini sedang disiasat, tetapi apa yang paling penting buat warga Singapura adalah ketelusan dan bahawa tidak ada motivasi politik di sebalik tindakan itu, yang biasanya untuk menyasarkan pesaing politik.

“Langkah mendedahkan hal ini awal adalah satu keperluan bagi menunjukkan kesediaan pemerintah untuk menangani isu dan menghentikan sesuatu masalah secepat mungkin. Apa yang paling penting adalah Singapura kekalkan imejnya yang bersih kepada penduduk domestik dan antarabangsa,” ujarnya.

Beliau menambah bahawa episod ini menjadi peringatan bahawa mereka yang memegang pangkat tertinggi dalam jawatan awam juga perlu menegakkan piawaian tertinggi.

Menyentuh tentang pilihan raya presiden akan datang, Dr Eugene Tan berkata ia masih awal untuk menentukan bagaimana kes ini akan membentuk hala tujunya.

Bagi sesetengah pengundi, mereka mungkin lebih cenderung memilih calon boleh dipercayai yang tidak mempunyai kaitan rapat dengan PAP atau pemerintah.

Bagi yang lain, siasatan ini tidak akan mendatangkan perbezaan kerana mereka akan menilai setiap calon berdasarkan kelayakan mereka, menyedari bahawa kaitan politik yang lalu tidak begitu relevan.

Beliau berkata: “Memandang ke hadapan, (pemerintah) boleh meraih pengajaran berharga daripada pelbagai kes dalam dua minggu lalu dan memastikan sebarang kelemahan dalam kawalan sistemik, semakan dan imbangan ditangani dengan penuh azam.

“Pemerintah perlu menunjukkan mereka mampu menegakkan piawaian tinggi kejujuran, kewibawaan dan kejujuran tidak diragui yang ditetapkan untuk mereka sendiri dan yang diharapkan serta dituntut daripada warga Singapura oleh pemerintah PAP.”

Timbalan Pengarah (Penyelidikan) Institut Pengajian Dasar (IPS), Dr Gillian Koh, turut menarik perhatian perlunya bagi Singapura sentiasa mengambil pendekatan untuk menunggu siasatan menentukan sama ada terdapat kebenaran terhadap syak wasangka berlakunya kesalahan dan menekankan bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga terdapat bukti.

Penolong Profesor Walid Jumblatt Abdullah dari Sekolah Sains Kemasyarakatan di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) pula menarik perhatian bahawa siasatan CPIB terhadap Encik Iswaran berbeza daripada kes berhubung Ridout Road sebelum ini.

“Yang pertama bukan tentang rasuah dan bagi saya, ia lebih tentang ketidaksaksamaan. Saya rasa warga Singapura yang biasa bertindak sedemikian dalam kes pertama disebabkan persepsi ketidaksamaan.

“Kes ini amat berbeza. Ia cukup serius hingga Encik Iswaran diberi cuti ketidakhadiran dan siasatan dilancarkan CPIB. Kedua-dua ini tidak berlaku dalam saga Ridout Road,” ujarnya.

Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, baru-baru ini memberi jaminan bahawa pemerintah tidak akan menyembunyikan apa-apa perkara, meskipun perkara tersebut berpotensi memalukan atau merosakkan reputasi. – Laporan tambahan NUR DHUHA ESOOF




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >