Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:23
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Ajaran sesat: Beberapa faktor perlu ditimbang sebelum kes dirujuk mahkamah

Beberapa anggota Jawatankuasa Fatwa Muis dan peguam kongsi pandangan
Dec 06, 2020 | 05:30 AM



TERDAPAT proses yang perlu dilalui dalam Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) menyiasat dakwaan berhubung ajaran sesat.



Kemudian, pihak berkuasa juga perlu menimbangkan beberapa faktor sebelum mengambil keputusan untuk mengemukakan kes ajaran sesat ke mahkamah.



Demikian menurut beberapa anggota Jawatankuasa Fatwa Muis dan peguam yang diwawancara Berita Minggu berkenaan kes seorang lelaki yang didakwa menyeleweng dan mengaku menjadi nabi.



Mantan Mufti Dr Mohamed Fatris Bakaram, yang juga kini anggota bersekutu kanan Jawatankuasa Fatwa Muis, berkata proses memutuskan adakah sesuatu ajaran itu sesat memerlukan bukti yang kukuh.



"Tuduhan sesat ke atas seorang individu, ajaran atau kumpulan meninggalkan implikasi yang berat.



"Dari itu, proses yang dilalui Jawatankuasa Fatwa untuk menetapkan sesuatu ajaran sebagai jelas-jelas sesat, juga merupakan proses yang ketat," ujar Dr Fatris.



Katanya, proses itu juga memerlukan bukti yang tidak dapat dinafikan dan jelas mengaitkan sesuatu ajaran dengan guru tersebut, sama ada melalui penulisan, ataupun rakaman audio dan video yang jelas.



Muis sebelum ini berkata mereka sudah menjalankan siasatan pada 2018 dan melaksana langkah sewajarnya untuk menangani kes lelaki yang didakwa sesat, termasuk menemui individu terbabit dan mengeluarkan surat nasihat menggalak mereka menghentikan kegiatan itu.



Bekas tukang urut berusia 50-an tahun itu juga dikatakan telah menjalani nikah batin bersama lima wanita.



Muis juga sedang bekerjasama dengan agensi relevan untuk melakukan siasatan terperinci, dan telah meminta orang ramai tampil memberi bahan bukti selewat-lewatnya pada 11 Disember.



Sementara itu, Anggota Bersekutu Jawatankuasa Fatwa, Ustaz Tarmizi Abdul Wahid, berharap masyarakat akan dapat meyakini proses yang harus dilalui, sambil menarik perhatian bahawa tidak seperti negara Islam yang boleh mengenakan sekatan ke atas kumpulan-kumpulan sedemikian secara langsung, Singapura beroperasi dalam sebuah negara sekular.



Beliau menggesa masyarakat supaya memperkasa diri dan anak-anak dengan ilmu agama menerusi guru-guru yang bertauliah yang diiktiraf Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).



Peguam Encik Ahmad Nizam Abbas pula berkata antara faktor yang perlu dipertimbang Muis sebelum membuat keputusan mengemukakan kes ajaran sesat ke mahkamah ialah apakah matlamat yang ingin dicapai daripada langkah tersebut.



Beliau menarik perhatian bahawa di bawah undang-undang Amla, khususnya Seksyen 139, sesiapa yang didapati mengajar atau menyebarkan ajaran sesat yang bertentangan dengan undang-undang Islam boleh didenda hingga $2,000 serta dipenjara hingga 12 bulan.



"Ini juga bergantung kepada proses siasatan polis dan pertimbangan AGC (Pejabat Peguam Negara)," ujar beliau, dalam rakaman podcast #NoTapis terbitan akhbar ini mengenai isu ajaran sesat.



"Begitu banyak sumber yang perlu diperuntukkan untuk membawa kes sedemikian ke mahkamah... jadi kita perlu menilai adakah tindakan undang-undang cara terbaik, atau ada cara lain seperti pendidikan awam," tambah Encik Ahmad Nizam.



  • Laporan tambahan ERVINA MOHD JAMIL


PESANAN MANTAN MUFTI

"Merupakan tanggungjawab setiap individu untuk memastikan bahawa ajaran agama yang diperolehi merupakan ajaran yang benar serta tepat. Apa sahaja yang anda terima... letakkannya pada neraca timbangan Al-Quran dan Sunah. Adakah Nabi pernah mengajar umat untuk buat sedemikian? Adakah Nabi pernah mengajar amalan ataupun tatacara ibadah yang sedemikian rupa? Sekiranya jawapannya adalah tidak, maka anda perlu mempersoalkan kesahihan amalan/ajaran yang anda terima."

​- Dr Mohamed Fatris Bakaram.




DI DALAM






Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >