Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Anugerah Tutor Cemerlang Skim Tuisyen Mendaki

Dec 08, 2022 | 05:30 AM



Dari pelajar, kini tenaga pengajar



SEBAGAI seorang pelajar yang telah meraih manfaat daripada Skim Tuisyen Mendaki (MTS) semasa di bangku sekolah, Cik Nur Aisya Abdul Rasid mahu menyumbang kembali kepada masyarakat.



Dengan minat yang mendalam dalam bidang sains, beliau ingin menyemai minat dan rasa cinta terhadap mata pelajaran itu seiring perkembangan pesat bidang teknologi.



Cik Aisya telah menyumbang bakti selaku tutor MTS selama 13 tahun iaitu semasa beliau masih menuntut di politeknik.



Menurutnya, minat mengajar mula timbul semasa beliau menjadi pembimbing sambilan.



Sepanjang tempoh berkhidmat, beliau telah menyaksikan banyak perubahan positif yang Mendaki terapkan khususnya dalam mempersiap tutor untuk mengajar.



Selain itu, rangka sukatan pelajaran juga seiring dengan apa yang pelajar ikuti di sekolah agar mereka dapat meraih lebih manfaat daripada tuisyen Mendaki.



"Saya kagum dengan pendekatan yang diambil Mendaki saban tahun demi kebaikan pelajar.



"Misalnya, tutor-tutor kini harus menjalani latihan untuk memberi panduan berkaitan cara mengajar.



"Mereka juga memastikan untuk mengikut pengajaran di sekolah supaya pelajar dapat lebih dipersiap untuk menjalani ujian sekolah.



"Justeru itu, saya gembira pelajar-pelajar kini boleh meraih kebaikan dan bantuan yang diperlukan dalam pelajaran mereka dengan harga yuran yang amat berpatutan," ujar pengkaji sains berusia 34 tahun itu.



Cik Aisya yakin bahawa setiap pelajar mempunyai potensi dan bakat tersendiri.



Justeru itu, beliau bertekad untuk berjuang dalam membimbing pelajar agar menyedari potensi masing-masing dan mencapai kejayaan.



"Walaupun sebagai tutor sambilan MTS, ia adalah amanah untuk tutor yang mempunyai pengalaman tampil dan membantu golongan kurang berkemampuan.



"Dalam pada itu, membawa perubahan dan menjadi pemangkin semangat dalam kehidupan pelajar," ujar beliau kepada Berita Harian baru-baru ini.



Cik Aisya adalah antara 34 tutor MTS yang menerima Anugerah Tutor Cemerlang.



Beliau telah menerima wang tunai $300, peranti pembesar suara bluetooth JBL, sijil dan surat pujian.



"Saya amat berbesar hati menerima anugerah ini kerana ia satu pengiktirafan atas usaha saya selama ini.



"Selain itu, ia juga terus membangunkan semangat sebagai tutor. Namun, ini masih permulaan sahaja dan yang lebih penting adalah bagaimana kami boleh terus memberi bantuan kepada masyarakat setiap hari," ujar beliau.



Mengulas tentang apa yang beliau sendiri raih daripada menjadi tutor MTS, Cik Aisya berkata:



"Walaupun satu kelas hanya selama satu setengah jam setiap minggu, kami sebagai tutor dapat membuat perbezaan yang besar dalam kehidupan murid-murid ini.



"Ini dibolehkan apabila kami menjalin hubungan baik dalam kelas menerusi usaha tutor bersama pelajar.



"Saya juga menyedari bahawa untuk menyemai semangat dan minat belajar, ia akan dapat membantu pelajar agar tidak benci untuk belajar.



"Sebaliknya, ia akan membina daya tahan bahawa apa sahaja kegagalan yang mereka hadapi dalam peperiksaan, mereka mampu mengatasi halangan tersebut dengan kerja keras dan sanggup berusaha sedaya upaya," kongsinya.



"Dengan bimbingan dan motivasi yang sewajarnya, pelajar akan mencapai kecemerlangan dan ia mendorong saya untuk terus mengajar" tambah Cik Aisya.




Mantan guru gigih bantu golongan memerlukan



SETELAH meninggalkan pekerjaan sepenuh masanya, beliau masih bersemangat dan ingin terus menyumbang kepada masyarakat menerusi pendidikan, terutama kepada masyarakat Melayu.



Berbekal pengalaman mengajar selama 20 tahun dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains di sebuah sekolah rendah, Cik Noorhani Adenan kemudian menyertai Skim Tuisyen Mendaki (MTS).



Kini, sudah tiga tahun beliau melibatkan diri dalam skim MTS.



Bercakap bersama Berita Harian baru-baru ini, Cik Noorhani, 54 tahun, menyedari bahawa selama beliau mengajar sebelum ini, beliau memerhatikan bahawa pelajar Melayu lebih cenderung mempunyai kelemahan dalam Matematik.



"Memandangkan kini saya mempunyai jadual yang lebih lapang, sudah tiba masanya saya menumpukan lebih usaha dalam membantu masyarakat Melayu kita," ujarnya.



Cik Noorhani kemudian berkongsi bahawa latar belakang pelajar di bawah MTS semua berlainan dan itu menjadi salah satu cabaran utamanya.



"Setiap pelajar mempunyai gaya pembelajaran yang berlainan.



"Jika di sekolah dulu, saya berjumpa pelajar setiap hari, lebih masa yang diluangkan bersama dan kami sebagai guru boleh lakukan lebih untuk pelajar.



"Namun, di MTS, kami hanya berjumpa seminggu sekali dan hanya satu setengah jam setiap sesi.



"Dengan itu, untuk memahami dan mengenal pelajar dengan lebih rapat pun mengambil lebih masa, terutama untuk mengenal pasti gaya pembelajaran yang berkesan untuk setiap pelajar," kongsi beliau.



Semangat Cik Noorhani dalam penglibatan MTS terserlah dan beliau telah menerima Anugerah Tutor Cemerlang oleh Mendaki baru-baru ini.



"Sebagai tutor, ia sudah menjadi tanggungjawab untuk membantu pelajar dan saya menghargai anugerah yang diberikan ini.



"Selain itu, anugerah ini juga memberi saya keyakinan bahawa apa yang saya telah lakukan selama ini berkesan dan ia mendorong saya untuk terus melihat perspektif lain dalam membantu pelajar-pelajar," kata Cik Noorhani.



Antara lain, Cik Noorhani menjelaskan bahawa peranannya sebagai tutor di MTS telah membolehkannya lebih terhubung dengan pelajar daripada golongan kurang berpendapatan.



Menurutnya ia satu landskap yang berlainan dan ia juga satu pengalaman yang beliau tidak dapati semasa bertugas selaku guru sepenuh masa.



Mengulas tentang faktor-faktor penting yang lain, Cik Noorhani menyentuh mengenai kepentingan penglibatan ibu bapa.



"Kami perlukan kerjasama ibu bapa seperti menghantar anak-anak mereka ke kelas pada hujung minggu.



"Sebagai tutor, saya akan menghantar mesej kepada ibu bapa untuk memaklumkan pelajaran pada sesi tuisyen itu.



"Dengan maklumat itu, ibu bapa boleh cuba membantu anak-anak menelaah supaya lebih cekap dari segi pelajaran," katanya.



"MTS adalah satu program yang amat bermanfaat. Tutor-tutor ramai ialah bekas guru ataupun guru terlatih yang berdedikasi dan ikhlas membantu.



Saya harap masyarakat Melayu mengambil peluang untuk mendaftarkan anak mereka ke MTS hanya dengan yuran $10 setahun," nasihat beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >