Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Bakal jemaah haji harus siap dapat kuota saat akhir

Kakitangan Muis hubungi 3,000 hingga 4,000 individu untuk isi 493 tempat tambahan musim haji lalu
Nov 27, 2022 | 05:30 AM



APABILA kuota haji tambahan diterima pada saat akhir tahun ini, kakitangan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) menghubungi sekitar 3,000 hingga 4,000 orang dalam tempoh tiga hari sebelum akhirnya dapat mengisi 493 tempat tambahan itu.



Ramai jemaah yang terpaksa menolak tawaran akhir itu kerana belum bersedia dari segi kewangan, ilmu atau secara mental, dan perkara ini dapat difahami, kata ketua perkhidmatan haji di Muis, Encik Mohamed Faizal Abd Hathi.



Meskipun terdapat ketidaktentuan dari segi kuota yang akan diterima setiap tahun, beliau menasihatkan jemaah Singapura yang sudah berdaftar untuk bersiap sedia 'dipanggil' untuk menunaikan haji pada bila-bila masa.



"Kami memahami perasaan dan cabaran yang dihadapi jemaah apabila mendapat undangan haji di saat akhir.



"Kami juga ingin menasihatkan jemaah untuk bersiap sedia dari segi fizikal, mental, rohani dan kewangan kerana apabila kami menghubungi orang ramai mengenai kuota tambahan itu, ada yang berkata mereka belum bersedia.



"Waktu mendaftar bagi haji, orang ramai sudah perlu mula bersiap sedia," ujar Encik Faizal dalam satu wawancara dengan Berita Minggu.



Tahun ini, Singapura mendapat 900 tempat haji setelah kuota tambahan diterima sekitar seminggu sebelum jemaah haji dijadual untuk berangkat.



Pada awalnya, Singapura hanya diberikan 407 tempat.



Bagi pihak Muis, sekitar 10 kakitangan, termasuk Encik Faizal sendiri, yang ditugaskan menghubungi ribuan jemaah dalam tempoh sekitar tiga hari untuk memaklumkan tentang tempat tambahan itu.



Bagi jemaah yang setuju untuk mengambil tempat itu, ramai yang perlu membeli pakej pada keesokan hari setelah mendapat panggilan daripada Muis.



"Apabila kami hubungi jemaah, mereka pada mulanya gembira tetapi mereka bertanya mengapa mereka hanya diberitahu pada saat akhir," kata Encik Faizal.



Katanya lagi, soal kuota haji ialah sesuatu yang tidak menentu setiap tahun, dan ketidakpastian pada tahun ini juga mungkin berpunca daripada keadaan Covid-19 yang berubah-ubah.



"Tahun ini kami dapat 900 kuota. Tahun depan, kami tidak tahu berapa. Selalu ada ketidakpastian," ujarnya.



Dalam menghubungi jemaah pada saat akhir, Muis juga menghadapi cabaran apabila ada jemaah yang tidak menjawab panggilan atau ada yang tidak mengemas kini nombor telefon mereka.



Sekitar 35,000 pendaftar haji setempat kini sedang menunggu giliran mereka untuk menunaikan haji.



Pada September lalu, Berita Harian melaporkan bahawa Muis sedang dalam proses menghubungi pendaftar haji setempat untuk mengesahkan dan mengemas kini butiran mereka dalam sistem pendaftaran haji yang baru.



Muis berkata waktu itu usaha tersebut penting untuk memastikan pendaftar boleh dihubungi apabila tiba giliran mereka menunaikan haji.



Ini sedang Muis bersiap sedia menyambung semula pendaftaran haji sementara ia mengatasi tunggakan pendaftar yang sedang menanti giliran mereka.



Di peringkat awal pandemik pada Mac 2020, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi telah menasihatkan agensi haji di seluruh dunia supaya berhenti menerima pendaftaran baru atau bayaran berkenaan haji.



Hingga kini, Muis masih belum menerima pendaftaran baru haji.



Dalam surat yang dihantar kepada pendaftar sebelum ini, Muis memaklumkan tentang sistem baru pendaftaran haji, digelar MyHajSG, yang antara lain membolehkan pendaftar melihat berapa ramai individu di hadapan mereka menurut urutan.



Pendaftar boleh log masuk menggunakan Singpass di laman MyHajSG di www.haj.muis.gov.sg untuk melihat status pendaftaran haji mereka pada bila-bila masa.



Individu yang tidak mempunyai akaun Singpass boleh mengunjungi laman www.singpass.gov.sg, atau mengunjungi kelab masyarakat yang terdekat untuk mendapatkan bantuan.




"Kami memahami perasaan dan cabaran yang dihadapi jemaah apabila mendapat undangan haji di saat akhir.

Kami juga ingin menasihatkan jemaah untuk bersiap sedia dari segi fizikal, mental, rohani dan kewangan kerana apabila kami menghubungi orang ramai mengenai kuota tambahan itu, ada yang berkata mereka belum bersedia.

Waktu mendaftar bagi haji, orang ramai sudah perlu mula bersiap sedia."

- Ketua perkhidmatan haji Muis, Encik Mohamed Faizal Abd Hathi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >