Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: SEMANGAT WATAN

Dedah anak kepada dwibahasa seawal mungkin

Terapkan bahasa ibunda, malah ia boleh dijadikan bahasa utama di peringkat awal sekolah, saran cendekiawan bahasa
Jan 16, 2022 | 05:30 AM



MENGGUNAKAN kaedah yang sesuai dalam mengajar pelajar berdwibahasa adalah penting, namun yang lebih utama ialah memastikan mereka terdedah pada bahasa-bahasa tersebut seawal mungkin.



Itulah antara pemerhatian yang dikongsi Penolong Ketua, Kumpulan Akademik Bahasa dan Budaya Asia (Melayu), Institut Pendidikan Nasional (NIE), Profesor Madya Mukhlis Abu Bakar, sekembalinya beliau dari Canada bagi cuti sabatikal.



Dr Mukhlis berada di Canada selama tiga bulan dari Oktober hingga Disember tahun lalu, sebagai sebahagian cuti sabatikal selama enam bulan yang diambil beliau.



Semasa di sana beliau sempat melawat beberapa sekolah dan mempelajari cara mereka mengajar bahasa dan dwibahasa.



Berkongsi dengan Berita Minggu, Dr Mukhlis berkata terdapat dua perkara menarik yang telah beliau perhatikan daripada sekolah-sekolah yang bermatlamat menghasilkan pelajar dwibahasa di sana.



"Pertama, memupuk kedwibahasaan dalam diri pelajar bukan tanggungjawab guru-guru bahasa kedua sahaja, (dalam konteks Singapura, bahasa ibunda), bukan juga dalam waku pelajaran bahasa kedua sahaja, tetapi kerjasama seluruh sekolah merentas kurikulum.



"Setiap guru, sama ada guru bahasa kedua atau bahasa Inggeris, guru sains atau matematik, ilmu alam atau muzik, sastera atau sejarah, masing-masing mempunyai peranan di dalam dan di luar pelajaran, dalam mewujudkan suasana persekolahan yang menggalak kedwibahasaan.



"Kedua, menggunakan kaedah mengajar yang sesuai dengan keperluan pelajar dwibahasa adalah penting, namun yang lebih penting adalah memastikan pelajar mendapat pendedahan bahasa yang secukupnya lebih-lebih lagi di peringkat awal persekolahan," katanya.



Memberi contoh, beliau berkata, dalam merangkakan program dwibahasa, sekolah-sekolah di sana mengambil kira status bahasa-bahasa yang mereka ingin pelajar perolehi.



Ini kerana di British Columbia dan wilayah-wilayah lain di barat Canada, bahasa Inggeris merupakan bahasa utama yang lebih tinggi statusnya dalam masyarakat kerana ia merupakan bahasa kerja, media dan bahasa perantaraan antara kaum.



"Malah, bahasa Inggeris begitu dominan dalam kehidupan harian hingga menghambat pemerolehan bahasa lain dalam kalangan penduduknya yang bukan berbangsa Inggeris, terutama golongan muda yang masih bersekolah... kerana sebilangan besar sekolah-sekolah di Canada merupakan sekolah di mana kurikulumnya disampaikan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris.



"Bagi sekolah yang turut menawarkan bahasa kedua iaitu bahasa Perancis atau bahasa dunia yang lain, peruntukan waktu yang diberi untuk mempelajari bahasa tersebut amat terbatas.



"Ada beberapa buah sekolah pula yang sedar akan kekurangan sistem seperti itu dalam menghasilkan pelajar dwibahasa.



"(Oleh itu) bahasa kedua yang berstatus rendah diberi lebih penekanan bagi melawan arus bahasa Inggeris dalam masyarakat," jelas Dr Mukhlis.



Misalnya, sekolah-sekolah yang dilawati beliau di British Columbia, Canada, menawarkan program penyerapan atau immersion dalam bahasa yang rendah statusnya - satu dalam bahasa Perancis dan satu lagi dalam bahawa warisan Orang Asli Canada.



"Bahasa-bahasa ini dijadikan bahasa tunggal dalam kurikulum di peringkat awal persekolahan agar bahasa itu dapat dibudayakan, diperolehi dan dikuasai pelajar dengan lebih berkesan," tambah beliau.



Ditanya bagaimana ilmu yang beliau cedok daripada pengalaman di Canada dapat dimanfaatkan di Singapura, Dr Mukhlis berkata sekolah-sekolah immersion yang beliau lawati merupakan contoh baik dalam memupuk kanak-kanak dwibahasa, tetapi mungkin terlalu berbeza daripada sekolah-sekolah awam di Singapura.



"Sistem yang sedia ada di Singapura di mana bahasa Inggeris adalah satu-satunya bahasa penyampai ilmu, sementara bahasa ibunda dipelajari secara berasingan dalam masa yang agak terbatas, telah membantu memenuhi keperluan negara dalam mendidik warga Singapura yang mahir berbahasa Inggeris, sekali gus membolehkan negara bergerak pantas dalam memanfaatkan dunia global yang berteraskan bahasa Inggeris," kata beliau.



Pun begitu, beberapa langkah mungkin boleh diteroka tanpa mengubah sepenuhnya sistem sedia ada di sini, tambahnya.



Pertama, menjadikan bahasa ibunda bahasa utama di peringkat awal persekolahan -- "setidak-tidaknya di tadika" - sebelum bahasa Inggeris mengambil tempatnya sebagai bahasa utama.



"Ini kerana dalam sekitaran di mana bahasa Inggeris begitu dominan dalam masyarakat, bahasa lain tidak akan dapat berkembang kecuali jika kanak-kanak dari awal lagi sudah dibiasakan mendengar, bercakap, membaca dan menulis dalam bahasa ibunda di sekolah untuk pelbagi tujuan agar keselesaan dan penguasaan bahasa ibunda timbul secara amali dari kecil lagi.



"Dalam suasana masyarakat yang memberatkan bahasa Inggeris, tidak sukar untuk menguasai bahasa Inggeris, sebaliknya lebih sukar untuk menguasai bahasa ibunda jika tidak dimulakan di peringkat awal," ujar Dr Mukhlis.



Kedua, semua warga sekolah, khususnya di peringkat tadika dan sekolah rendah, boleh memainkan peranan dengan bertutur dalam bahasa ibunda dan bukan bahasa Inggeris sahaja kepada kanak-kanak.



Ketiga, sekolah boleh menjayakan matlamat kedwibahasaan negara dengan memuatkan bahasa ibunda dalam landskap bahasa di sekolah.



Ini boleh dilakukan dengan memastikan papan tanda, pesanan di dinding atau arahan yang digantung tidak dimonopoli bahasa Inggeris sahaja.



Pengumuman dan ucapan yang disampaikan di sekolah juga boleh mengandungi segmen yang menggunakan bahasa ibunda.



"Dengan cara begini, bahasa ibunda tidak terpinggir secara visual mahupun auditori dan dapat memberi mesej kepada pelajar bahawa bahasa ibunda sama-sama berguna dan mempunyai fungsi bukan sahaja di bilik bahasa ibunda, malah di luar pelajaran bahasa ibunda," ulas Dr Mukhlis.




"... dalam sekitaran di mana bahasa Inggeris begitu dominan dalam masyarakat, bahasa lain tidak akan dapat berkembang kecuali jika kanak-kanak dari awal lagi sudah dibiasakan mendengar, bercakap, membaca dan menulis dalam bahasa ibunda di sekolah untuk pelbagi tujuan agar keselesaan dan penguasaan bahasa ibunda timbul secara amali dari kecil lagi.

Dalam suasana masyarakat yang memberatkan bahasa Inggeris, tidak sukar untuk menguasai bahasa Inggeris, sebaliknya lebih sukar untuk menguasai bahasa ibunda jika tidak dimulakan di peringkat awal."

- Profesor Madya Mukhlis Abu Bakar, Penolong Ketua, Kumpulan Akademik Bahasa dan Budaya Asia (Melayu), Institut Pendidikan Nasional (NIE), dalam pemerhatiannya di beberapa sekolah yang mengajar dwibahasa semasa melawat Canada.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >