Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

DPM Wong garis peranan S'pura dalam geopolitik dunia yang kian bersaing

Penting bagi S'pura kekal diyakini sebagai benteng kestabilan, peluang dan inovasi
Sep 28, 2022 | 05:30 AM



DUNIA kini sedang mengorak langkah ke sebuah era baru yang berlandaskan persaingan geopolitik sengit dan isu tersebut akan mendorong segala keputusan pelaburan, perdagangan dan ekonomi, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.



Alasan di sebalik kenyataan itu bukan sekadar disebabkan peperangan di Ukraine serta kesannya ke atas bekalan makanan dan tenaga elektrik sedunia, namun juga satu isu lebih luas; iaitu hubungan antara Amerika Syarikat (AS) dengan China yang bertambah buruk, kata Encik Wong dalam satu sidang bersama pemimpin perniagaan sedunia kelmarin.



Meskipun dalam masa mencabar ini, Singapura masih boleh menjadi sebuah benteng kestabilan, peluang dan inovasi, dan juga rangkaian yang diyakini dalam susunan sedunia, katanya.



"Kami hanya boleh berbuat demikian dengan menyatupadukan warga, dengan mempunyai kerjasama yang teguh, dan menjadi sebuah tempat di mana semangat kemanusiaan dapat terus berkembang meski menghadapi kemelut di sekeliling kami."



Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, menyampaikan kenyataan tersebut dalam satu dialog sekitar sejam bersama-sama moderator, Encik Rich Karlgaard, ketua editor di Forbes Media, semasa Sidang CEO Sedunia Forbes, di hotel The Ritz-Carlton-Millenia Singapore.



Dengan tema berjudul The Way Forward (Cara Maju ke Hadapan), sidang itu - yang memasuki tahun ke-20 - dijangka menerima sekitar 400 pemimpin perniagaan dari serata dunia sepanjang dua hari.



Encik Wong turut menerima beberapa pertanyaan dari hadirin yang menyentuh pelbagai isu termasuk ketegangan AS dengan China, usaha mengukuhkan perdagangan di kalangan negara-negara Asean serta isu peralihan pucuk kepimpinan politik Singapura.



Ketika ditanya oleh Encik Karlgaard berkenaan cabaran bagi menangani ketegangan antara AS dengan China, Encik Wong berkata hubungan kededua negara tersebut adalah hubungan yang membawa kesan paling berat di dunia dan berupaya mempengaruhi daya ehwal global.



"Malangnya, hubungan itu semakin buruk... kededua negara itu tidak bersepakat dalam pelbagai isu, daripada ideologi berbeza kepada sistem pemerintah, dan baru-baru ini ketegangan terhadap hubungan mereka dengan Taiwan yang semakin ketara."



Namun mujur pemimpin dari kedua-dua negara itu tidak menginginkan sebarang konfrontasi secara langsung kerana mereka tahu betapa besar kesannya jika kejadian sebegitu berlaku, kata Encik Wong, sekalipun insiden yang tidak diingini atau tersilap langkah masih boleh tercetus.



Singapura adalah rakan kepada kedua-dua AS dan China, dan telah menyarankan kededua negara itu supaya mengekalkan saluran hubungan terbuka, terutamanya di peringkat tertinggi, kata Encik Wong.



Ia satu tanda positif bahawa pemimpin dari kededua pihak itu telah mengadakan satu mesyuarat secara virtual baru-baru ini dan mereka telah bersetuju untuk bertemu secara bersemuka tidak lama nanti, katanya.



"Jadi kami berharap... peluang mereka untuk bertemu secara bersemuka, berupaya mewujudkan satu modus vivendi (persetujuan untuk hidup bersama dengan aman)... dengan mengakui bahawa dunia ini cukup luas bagi AS dan China wujud bersama, dan kedua-dua negara itu tidak perlu melihat hubungan mereka itu secara bermusuhan."



Mengenai perdagangan pula, Encik Wong berkata falsafah Singapura adalah bagi semua negara besar mempunyai minat dengan Asean.



"Dan sebab itu kami memberitahu rakan kami di kedua-dua Amerika dan China: dekati rantau ini dengan lebih konstruktif dan komprehensif, dan dekati rantau ini berdasarkan meritnya tersendiri, bukan berlandaskan hubungan antara AS dengan China atau persaingan antara mereka," kata Encik Wong lagi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >