Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Dua saranan S’pura di G20 untuk capai matlamat pembangunan mampan

Jun 13, 2023 | 04:22 PM



Usaha membantu negara-negara membangun mempercepatkan kemajuan ke arah mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) menjelang 2030, akan diperhebat lagi.

Demikian komitmen yang dinyatakan para menteri yang menghadiri Mesyuarat Menteri Pembangunan (DMM) Kumpulan 20 (G20) di Varanasi, India, dari Ahad hingga Selasa.

Di mesyuarat itu, menteri-menteri juga menekankan pentingnya pembangunan hijau dan mengesahkan semula peri penting menangani krisis iklim dan menyokong negara membangun dalam peralihan hijau mereka.

Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman, yang mewakili Singapura di mesyuarat itu, telah memberi dua saranan bagaimana G20 boleh membantu negara membangun mencapai SDG, menurut kenyataan Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada Selasa.

Pertama, beliau berkata bantuan boleh diberikan menerusi penubuhan sebuah rangka kerja untuk menyediakan pembangunan kapasiti bagi meningkatkan kecelikan digital, terutama dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

Kedua, beliau berkata G20 boleh menyumbang kepada pembaharuan Bank Pembangunan Berbilang Hala (MDB) dan Institusi Kewangan Antarabangsa supaya ia sesuai untuk tujuan membantu negara membangun mencapai SDG.

“Sebagai contoh, G20 boleh bekerjasama dengan mereka untuk membangunkan huraian yang inovatif kerana pembiayaan awam tidak mencukupi untuk memenuhi jurang pembiayaan pembangunan yang besar,” kata Dr Maliki, yang juga Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan).

Beliau turut menekankan bahawa pendekatan pelbagai serampang dan tindakan global yang segera diperlukan untuk membantu negara membangun dan mengurangkan kesan perubahan iklim.

Dr Maliki menyebut tentang pentingnya kewangan hijau untuk meningkatkan pelaburan dalam projek yang membawa manfaat kepada alam sekitar. Beliau juga berkata pembangunan kapasiti adalah penting.

“Walaupun Negara Membangun bagi Pulau Kecil (SIDS), dan negara membangun lain, seperti di Asia Tenggara, mungkin mempunyai potensi untuk memperbaharui tenaga, mereka boleh meraih manfaat daripada kepakaran negara maju untuk menyediakan infrastruktur dan dasar yang diperlukan. Negara maju juga boleh berkongsi strategi penyesuaian yang berkesan, termasuk mengurangkan kesan pulau haba bandar, memulihkan ekosistem semula jadi seperti hutan bakau untuk mencegah kesan ribut, dan menambah baik sistem perparitan,” katanya.

Selain menghadiri mesyuarat itu, Dr Maliki menemui Menteri Ehwal Luar Bangladesh, Dr AK Abdul Momen; Menteri Ekonomi Oman, Dr Said Mohammed Al Saqri; Timbalan Menteri, Kementerian Ekonomi dan Perancangan Kerajaan Arab Saudi, Dr Yasser Osama Faquih; Menteri Negara Amiriah Arab Bersatu, Encik Ahmed Ali Al Sayegh; dan Setiausaha Agung Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa, Cik Doreen Bogdan-Martin.

Dr Maliki dan rakan-rakan sejawatnya mengesahkan hubungan dua hala yang kukuh dan mengadakan perbincangan yang bermanfaat mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa.

Dr Maliki juga menyampaikan salinan Perjanjian Rangka Kerja mengenai Penubuhan Perikatan Solar Antarabangsa (ISA) dan Instrumen Pengesahan Singapura semasa pertemuannya dengan Menteri Ehwal Luar India, Dr S Jaishankar, pada Isnin.

Keanggotaan ISA Singapura akan membantu meningkatkan kerjasama tenaga solar dengan India dan anggota ISA yang lain.

Di samping itu, kedua-dua menteri bercakap mengenai sesi meja bundar peringkat menteri antara India dengan Singapura seterusnya yang akan diadakan di Singapura pada akhir 2023.

Dr Maliki juga berpeluang menemui Ketua Menteri Uttar Pradesh, Encik Yogi Adityanath, dan mereka membincangkan pelaburan baru Singapura di negeri itu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >