FASA pertama Laluan MRT Rentas Pulau (CRL) telah ditetapkan akan mempunyai 12 stesen.
Menteri Pengangkutan, Encik Khaw Boon Wan, berkata hari ini (25 Januari) bahagian pertama laluan itu adalah sepanjang 29 kilometer dan akan melalui kawasan seperti Changi, Loyang, Pasir Ris, Hougang dan Ang Mo Kio.
“Apabila siap dibina menjelang 2029, lebih 100,000 keluarga akan menikmati ketersambungan lebih baik dan masa perjalanan lebih pendek,” katanya.
CRL merupakan laluan MRT kelapan Singapura.
CRL dijangka digunakan sekitar 600,000 penumpang setiap hari pada awalnya dan jumlah ini dijangka meningkat kepada sejuta penumpang, menjadikannya laluan paling banyak digunakan di Singapura pada masa akan datang.
Dalam pada itu, Encik Khaw turut mengumumkan bahawa tahap pertama Laluan Thomson-East Coast (TEL) akan dibuka sebelum Krismas tahun ini.