BEBERAPA hari sebelum Ramadan bermula, Encik Farid Difari dan keluarganya akan sibuk meneliti kedai hardware berhampiran blok mereka di Yishun untuk melihat sama ada ia sudah menjual lampu lap- lip atau tidak.
Sejurus ia mula dijual, Encik Farid, 45 tahun, bersama 'pasukannya' dianggotai 12 anggota keluarga lain akan cuba mendapatkan aneka jenis lampu lap-lip untuk menghiasi koridor flat mereka demi memeriahkan suasana menjelang Syawal.
"Tahun ini saya agak berjimat sedikit, saya berbelanja dalam $800 gitu, tak seperti tahun lalu, kami belanja lebih $1,000," katanya secara berseloroh ketika ditemui di rumahnya di Blok 107 Yishun Ring Road.
Menurut penyelia bidang pembersihan itu, beliau memang gemar memasang lampu lap-lip buat semua perayaan, tidak terhad kepada Aidilfitri namun juga bagi perayaan agama lain untuk jiran mereka seperti Deepavali.
Koridor tingkat tujuh blok itu yang dihiasi aneka lampu lap-lip bersertakan sepanduk dan ketupat ucapan Selamat Hari Raya menjadi tarikan video di TikTok yang tular, menerima lebih 139,000 tontonan.
Laporan lanjut: Warni-Warni Aidilfitri