Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PARLIMEN

Harga BTO kekal stabil walau kos binaan meningkat

Feb 07, 2023 | 05:30 AM



MESKIPUN terdapat permintaan kukuh dan kos binaan telah meningkat sepanjang dua tahun lalu, harga flat Bina Ikut Tempahan (BTO) kekal stabil, menurut Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee.



Sebagai contoh, flat BTO empat bilik di estet bukan matang berharga $341,000 pada 2019 secara purata, hampir sama dengan harga purata sekitar $342,000 bagi flat jenis yang sama tahun lalu.



Encik Lee berkata hampir 70 peratus flat BTO yang dilancarkan tahun lalu juga boleh dibeli oleh isi rumah dengan pendapatan median $8,400, dengan mereka menggunakan 25 peratus dan ke bawah daripada pendapatan isi rumah mereka untuk membayar instalmen pinjaman rumah.



Tambahnya, nisbah harga rumah berbanding pendapatan (HPI) bagi flat empat bilik di estet bukan matang juga telah menurun daripada 6 pada 2012 kepada kurang 5 menjelang 2018.



Ini bermakna isi rumah menggunakan lima tahun atau kurang daripada pendapatan isi rumah keseluruhan untuk membayar bagi sebuah rumah.



"Ini kerana kenaikan tahunan harga flat BTO di estet bukan matang adalah kurang 1 peratus, lebih rendah berbanding kenaikan pendapatan tahunan sebanyak 3 peratus," ujar Encik Lee.



Sementara itu, nisbah HPI di London, Los Angeles dan Sydney adalah antara 8 dengan 15, dan lebih 20 di Hong Kong, katanya.



Sedang sistem perumahan awam Singapura tidak sempurna, Encik Lee berkata sistem itu telah memastikan perumahan dapat diperoleh serta kekal dimampui oleh warga Singapura dan pemerintah harus terus mempertingkatnya.



"Kadar pemilikan rumah sebanyak 90 peratus di sebuah bandar kosmopolitan bukan sesuatu yang dapat dicapai banyak bandar besar yang lain," ujarnya.



Berucap di Parlimen semasa membentangkan usul berhubung isu pentingnya memastikan perumahan awam kekal dimampui dan dapat diperoleh semalam, Encik Lee berkata harga flat jualan semula HDB juga kekal agak stabil.



Malah, Harga Jualan Semula (RPI) HDB turun hampir enam tahun berturut-turut, turun sebanyak kira-kira 12 peratus, dari 2013 hingga 2019.



Namun sepanjang tiga tahun lalu, bekalan mengecil dan harga flat jualan semula pula naik.



Menerangkan antara faktor yang telah menyebabkan bekalan perumahan yang ketat dan harga flat jualan semula yang meningkat dalam tiga tahun lalu itu, Encik Lee berkata ini termasuk pandemik Covid-19 yang menyebabkan kerja binaan flat BTO tertangguh.



Ini antara lain ekoran kekurangan pekerja dan gangguan terhadap rantaian bekalan bahan binaan.



Gangguan terhadap bekalan flat BTO itu menyebabkan sesetengah pembeli berpaling ke arah pasaran flat jualan semula HDB, kata Encik Lee.



Ini mendorong permintaan yang lebih kukuh bagi flat jualan semula.



Malah tambahnya, permintaan bagi flat baru juga bertambah kerana sesetengah pembeli ikut beratur bagi flat BTO lebih awal untuk cuba mendapatkan flat.



Ini menyebabkan lebih kegelisahan.



Sepanjang tiga tahun lalu sejak Covid-19 mula menular, Encik Lee berkata pemohon BTO kali pertama bertambah sebanyak 80 peratus dan pemohon BTO kali kedua naik lebih banyak, sekitar 140 peratus, berbanding tempoh tiga tahun sebelum pandemik dari 2017 hingga 2019.



Norma sosial yang berubah, termasuk warga lebih muda yang ingin berpindah keluar dari rumah orang tua mereka untuk tinggal di rumah sendiri, turut mendorong permintaan lebih kukuh bagi perumahan.



Trend itu mungkin didorong pandemik Covid-19, dengan ramai orang bekerja dari rumah dan ingin lebih ruang bagi diri mereka sendiri, ujar Encik Lee.



Hasilnya, permintaan bagi perumahan melonjak.



"Pasangan muda berkongsi kebimbangan mereka dengan kami tentang harga flat jualan semula yang melonjak, tanggapan bahawa projek BTO pilihan mereka di estet matang lebih mahal dan flat HDB mungkin di luar jangkauan mereka secara keseluruhan. Ibu bapa mereka malah lebih bimbang.



"Kami memahami kebimbangan ini sepenuhnya sedang kami bekerja keras untuk memastikan harga flat BTO kekal stabil," kata Encik Lee.



Namun sedang pemerintah berusaha mempertingkat dasar perumahannya, sebagai pemerintah yang bertanggungjawab, beliau berkata mereka harus memastikan bahawa ia kekal berdaya tahan.



"Ia harus membolehkan kita terus menyediakan perumahan yang dapat diperoleh dan dimampui bagi warga Singapura, bukan sekarang sahaja atau bagi pilihan raya akan datang, tetapi bagi berdekad-dekad akan datang, bagi generasi warga Singapura akan datang," ujar beliau.




“Walaupun sistem perumahan awam Singapura “jauh dari terbaik”, ia telah menjadikan perumahan mudah diakses dan mampu dimilik untuk rakyat Singapura dan pihak pemerintah mesti sentiasa memperbaikinya. 90 peratus pemilikan rumah di bandar kosmopolitan bukanlah sesuatu yang dapat dicapai oleh banyak bandar utama lain.”



– Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >