Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Hubungan SG-M'sia kian penting dalam sekitaran global penuh persaingan

Lawrence gembira dapat perbaharui persahabatan, bina hubungan baru dalam lawatan pertama ke negara jiran sejak dilantik DPM
Sep 07, 2022 | 05:30 AM



HUBUNGAN antara Singapura dengan Malaysia akan menjadi lebih penting dalam sekitaran global baru yang membawa persaingan geopolitik yang lebih besar dan berpotensi menyebabkan lebih banyak perpecahan dalam ekonomi global.



Bercakap kepada media semasa lawatan rasmi pertamanya ke Malaysia selepas dilantik timbalan perdana menteri (DPM) Jun lalu, Encik Lawrence Wong, berkata negara seperti Singapura dan Malaysia akan terus ditarik ke arah yang berbeza sedang zaman keemasan globalisasi yang dinikmati sepanjang 30 tahun lalu mungkin sudah berakhir.



"Akan ada tekanan, semakin banyak, untuk kita berpihak. Itulah sebabnya penting bagi kita untuk bersatu dan berdiri bersama dan terus mengukuhkan kerjasama antara satu sama lain," kata Encik Wong.



"Itulah yang saya cuba lakukan dalam lawatan ini, untuk melakukan usaha untuk datang ke sini, membangunkan hubungan, dan saya berharap untuk meneruskan apa yang telah saya capai semasa lawatan ini, untuk terus mengukuhkan kerjasama antara kedua-dua negara kita," tambahnya.



Lawatan rasmi empat hari ke Malaysia itu bermula Ahad lalu dan berakhir hari ini.



Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, berkata beliau gembira berpeluang mengunjungi Malaysia, dan ia adalah lawatan pertamanya ke sana sejak pandemik Covid-19 bermula dan sejak beliau menjadi DPM.



"Saya ingin menjadikan ini salah satu perhentian pertama saya di luar negara, supaya saya boleh datang ke sini untuk memperbaharui persahabatan yang telah saya jalin, untuk membina hubungan baru, dan untuk mengesahkan pentingnya kerjasama kukuh antara Malaysia dengan Singapura," kata Encik Wong.



"Kita adalah jiran yang paling rapat dengan satu sama lain. Kita juga mempunyai kerjasama yang sangat erat, dan antara kedua-dua negara kita, tahap saling bergantung yang tinggi merentas banyak bidang. Ia juga merupakan hubungan yang disokong oleh hubungan antara rakyat dan keluarga yang sangat rapat. Kita akan terus mencari jalan untuk mengukuhkan hubungan ini dan sedang kita melakukan peralihan kepimpinan kita di Singapura, itu adalah sesuatu yang saya pasti ingin lakukan," tambahnya.



Dalam pertemuannya dengan media semalam, Encik Wong turut ditanya tentang projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Singapura-Kuala Lumpur yang beliau bincangkan dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dalam mesyuarat mereka kelmarin.



Encik Wong akur minat Malaysia untuk menghidupkan semula perbincangan, dan berkata Singapura terbuka kepada usulan baru daripada Malaysia.



Projek itu telah dibatalkan setelah kededua negara gagal mencapai persetujuan mengenai perubahan yang disarankan Malaysia menjelang tarikh akhir 31 Disember 2020.



Bercakap kepada media semalam, Encik Wong berkata beliau dan Datuk Seri Ismail tidak menyentuh butiran terperinci dalam mesyuarat ringkas mereka itu.



"Ia adalah sesuatu yang kami telah katakan sebelum ini kepada rakan sejawat kami di Malaysia. Apa yang telah berlaku, telah berlaku. Kami telah menutup bab itu, kami mahu lihat ke hadapan. Dan jika ada minat di pihak Malaysia sekarang untuk menghidupkan kembali projek HSR, beri kami usulan baru untuk diteliti dan kami pasti akan sangat terbuka kepada sebarang usulan baru," kata Encik Wong.



"Jadi kami sedang menunggu butiran lanjut, kerana ini hanya bercakap pada tahap yang sangat luas. Kami sedang menunggu butiran lanjut dan apabila kami melihat butirannya, kami akan melihat usulan itu secara terperinci dan kami akan mempertimbangkannya, dan kemudian kita boleh meneruskan perbincangan lanjut," tambahnya.



Semalam, Encik Wong telah menemui Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.



Semasa pertemuan itu, beliau menegaskan semula hubungan mesra dan panjang serta pelbagai aspek antara Singapura dan Malaysia, yang telah dibina di atas sejarah unik yang dikongsi bersama, dan hubungan antara rakyat yang kukuh.



Encik Wong berkata Singapura tidak sabar untuk menyambut ketibaan Yang di-Pertuan Agong semasa Lawatan Negara beliau ke Singapura bulan ini.



Pada hari-hari sebelumnya, beliau telah menemui Menteri Kanan Pertahanan Malaysia, Dato' Seri Hishammuddin Hussein; Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus; dan Menteri Kewangan Malaysia, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz.



Beliau juga menemui timbalan presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan, dan presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim.



Laporan lanjut - DPM Wong: Hubungan, persahabatan bersama pemimpin M'sia penting dibina




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >