Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Impian ibu 3 anak miliki flat sendiri jadi kenyataan

Dapat manfaat dari Skim Perumahan Permulaan Baru, kini miliki flat dua bilik fleksi
Jan 25, 2023 | 05:30 AM



SELEPAS sekian lama menanti, impian Cik Zaidah Ismail memiliki rumahnya sendiri akhirnya menjadi kenyataan.



Sebelum ini, Cik Zaidah dan keluarganya tinggal di flat lama miliknya bersama suami, namun dek perceraian, rumah itu perlu dijual.



Ibu tiga anak itu kemudian berpindah ke flat sewa dua bilik dan menetap di situ selama lapan tahun.



Namun, hasil bantuan di bawah Skim Perumahan Permulaan Baru, Cik Zaidah, kini berusia 57 tahun, berjaya berpindah ke flat dua bilik fleksi miliknya sendiri di Punggol pada 2019.



Dilancarkan pada 2016 oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), skim itu membantu keluarga - yang sebelum ini pernah mendapat sekurang-kurangnya satu subsidi perumahan - dengan anak-anak yang tinggal di flat sewa awam untuk membeli flat mereka sendiri.



"Gembira tak terkata hati saya apabila saya ambil kunci rumah baru. Saya sudah tunggu sekian lama dan akhirnya, saya dapat milik rumah saya sendiri," kata beliau, yang tinggal bersama anak bongsunya yang kini sedang menjalani Perkhidmatan Negara (NS).



Bagaimanapun, perjalanan mencapai aspirasi memiliki rumah sendiri penuh berliku bagi Cik Zaidah.



Ketika sedang menjalani proses perceraian, beliau dikhabarkan berita duka menghidapi penyakit barah buah dada tahap kedua.



Selama setahun, beliau tidak dapat bekerja kerana perlu menjalani rawatan dan pembedahan bagi penyakitnya itu.



Ini meskipun beliau - yang merupakan suri rumah sepanjang perkahwinannya dahulu - telah menjalani latihan dan berjaya mendapatkan lesen pegawai keselamatan untuk memulakan lembaran baru.



Tanpa pekerjaan, simpanan dalam Tabung Simpanan Pekerja (CPF) Cik Zaidah tidak mencukupi untuk membeli flat.



Oleh itu, Cik Zaidah dan tiga anaknya berpindah ke flat sewa dua bilik pada 2010.



Namun, beliau tidak berputus asa dan bekerja sebagai pegawai keselamatan setelah selesai rawatan barahnya dalam usaha mengumpulkan simpanan CPF.



Cik Zaidah berkongsi beliau pernah terfikir membeli flat tiga bilik dalam pasaran terbuka sebelum ini, memandangkan beliau memerlukan ruang lebih besar untuk tinggal bersama tiga anaknya.



Malangnya, ketika itu, simpanan CPF-nya masih belum mencukupi untuk menampung perbelanjaan bagi flat sedemikian.



Mujur, pada Ogos 2018, beliau disertakan dalam Skim Perumahan Permulaan Baru hasil bantuan pegawai HDB dan Anggota Parlimen (AP) di kawasan undinya.



Skim tersebut mengambil pendekatan menyeluruh dalam membantu keluarga dengan anak-anak di flat sewa melalui bantuan kewangan dan juga sokongan sosial, dengan keluarga yang layak akan menerima geran $50,000.



Di bawah skim itu, keluarga boleh membeli flat dua bilik fleksi dengan tempoh pajakan lebih pendek antara 45 hingga 65 tahun berbanding tempoh pajakan biasa selama 99 tahun.



Bermula dengan pelancaran penjualan Flat Bina Ikut Tempahan (BTO) bulan depan, keluarga juga mempunyai pilihan mendapatkan flat tiga bilik.



Mereka boleh mengambil pinjaman daripada HDB, namun ia tertakluk kepada penilaian kredit.



Kriteria lain termasuk had levi jualan semula pada $30,000, yang diselaraskan ke bawah berdasarkan tempoh pajakan yang dipilih, dan tempoh penginapan minimum (MOP) 20 tahun.



Cik Zaidah berkata beliau beruntung kerana menerima tempat pertama dalam proses undi untuk mendapatkan rumah.



"Oleh sebab saya dapat nombor satu, saya ada banyak pilihan tetapi akhirnya saya pilih flat dua bilik fleksi dalam skim Jualan Baki Flat (SBF) ini sebab unitnya di tingkat tinggi, pemandangannya cantik dan dekat dengan stesen LRT.



"Ia juga dekat dengan rumah anak sulung saya yang sudah berkahwin," kata beliau, yang mendapatkan rumah itu dengan tempoh pajakan 60 tahun.



Lebih menggembirakan, simpanan CPF beliau yang sudah terkumpul dan geran yang diberi membolehkan beliau membayar habis kos flat dua bilik fleksi itu sekitar $141,000.



Cik Zaidah, yang kini bekerja sebagai tukang urut bebas bagi wanita selepas bersalin, menggalak keluarga yang tinggal di flat sewa, terutamanya yang dengan anak-anak, untuk berusaha ke arah memiliki rumah sendiri.



"Memang perjalanannya jauh dan tidak mudah, tetapi terdapat bantuan seperti Skim Perumahan Permulaan Baru ini yang boleh menolong mereka, termasuk dari segi geran.



"Adalah baik untuk berusaha memiliki rumah sendiri kerana mereka akan mempunyai jaminan lebih besar untuk anak-anak dan masa depan," kata beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >