Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PANDANGAN: SUSULAN BELANJAWAN

Inisiatif Belanjawan bantu pasangan miliki flat HDB disambut baik

Feb 21, 2023 | 05:30 AM



SOKONGAN tambahan kepada pembeli rumah kali pertama seperti yang diumumkan semasa Belanjawan 2023 akan mengurangkan kos memiliki rumah sendiri yang meningkat, terutama bagi kumpulan yang kurang mampu.



Ia juga menambah pilihan bagi kumpulan yang memerlukan rumah sendiri dengan lebih segera, kata Profesor Qian Wenlan, dari Sekolah Perniagaan di Universiti Nasional Singapura (NUS).



"Belanjawan 2023 menyediakan sokongan tambahan bagi pembeli rumah kali pertama... termasuk geran perumahan CPF lebih tinggi bagi kumpulan yang layak membeli flat jualan semula HDB dan keutamaan yang bertambah bagi orang lebih muda yang ingin membeli flat BTO buat kali pertama dan mereka yang mempunyai anak dengan cara menambah peluang ballot mereka," ujar Profesor Qian, seorang akademik jurusan kewangan dan hartanah dan Pengarah Institut Pengajian Hartanah dan Bandar (IREUS) di NUS.



Bersependapat, beberapa pemerhati dan pakar lain juga berkata langkah perumahan yang diumumkan itu amat membantu warga yang ingin memiliki rumah sendiri.



Diharap sokong aspirasi warga lebih muda miliki rumah sendiri: Pakar



Pengumuman berhubung perumahan yang diumumkan di Belanjawan 2023 telah menerima maklum balas yang positif daripada warga.



Juga disambut dengan baik ialah hujah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, semasa membentangkan Belanjawan tersebut Selalu lalu, yang berkata pemerintah sedar tentang keprihatinan warga mengenai soal perumahan.



Menurut Encik Wong, perubahan yang diumumkan itu bertujuan menyokong aspirasi warga Singapura lebih muda, untuk memiliki rumah sendiri.



Golongan ini, menurut beliau, bersedia membeli flat jualan semula sebagai rumah pertama, tetapi mendapati harga flat sedemikian di pasaran jualan semula terlalu tinggi.



Bagi kumpulan warga yang ingin membeli flat jualan semula sebagai rumah pertama mereka, geran yang diperuntuk ditambah.



Keluarga yang membeli flat HDB empat bilik atau lebih kecil yang layak boleh menerima geran perumahan yang ditambah $30,000.



Mereka yang berura-ura membeli flat HDB lima bilik atau lebih besar boleh menjangka, jika layak, geran yang ditambah $10,000.



Ini bermakna, di bawah Geran Perumahan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) yang disemak, keluarga yang ingin membeli flat HDB jualan semula antara dua bilik dengan empat bilik buat kali pertama boleh menerima geran $80,000, berbanding dengan $50,000 sebelum ini.



Mereka yang membeli flat HDB jualan semula - lima bilik atau lebih besar - boleh menerima geran $50,000, berbanding $40,000 sebelum ini.



Mengulas mengenai langkah pemerintah ini, Pengarah Institut Pengajian Hartanah dan Bandar (IREUS) di Universiti Nasional Singapura (NUS), Profesor Qian Wenlan, berkata:



"Memandangkan harga flat jualan semula yang kian meningkat dan penangguhan dalam bekalan perumahan yang dicetuskan pandemik, langkah ini akan meredakan kos memiliki rumah yang meningkat, terutama yang belum bersedia dari segi kewangan dan pada masa yang sama ia juga menambah peluang (memiliki rumah) bagi mereka yang memerlukan rumah dengan lebih segera."



Bersependapat, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Propnex Realty, Encik Ismail Gafoor, berkata Belanjawan 2023 tidak mengecewakan.



Malah, beliau berkata ia adalah satu langkah yang memenuhi keperluan warga pada masa ini, terutama sekali apabila mengambil kira indeks harga flat jualan semula HDB yang telah bertambah hampir 31 peratus antara tempoh Januari-Mac 2020 dengan Oktober-Disember 2022.



"Tambahan kepada Geran Perumahan CPF yang besar ini akan membantu pembeli flat lebih mampu menguruskan kos flat jualan semula kerana ia mengurangkan bayaran pendahuluan atau jumlah pinjaman yang diperlukan.



"Pembeli kali pertama yang layak kini boleh menerima geran perumahan sehingga $190,000 - lebih banyak daripada $160,000 yang boleh diperolehi sebelum ini - untuk menampung pembelian flat jualan semula," ujar Encik Ismail.



Menambah, beliau juga berkata geran yang dinaikkan bagi pembeli flat HDB dua bilik dan empat bilik juga boleh menggalak keluarga untuk membeli rumah yang lebih sepadan dengan keperluan mereka.



Ini diharap dapat mengurangkan permintaan bagi flat lima bilik atau yang lebih besar, kata Encik Ismail lagi.



Bagi layak menerima geran, keluarga yang ingin membeli flat HDB harus dianggotai sekurang-kurangnya dua warga Singapura, atau seorang warga Singapura dan seorang penduduk tetap.



Mereka tidak seharusnya telah menerima subsidi perumahan sebelum ini dan tidak seharusnya mempunyai gaji bulanan lebih $14,000 dan tidak memiliki atau mempunyai bahagian dalam hartanah privet bagi tempoh 30 bulan sebelum tarikh permohonan.



Pembeli kali pertama flat jualan semula HDB yang belum mendirikan rumah tangga juga akan menerima geran perumahan CPF sehingga $40,000 jika mendapatkan flat empat bilik atau yang lebih kecil, berbanding geran sehingga $25,000 sebelum ini.



Jika ingin membeli flat lima bilik pula, kumpulan pembeli 'bujang' ini boleh mendapatkan geran sehingga $25,000, lebih tinggi daripada $20,000 yang diperuntuk sebelum ini.



Kumpulan bujang ini merujuk kepada warga Singapura berusia 35 tahun dan ke atas yang belum menerima sebarang subsidi perumahan sebelum ini, dan tidak mendapat gaji bulanan lebih $7,000 dan tidak memiliki atau mempunyai bahagian dalam hartanah privet bagi tempoh 30 bulan sebelum memohon.



MEMBELI FLAT BTO



Rintihan keluarga muda dan pasangan muda yang baru mendirikan rumah tangga kerana sukar membeli flat Bina Ikut Tempahan (BTO) juga ditangani dalam Belanjawan 2023.



Kumpulan pembeli sedemikian - keluarga dengan anak serta pasangan suami isteri muda berusia 40 tahun dan ke bawah - akan diberikan satu undi atau ballot tambahan apabila mereka memohon untuk membeli flat pertama.



Pemerhati pasaran perumahan, Cik Christine Sun, berkata menambah peluang ballot bagi kumpulan pembeli yang memerlukan rumah dengan segera adalah satu langkah yang baik.



"Tambahan peluang ballot ini mungkin mendorong lebih ramai pembeli yang layak memohon flat BTO.



"Ia juga boleh membantu mereka daripada kumpulan gaji rendah hingga gaji pertengahan memperoleh rumah lebih cepat, terutama jika mereka kurang wang tunai dan tidak mampu membeli flat jualan semula," ujar Cik Sun, Naib Presiden Kanan Jabatan Penyelidikan dan Analitik di firma hartanah, OrangeTee & Tie.



Mengulas mengenai dasar perumahan yang diumumkan oleh Encik Wong di Belanjawan 2023, Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, berkata antara lain, adalah hasrat pemerintah untuk memenuhi permintaan pemohon kali pertama yang ingin membeli flat BTO.



Kumpulan pembeli ini rencam, kata Encik Lee, dan melibatkan mereka yang mempunyai rumah sendiri, tetapi tidak pernah menerima subsidi perumahan daripada pemerintah.



"Justeru, kami ingin memberikan kumpulan lebih kecil dalam kumpulan besar pembeli kali pertama ini lebih banyak bantuan untuk mendapatkan rumah mereka." kata beliau.



Butiran lanjut mengenai dasar perumahan yang diumumkan di Belanjawan 2023 akan diketahui apabila Jawatankuasa Perbekalan (COS) Kementerian Pembangunan Negara (MND) dibahaskan pada Mac.



Langkah-langkah inklusif yang menambah peluang dan harapan bagi warga Singapura memperoleh rumah sendiri ini bermakna perbahasan itu akan menjadi tumpuan dan dianggap sebagai ukur tara komitmen pemerintah dalam menyediakan perumahan awam yang dimampui dan boleh dimiliki bagi setiap lapisan warga.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >