Subuh
5:34
Syuruk
6:51
Zuhur
12:55
Asar
4:04
Maghrib
6:57
Isyak
8:06

ISD: Radikalisasi diri keprihatinan utama pada ancaman domestik

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat
27
0

LAPORAN PENILAIAN ANCAMAN PENGGANASAN 2022

ISD: Radikalisasi diri keprihatinan utama pada ancaman domestik

Jul 14, 2022 | 05:30 AM

ANCAMAN radikalisasi diri terus menjadi pendorong utama bagi ancaman pengganasan domestik Singapura.

Sejak 2015, seramai 45 individu yang menjadi radikal - terdiri daripada 33 warga Singapura dan 12 warga asing - telah diberi Perintah Penahanan atau Perintah Sekatan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Terdapat juga 13 orang, terdiri daripada tiga warga Singapura dan 10 warga asing, yang diberkas atas kesalahan membiayai pengganasan.

Mendedahkan demikian dalam edisi keempat laporan penilaian ancaman pengganasan Singapura yang dikeluarkan semalam, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) berkata radikalisasi diri menerusi wadah dalam talian kekal sebagai keprihatinan utama di Singapura.

"Ancaman dari kumpulan pengganas (yang mendakwa mewakili) Islam dan ideologi ganas mereka berterusan. Rangkaian penyokong mereka dalam talian terus menyebarkan propaganda, mengumpul dana dan merancang serangan.

"Penyebaran ideologi radikal dalam talian telah menguatkan lagi ancaman radikalisasi diri di Singapura," kata ISD.

Kes radikalisasi diri terbaru berlaku April lalu, melibatkan seorang warga Singapura yang terpengaruh oleh ajaran pendakwah radikal dari luar negara yang disampaikan dalam talian.

Pekerja penghantaran di sebuah syarikat logistik yang berusia 29 tahun, Radjev Lal Madan Lal, diperkenalkan kepada khutbah dalam talian yang disampaikan pendakwah Imran Hosein dari Trinidad dan Tobago, yang dianggap ISD sebagai radikal.

Lama-kelamaan, Radjev menjadi radikal disebabkan ajaran Imran serta pendakwah radikal lain dari luar negara, dan mula percaya bahawa dia perlu melibatkan diri dalam pengganasan bersenjata untuk menentang "musuh Islam".

Dia berlatih menggunakan pisau, dan apabila ditahan, sedang mempertimbang untuk pergi ke Afghanistan bagi menyertai militan Taleban.

Radjev juga cuba merekrut keluarga dan rakan-rakannya, dan memulakan kumpulan media sosial agar dapat menyebarkan ideologinya kepada orang ramai dalam talian.

Walaupun dia tidak mempunyai rancangan serangan yang khusus, Radjev mengaku bahawa dia sanggup melakukan serangan di Singapura atau menentang kepentingan Singapura di luar negara, tambah ISD.

"Kes Radjev mencerminkan betapa berleluasanya ideologi ekstremis dan pengganas dalam talian, termasuk yang disebarkan ideologi dan pendakwah asing.

"Justeru, ia penting untuk mengekalkan pendekatan sifar toleransi Singapura terhadap ucapan berbaur kebencian dan retorik ekstremis, dan untuk melindung masyarakat lebih luas daripada ideologi radikal," kata ISD.

Singapura juga mengambil pendirian tegas terhadap kegiatan berkaitan pembiayaan pengganasan.

Dalam 12 bulan lalu, seorang warga Singapura dan seorang warga Bangladesh diberkas.

Warga Singapura, Mohamed Kazali Salleh, yang merupakan seorang peniaga, telah memberi seorang lelaki Malaysia lebih $1,000 untuk membantu perjalanan lelaki itu ke Syria untuk menjadi pejuang ISIS.

Kazali dihukum penjara tiga tahun dan 10 bulan atas kesalahannya pada September tahun lalu.

Warga Bangladesh, Ahmed Faysal, pula membuat pemindahan wang kira-kira $900 menerusi wadah dalam talian yang memberi manfaat kepada satu entiti pengganas di Syria. Februari lalu, dia dihukum penjara selama dua tahun dan lapan bulan.


"Ancaman dari kumpulan pengganas (yang mendakwa mewakili) Islam dan ideologi ganas mereka berterusan. Rangkaian penyokong mereka dalam talian terus menyebarkan propaganda, mengumpul dana dan merancang serangan.
Penyebaran ideologi radikal dalam talian telah menguatkan lagi ancaman radikalisasi diri di Singapura.
...Justeru, ia penting untuk mengekalkan pendekatan sifar toleransi Singapura terhadap ucapan berbaur kebencian dan retorik ekstremis, dan untuk melindung masyarakat lebih luas daripada ideologi radikal."

- ISD.


USAHA MENENTANG PENGGANASAN

USAHA PEMERINTAH

1) Keupayaan Siasatan dan Respons

  • Pasukan Respons Udara (ART) menggunakan dron untuk memperkukuh operasi polis, antaranya adalah rondaan udara. Lebih ramai juruterbang dron akan dilatih tahun ini.
  • Pasukan Tindak Balas 'In Situ' (IRT) dari Divisyen Darat dikerahkan di lokasi ikonik dan mempunyai jumlah pengunjung yang tinggi untuk meningkatkan respons Polis kepada serangan pengganas yang boleh berlaku.
  • Polis menjalankan latihan menentang pengganasan secara tetap, termasuk yang berskala besar melibatkan beberapa agensi.
  • Polis memperkukuh kerjasama dengan pihak berkepentingan dalam masayarakat seperti menerusi Kumpulan Bertindak Perlindungan Keselamatan (PSEG).
  • Polis akan meluaskan rangkaian kamera kepada lebih 200,000 kamera menjelang 2030.

2) Keselamatan Sempadan

  • Pemeriksaan penumpang awal (APS) yang memerlukan syarikat penerbangan untuk menyerahkan maklumat penumpang awal kepada pihak berkuasa.
  • Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) akan memperkenalkan Konsep Pelepasan Baru (NCC) mulai 2023 yang menggunakan imbasan iris dan wajah.
  • Dari segi proses pelepasan kargo, ICA akan menggunakan analitik data dan kecerdasan buatan (AI) untuk mengesan anomali dan mencegah kargo yang tidak diingini daripada merentas sempadan dengan lebih baik.

USAHA MASYARAKAT

1) Membina Kesedaran

  • Home Team melaksanakan pelbagai program bagi individu dan institusi di seluruh masyarakat.
  • Ia termasuk Pameran (Roadshow) SGSecure, kunjungan rumah SGSecure, pameran bergerak dan ceramah di sekolah, program SGSecure di tempat kerja, taklimat menentang pengganasan serta kegiatan antara agama.

2) Meningkatkan Kesediaan

  • Lebih 7,500 penduduk dan relawan telah menjalani latihan kemahiran kesediaan kecemasan anjuran Persatuan Rakyat (PA).
  • Panduan SGSecure bagi tempat kerja bantu perniagaan bersedia berdepan dengan ancaman pengganasan.
  • Lebih 65,000 perniagaan telah melantik wakil SGSecure dan lebih 27,000 syarikat mempunyai sijil dibawah rangka kerja bizSAFE yang dipertingkat.

3) Memperkukuh Tindak Balas Masyarakat

  • Sejak pelancarannya pada November 2019, lebih 100,000 orang telah mendaftar sebagai Penggerak Balas, atau 'Responder', SGSecure yang akan membantu masyarakat sewaktu kecemasan dan krisis.
  • Meja Bundar Respons Masyarakat (CCRT) dirintis pada 2019, untuk memperkukuh kerjasama antara kumpulan pihak berkepentingan agar dapat meningkatkan kesediaan menghadapi kecemasan di tahap masyarakat setempat.

4) Menuju Ke Hadapan bagi Gerakan SGSecure

  • Gerakan SGSecure akan terus mendekati dan memberi masyarakat keupayaan untuk memainkan peranan secara aktif dalam memastikan keselamatan diri dan orang lain daripada ancaman pengganasan.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3