Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

LAWATAN PRESIDEN TIMOR LESTE KE S'PURA

'Kerjasama S'pura, Timor-Leste terus penting dalam suasana geopolitik tidak menentu, kompleks'

Dec 09, 2022 | 05:30 AM



SEDANG Singapura kekal menjadi penyokong kuat pembangunan Timor-Leste, Presiden Halimah Yacob, berkata kerjasama antara kededua negara terus penting di sebalik suasana geopolitik yang tidak menentu dan kompleks.



Berucap di majlis jamuan negara yang dihoskannya sebagai penghormatan kepada Presiden Timor-Leste, Encik José Ramos-Horta ke sini, Presiden Halimah berkata Singapura telah menyumbang kepada usaha pembangunan kapasiti negara itu menerusi Program Kerjasama Singapura (SCP).



Menurut Presiden Halimah, lawatan negara Presiden Ramos-Horta ke Singapura berlangsung semasa tempoh penting dalam hubungan dua hala kededua negara.



"Tahun ini kita menyambut ulang tahun ke-20 tertubuhnya hubungan diplomatik antara Singapura dengan Timor-Leste.



"Sebenarnya persahabatan antara kededua negara bermula sebelum Timor-Leste mencapai kemerdekaan pada 2002.



"Singapura merupakan antara negara pertama yang menyumbang kepada operasi mengekalkan keamanan di Timor-Leste pada 1999 menerusi Pasukan Antarabangsa Timor Timur atau Interfet," katanya.



Sepanjang tempoh penglibatan negara ini yang berlangsung sehingga 2012, Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) menyumbang lebih 1,000 kakitangan, termasuk pasukan perubatan dan pengaman kombat, serta peralatan seperti kapal mendarat kereta kebal dan helikopter.



Pasukan Polis Singapura (SPF) juga menghantar para pegawai polis ke Timor-Leste sebagai sebahagian daripada kontinjen polis awam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan membantu menubuhkan Perkhidmatan Polis Timor Timur.



"Para pegawai kami mempunyai memori indah semasa berada di Timor-Leste dan membuat persahabatan berpanjangan dengan warga Timor-Leste," katanya.



Presiden Ramos-Horta selamat sampai ke Singapura Selasa lalu bagi memulakan lawatan rasmi enam hari hingga 11 Disember.



Menurut kenyataan Kementerian Ehwal Luar (MFA) Singapura Selasa lalu, Presiden Ramos-Horta diiringi Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Kerjasama, Cik Adaljiza Magno; Menteri Penyelaras Ekonomi, Encik Joaquim Amaral, dan ahli parlimen serta pegawai kanan.



Lawatan negara itu adalah atas undangan Presiden Halimah dan merupakan lawatan negara pertama daripada Presiden Timor- Leste.



Ternyata hubungan mesra antara Singapura dengan Timor-Leste telah diperkukuh saban tahun.



Singapura, kata Presiden Halimah merupakan rakan dagangan dan destinasi eksport utama Timor-Leste pada 2021, dengan dagangan dua hala meningkat sehingga 46 peratus tahun demi tahun sebelum pandemik Covid-19 melanda.



"Syarikat-syarikat Singapura juga melabur di Timor-Leste dalam bidang seperti hospitaliti dan hartanah.



"Dengan penduduk yang muda dan dinamik, Timor-Leste mempunyai potensi ekonomi yang hebat dengan peluang bagi perniagaan kami berkolaborasi.



"Saya gembira kerana penerbangan langsung telah disambung antara Singapura dengan Dili, yang akan mempertingkat perhubungan dan menyelaras untuk memperkukuhkan perniagaan serta hubungan antara masyarakat," tambah Presiden Halimah.



Presiden Halimah berkata di sebalik landskap geopolitik yang tidak menentu dan kompleks, kerjasama antara kededua negara kekal penting.



"Selaku negara pulau yang kecil, kami berkongsi banyak kepentingan bersama dan pandangan dunia yang serupa.



"Kededua negara berpandangan luar menyokong dasar berbilang hala dan percaya akan pentingnya suasana serantau yang terbuka dan inklusif," ujarnya lagi.



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >