Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Lebih banyak flat BTO diperuntuk bagi pemohon kali pertama

Dua projek di bawah model Perumahan Awam Lokasi Utama turut dilancar di Bukit Merah
Aug 31, 2022 | 05:30 AM



LEBIH banyak flat Bina Ikut Tempahan (BTO) di estet tidak matang telah diperuntukkan untuk pemohon kali pertama sedang Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) melancarkan 4,993 flat BTO semalam.



Sekurang-kurangnya 85 peratus daripada flat BTO tiga bilik dan 95 peratus daripada flat empat bilik dan lebih besar di estet tidak matang, akan diketepikan untuk keluarga yang kali pertama memohon flat.



Ini naik daripada 70 peratus bagi flat tiga bilik dan 85 peratus bagi flat empat bilik dan lebih besar, kata HDB.



Bagi pemohon kali pertama di kalangan golongan bujang, hingga 65 peratus flat fleksi dua bilik bukan untuk warga emas di estet tidak matang akan diketepikan untuk mereka - naik daripada hingga 50 peratus.



Sementara itu, bilangan flat yang diketepikan untuk keluarga pemohon kali pertama dan keluarga pemohon kali kedua di bawah Skim Keutamaan Anak Sudah Berumah Tangga (MCPS) di estet matang di bawah model Perumahan Awam Lokasi Utama (PLH) dalam pelancaran ini telah dikurangkan.



Dua projek, kedua-duanya di Bukit Merah, telah dilancarkan di bawah model PLH dalam penjualan kali ini.



Hingga 20 peratus flat PLH dalam kedua-dua projek itu akan diperuntukkan untuk keluarga yang kali pertama memohon flat, dan hingga 2 peratus untuk keluarga yang kali kedua memohon flat, di bawah MCPS.



Ini adalah dua pertiga daripada kuota biasa.



Kuota keutamaan bagi flat BTO lain dalam estet matang adalah hingga 30 peratus untuk keluarga pemohon kali pertama, dan hingga 3 peratus untuk keluarga pemohon kali kedua.



Kuota yang dikurangkan itu akan memberi lebih banyak peluang kepada warga Singapura yang tidak mempunyai ahli keluarga yang tinggal berhampiran kawasan itu untuk turut berpeluang tinggal di lokasi tersebut, kata HDB.



Memandangkan flat PLH diberi harga dengan subsidi tambahan di samping subsidi besar yang telah diberikan untuk semua flat BTO hari ini, pemilik flat itu perlu mengembalikan kepada HDB sebahagian daripada harga jualan semula atau penilaian, mana yang lebih tinggi, selepas penjualan flat mereka.



Bagi kedua-dua projek di Bukit Merah itu iaitu Havelock Hillside dan Alexandra Vale, jumlah yang akan diperoleh semula daripada pembeli flat adalah 6 peratus dan akan tertakluk tanpa mengambil kira bila flat itu dijual pada masa hadapan.



Jumlah yang akan diperoleh semula itu adalah setimpal dengan tahap subsidi tambahan yang telah diberikan, kata HDB.



Pemilik juga akan tertakluk kepada tempoh pendudukan minimum (MOP) 10 tahun sebelum mereka boleh menjual flat mereka di pasaran terbuka.



Flat BTO biasa mempunyai MOP lima tahun dan tiada pemerolehan semula subsidi.



Alexandra Vale menawarkan 782 flat tiga bilik dan empat bilik dalam dua blok di tapak bersebelahan stesen MRT Redhill. Salah satu blok itu akan menempatkan beberapa flat sewa.



Harga untuk projek ini antara $385,000 dengan $477,000, tanpa geran, untuk flat tiga bilik, dan $547,000 hingga $705,000 untuk flat empat bilik.



Havelock Hillside pula menawarkan 869 flat tiga bilik dan empat bilik dalam dua blok di tapak sepanjang Havelock Road tidak jauh dengan stesen MRT Tiong Bahru.



Harga untuk projek ini antara $370,000 dengan $515,000 untuk flat tiga bilik, dan $531,000 hingga $730,000 untuk flat empat bilik.



Mengenai peruntukan lebih banyak flat BTO untuk pemohon kali pertama di estet tidak matang, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PropNex Realty, Encik Ismail Gafoor, berkata ia adalah satu langkah ke arah yang betul, memandangkan kadar langganan flat BTO yang sihat sejak beberapa pelancaran lalu serta menyediakan lebih banyak pilihan perumahan yang dimampui untuk keluarga muda.



Pelancaran BTO kali ini menawarkan 2,814 unit di estet matang Ang Mo Kio, Bukit Merah dan Tampines dan 2,179 unit di estet tidak matang Choa Chu Kang, Jurong East dan Woodlands.



Jumlah flat yang ditawarkan adalah 9 peratus lebih tinggi berbanding pelancaran sebelumnya pada Mei lalu.



"Pelbagai jenis flat ini akan memenuhi bajet dan keperluan pembeli rumah yang berbeza," kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee.



Peruntukan lebih banyak unit BTO di estet tidak matang untuk pemohon kali pertama pula "memberikan mereka kepastian yang lebih besar dalam mendapatkan flat mereka", tambahnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >