Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Lebih ramai warga senja kini lebih tahu gunakan teknologi: Tinjauan digital MCI

Feb 19, 2023 | 05:17 PM



LEBIH ramai warga emas di Singapura kini mahir menggunakan teknologi, dengan warga senja berusia 60-an dan 70 tahun ke atas menunjukkan tahap kecekapan digital yang lebih tinggi menurut satu tinjauan yang dijalankan.


Data Tinjauan Persediaan Digital 2022, yang dijalankan Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI), menunjukkan sekitar 44 peratus warga emas berusia 60-an tahun yang ditinjau mempunyai tahap kecekapan digital asas atau lebih tinggi pada 2022, berbanding 28 peratus pada 2020.


Ini bermakna mereka dapat melakukan sekurang-kurangnya 13 tugas asas digital, seperti mengakses khidmat pemerintah menggunakan Singpass, membuat pembayaran digital menggunakan telefon bimbit bijak, dan membeli produk atau perkhidmatan dalam talian.

Tinjauan itu melibatkan lebih 2,000 warga Singapura berusia 15 tahun ke atas.


Sementara itu, sekitar 29 peratus warga emas berusia 70 tahun ke atas mempunyai kecekapan digital yang sedang membangun –  iaitu keupayaan melakukan enam tugas asas digital, seperti melungsuri atau membaca kandungan di media sosial dan menggunakan khidmat penghantaran mesej, umpamanya WhatsApp.

Ini lebih tinggi berbanding 7 peratus pada 2020.


Dalam pada itu, peratusan warga emas berusia 70 tahun ke atas yang mempunyai kecekapan digital yang rendah telah berkurangan –  daripada 80 peratus pada 2020 kepada 54 peratus pada 2022.


Berkongsi data itu semasa sesi pendekatan Forward SG mengenai ‘Membina Keyakinan Warga Emas dalam Digital’ pada Jumaat lalu (17 Feb), Menteri Perhubungan dan Penerangan, Cik Josephine Teo, berkata perangkaan tersebut adalah menggalakkan.


Namun, beliau berkata meskipun pendigitalan adalah bahagian penting dalam usaha bergerak maju bersama sebagai satu negara dan memperkukuh kompak sosial, adalah lebih wajar bagi negara ini mempertimbangkan pendekatan menjadi “digital dahulu, tetapi bukan digital sahaja”.


Pada Ahad (19 Feb), Cik Teo telah mengunjungi Pameran Bergerak Perjalanan Pembelajaran E-Pembayaran dan Data di Hab Warga Emas Nee Soon East di Yishun Street 22 dan berinteraksi bersama warga emas yang datang menyertai sesi pembelajaran tersebut.


“Kami mahu menggalak pendigitalan, namun tidak mahu menjadikan ia begitu keras, tanpa pilihan.

“Ia tidak bermakna bahawa semua perkhidmatan terus mempunyai pilihan bukan digital. Namun secara keseluruhan, individu masih boleh berfungsi, dengan perkhidmatan penting masih sedia ada untuk beliau.


“Itu sebabnya bagi baucar CDC (Majlis Pembangunan Masyarakat), kebanyakan baucar ditebus melalui kaedah digital, tetapi masih terdapat pilihan bukan digital,” kata beliau.


Cik Teo menambah bahawa masih terdapat beberapa bidang cabaran bagi warga emas dalam ruang digital, seperti penggunaan telefon bimbit bijak bagi pembayaran secara digital, dan jurang ini harus dirapatkan.


Satu lagi bidang keprihatinan adalah berhubung berita palsu, dengan hanya sekitar 22 peratus penduduk umum yang ditinjau berkata mereka tidak tahu cara memeriksa kesahihan berita dan maklumat.


Bahkan, perangkaan itu lebih tinggi bagi golongan senja, iaitu sekitar 45 peratus bagi mereka yang berusia 60-an tahun dan 62 peratus bagi warga berusia 70 tahun ke atas.


Dalam usaha membantu golongan senja menjadi lebih mahir dan selesa menggunakan teknologi, Cik Teo berkata terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan.


Ini termasuk membantu mereka belajar kemahiran digital, mereka perkhidmatan digital yang disesuaikan bagi  keperluan golongan senja –  seperti saiz huruf dan bahasa, dan memberi keyakinan bahawa teknologi bukan sesuatu yang asing buat mereka, misalnya sebelum ini mereka telah belajar menggunakan mesin pencuci pakaian dan pager.


“Apabila kita berhubung dalam cara yang berkesan untuk mereka, membantu mereka dengan rekaan, membantu mereka dengan kemahiran, mereka akan mula memahaminya secara bertahap-tahap.


“Dengan sokongan masyarakat, saya rasa mereka boleh menjadi lebih cekap dan yakin,” kata beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >