Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SEKITAR RAMADAN

Mahu lestarikan hidangan tradisional Melayu

Belajar resipi, selok-belok bisnes untuk teruskan perniagaan yang ditinggalkan arwah pak cik
Mar 30, 2023 | 05:30 AM



Sudah hampir dua minggu sejak Bazar Kampong Glam beroperasi. Dianjurkan pada skala besar-besaran setelah pemansuhan sekatan pandemik, BERITA HARIAN meninjau gerai-gerai yang buat kali pertama berniaga di sana. 



BUKAN mudah mengambil alih sesebuah perniagaan makanan, apatah lagi mempelajari resipi juadah yang disajikan dalam tempoh singkat.



Namun, atas tekad melestarikan hidangan tradisional Melayu, Cik Raudhah Putri Zulkiffle sekeluarga cekalkan hati bagi mempelajari seberapa yang mampu aspek-aspek bisnes dan juadah yang dijual dengan membuka gerai Bo-Geh.



Anak sulung keluarga lima beradik itu, yang juga jurucakap perniagaan keluarganya, berkata:



"Ayah saya mengambil alih perniagaan yang ditinggalkan arwah pak cik pada 2019 dan dari situ, kami belajar selok-belok berniaga dan belajar resipinya."



Ayah beliau, Encik Zulkiffle Saad, 54 tahun, merupakan pemilik perniagaan itu dan seluruh bisnes dikendalikan secara bersama oleh anggota keluarga.



Cik Raudhah, 30 tahun, menambah bahawa keluarganya memilih untuk menjual snek tradisional Melayu seperti keropok lekor, apam balik dan durian goreng kerana mereka ingin menaikkan darjat snek-snek tersebut agar ia dapat "disemai dalam diri khalayak ramai".



"Lumrahnya bagi makanan yang trending, popularitinya akan menurun jua tetapi untuk makanan tradisional, ia akan kekal," jelas beliau.



Menurutnya, antara cabaran utama yang dihadapi keluarganya selepas mengambil alih perniagaan adalah mengolah menu sedia ada supaya ia diberi nafas baru tetapi tetap mengekalkan beberapa ciri asal.



Lantaran itu, mereka membuat keputusan bersandarkan pada menu lama tetapi memperkemas sajian yang dijual supaya ia lebih tertumpu.



Tambah Cik Raudhah, keluarganya mula bergiat di pasar malam pada 2019 untuk mendedahkan snek makanan tradisional Melayu kepada orang ramai di samping memahami kehendak pelanggan dengan lebih dekat.



Apabila pandemik melanda pada 2020 dan 2021, ia menjejas operasi mereka kerana acara-acara tidak dapat diadakan.



Sungguhpun demikian, beliau berkata ia merupakan peluang melakar semula strategi dan "terus belajar daripada mereka yang lebih berpengalaman".



"Daripada pengalaman berniaga di pasar malam sebelum Covid-19 melanda, kami kini lebih peka akan pembelian stok supaya ia tidaklah berlebihan dan kerap turun padang ke tapak bagi mengenal pasti sesebuah lokasi," tambah beliau.



Keluarganya kini mengendalikan dua gerai di dua bazar Ramadan berasingan, iaitu di Bazar Kampong Glam dan Bazar Ramadan Sembawang West berhampiran MRT Admiralty.



Menjelaskan berkembangan bagi gerai utama mereka di Kampong Glam, Cik Raudhah menjelaskan bahawa maklum balas yang diperoleh sejauh ini daripada pelanggan adalah positif dan sambutannya menggalakkan.



"Ramai pelanggan tempatan yang terdiri daripada pelbagai lapisan bangsa datang... termasuk juga pelancong asing yang ingin cuba snek jualan kami," tambahnya.



Dalam pada itu, beliau berharap satu hari nanti, jenama yang diusahakan keluarganya dapat berkembang dan menyasarkan matlamat untuk membuka sebuah kedai tetap kelak.



"Alhamdulillah bisnes kian berkembang secara progresif tetapi masih banyak perlu diusahakan," tambah Cik Raudhah.




"Ramai pelanggan tempatan yang terdiri daripada pelbagai lapisan bangsa datang... termasuk juga pelancong asing yang ingin cuba snek jualan kami... Alhamdulillah bisnes kian berkembang secara progresif tetapi masih banyak perlu diusahakan."
- Cik Raudhah Putri Zulkiffle yang bersama keluarganya mengendalikan gerai Bo-Geh di Bazar Kampong Glam.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >