Subuh
5:38
Syuruk
7:02
Zuhur
1:09
Asar
4:34
Maghrib
7:14
Isyak
8:29

Muis boleh lapor polis jika individu terus sebar ajaran sesat

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat
27
0

PARLIMEN

Muis boleh lapor polis jika individu terus sebar ajaran sesat

Masagos tekankan Muis pandang serius perbuatan sebar ajaran sesat
Feb 03, 2021 | 05:30 AM

MAJLIS Ugama Islam Singapura (Muis) boleh membuat laporan polis untuk mengambil tindakan terhadap seseorang individu yang tetap menyebarkan ajaran sesat walaupun setelah menjalani kaunseling dengan penguasa keagamaan.

Ini dinyatakan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, dalam satu jawapan bertulis di Parlimen semalam.

"Jika terdapat kes teruk penyebaran ajaran palsu, contohnya, jika orang yang menyebarkan ajaran palsu itu tetap melakukannya setelah kaunseling, Muis mungkin memfailkan laporan polis di bawah Seksyen 139 Amla (Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam)

"Jika laporan polis dibuat, polis akan menyiasat kes itu dengan sewajarnya berdasarkan fakta kes itu dan berunding dengan Muis mengenai ehwal keagamaan yang berkaitan," kata Encik Masagos.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Dr Wan Rizal Wan Zakariah (GRC Jalan Besar) mengenai apakah faktor bagi mengambil tindakan di bawah Seksyen 139 Amla terhadap individu yang mengamalkan dan menyebar ajaran sesat.

Penyebaran ajaran sesat mendapat perhatian tahun lalu setelah timbul laporan mengenai seorang lelaki yang didakwa menyeleweng dan mengaku dirinya nabi.

Bekas tukang urut berusia 50-an tahun itu juga dikatakan telah menjalani nikah batin bersama lima wanita.

Pada 4 Januari lalu, Encik Masagos dalam satu jawapan bertulis di Parlimen mengenai isu ajaran sesat telah berkata sedang tindakan boleh diambil di bawah Amla, apa-apa usaha untuk menggunakan kuasa undang-undang ke atas ehwal keagamaan mesti dipertimbangkan secara berhati-hati.

Semalam, Encik Masagos menekankan bahawa Muis memandang serius terhadap penyebaran ajaran sesat, khususnya jika ia mengancam keamanan dan keharmonian sosio-agama serta gaya hidup di Singapura.

Muis juga mempunyai pendekatan berbilang serampang untuk mengatasi individu yang menyebar ajaran sesat atas nama agama Islam.

Seksyen 139 Amla menetapkan hukuman ke atas mereka yang menyebar ajaran palsu.

Memandangkan ini merupakan hal keagamaan, Pejabat Mufti dan Jawatankuasa Fatwa terdahulu dirunding dalam mengatasi hal sedemikian.

Sejauh ini, penguasa keagamaan telah menasihati bahawa pendekatan lain digunakan dahulu, misalnya bermula dengan kaunseling, bergantung pada betapa serius situasinya, kata Encik Masagos.

Jika individu yang bertanggungjawab menyebar ajaran sesat didaftar di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS), Lembaga Pengiktirafan Asatizah boleh membatalkan pengiktirafan mereka.

Semua asatizah ARS juga perlu kerap meningkatkan diri dan mengemaskini ilmu keagamaan mereka, dan pentauliahan mereka juga disemak dari masa ke masa.

Jika mereka tidak layak menjadi asatizah, contohnya jika mereka melanggar Kod Etika, status ARS mereka akan digantung atau dibatalkan.

Orang Islam juga digalak mendapatkan bimbingan agama daripada asatizah yang diiktiraf ARS, dan senarai asatizah itu boleh didapati di https://www.muis.gov.sg/ARS-and-IECP/ARS/ARS-certified-Teachers.

Pejabat Mufti juga akan terus mengingatkan orang Islam di Singapura terhadap ajaran dan maklumat yang salah menerusi khutbah jumaat serta liputan di akhbar aliran utama.

Muis juga menerbitkan fatwa di laman https://www.muis.gov.sg/officeofthemufti/Fatwa.

Encik Masagos juga sebelum ini berkata Muis telah menerima lima aduan mengenai individu yang didakwa menyebar ajaran sesat.

Mana-mana bukti ajaran sesat yang diterima Muis dibentangkan kepada Jawatankuasa Fatwa untuk menilai adakah dakwaan tersebut benar.

"Muis dan Jawatankuasa Fatwa menyiasat dan menangani semua aduan itu menerusi gabungan pengeluaran fatwa, kaunseling dan pendidikan awam," jelas Encik Masagos.


"Jika terdapat kes teruk penyebaran ajaran palsu, contohnya, jika orang yang menyebarkan ajaran palsu itu tetap melakukannya setelah kaunseling, Muis mungkin memfailkan laporan polis di bawah Seksyen 139 Amla (Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam). Jika laporan polis dibuat, polis akan menyiasat kes itu dengan sewajarnya berdasarkan fakta kes itu dan berunding dengan Muis mengenai ehwal keagamaan yang berkaitan."
- Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli Masagos Mohamad dalam jawapan bertulis di Parlimen mengenai isu sebaran ajaran sesat.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3