Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SEKITAR RAMADAN

Muis pertingkat portal baru zakat

Usaha bagi mudahkan bayaran, permohonan zakat
Apr 15, 2021 | 05:30 AM



MAJLIS Ugama Islam Singapura (Muis) telah mempertingkatkan portal zakat bagi memudahkan masyarakat Islam Singapura menunaikan rukun Islam ketiga itu.



Pusat sehenti www.zakat.sg itu antara lain menawarkan pelbagai khidmat bayaran tanpa tunai, seperti PayNow, kad debit serta eNETS.



Bagi memudahkan pembayar, mereka boleh menggunakan kalkulator zakat yang disediakan bagi membuat perkiraan zakat harta dengan tepat.



Resit pembayaran pula akan dikirimkan secara automatik ke e-mel yang didaftarkan.



Selain itu, pembayar yang mendaftarkan bagi sebuah akaun pengguna di portal tersebut juga boleh melihat sejarah transaksi mereka.



Menurut Penolong Pengarah Kanan Dana Masyarakat, Muis, Encik Shamsul Jangarodin, langkah mempertingkatkan portal rasmi Penguasa Zakat Singapura itu selaras dengan usaha pendigitalan pemerintah dalam rangka menyediakan khidmat yang lebih baik dan selamat dalam norma baru kini.



"Pihak Muis mengambil kira tabiat pengguna yang kini lebih selesa untuk melakukan transaksi tanpa tunai dalam talian, termasuk dalam kalangan warga emas kita.



"Dengan keadaan kita yang masih dalam pandemik, kita perlu terus menjaga satu sama lain, tanpa mengabaikan tanggungjawab kita untuk menunaikan zakat," kata Encik Shamsul.



Tambah beliau, Muis bekerjasama dengan Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) untuk membantu golongan warga senja mempelajari proses pembayaran dan penggunaan teknologi digital menerusi inisiatif Warga Emas Melangkah ke Arah Digital RLAF.



Ini bagi memberikan pengalaman yang lebih baik untuk pembayar zakat - seperti menunaikan zakat harta dan fitrah secara fizikal di kaunter - proses akhir pembayaran digital di portal akan diselitkan dengan pembacaan doa zakat oleh seorang amil secara maya.



Pembayaran zakat harta dan fitrah secara dalam talian melonjak tinggi tahun lalu apabila kesemua masjid setempat - yang merupakan pusat pungutan zakat bertauliah - ditutup ekoran perlaksanaan pemutus rantaian bagi mencegah penularan Covid-19.



Langkah yang mengehadkan pergerakan orang ramai itu telah mendorong masyarakat menggunakan wadah-wadah alternatif seperti portal dalam talian dan mesin-mesin AXS untuk menunaikan zakat mereka.



"Alhamdulillah, sokongan masyarakat yang kukuh pada institusi zakat telah mendorong Muis mempertingkatkan portal zakat bagi memberikan pengalaman pembayaran yang lebih baik dan lancar," kata Encik Shamsul.



Sementara itu pihak Muis juga menasihatkan orang ramai supaya menggunakan portal baru zakat tersebut, dan elakkan daripada membuat pindahan wang menerusi nombor UEN Muis seperti yang diamalkan sebelum ini.



"Langkah ini bagi memudahkan pembayar mendapatkan resit untuk memastikan wang zakat yang dibayar benar-benar sudah diterima," tambah Encik Shamsul.



Selain membuat pembayaran, portal itu turut menyediakan maklumat terperinci tentang agihan zakat kepada lapan asnaf di Singapura, serta kisah-kisah yang dikongsi para penerima zakat.



Anggota masyarakat yang ingin membuat permohonan bagi bantuan zakat juga boleh mendapatkan maklumat yang diperlukan di portal tersebut.



Pemandu kereta sewa privet, Encik Haron Yahya, berkata laman web zakat yang dipertingkatkan ini lebih jelas dan padat dengan informasi.



"Pilihan kaedah pembayaran yang pelbagai juga memudahkan masyarakat untuk menunaikan zakat mereka," ujar Encik Haron, 55 tahun.



Sepanjang setahun lalu, Muis telah mengembangkan pelbagai usaha pendigitalan dengan pesat bagi memenuhi keperluan masyarakat dalam keadaan pandemik kini.



Ini termasuk laman derma ke masjid (www.ourmasjid.sg) dan madrasah (www.ourmadrasah.sg), masing-masing menawarkan pelbagai kaedah menderma tanpa tunai dengan selamat seperti PayNow, kad kredit dan debit, eNETS serta GIRO.



Portal sistem tempahan masjid juga diperkenalkan bagi mereka yang ingin mendirikan solat di masjid-masjid.



Sementara itu, Muis dengan kerjasama para asatizah dan masjid-masjid telah mempertingkatkan kandungan saluran informasi agama SalamSG di YouTube, yang dilancarkan pada Ramadan tahun lalu, bagi memudahkan masyarakat mendapatkan pelbagai program agama menarik sepanjang Ramadan ini di dalam keselesaan rumah masing-masing.




"Alhamdulillah, sokongan masyarakat yang kukuh pada institusi zakat telah mendorong Muis mempertingkatkan portal zakat bagi memberikan pengalaman pembayaran yang lebih baik dan lancar."
- Encik Shamsul Jangarodin, Penolong Pengarah Kanan Dana Masyarakat, Muis.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >