Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Muis peruntuk tiga tahun naikkan gaji asatizah

Gaji asatizah disemak secara bertahap hingga 2025, selaras Garis Panduan Gaji Umum
Jul 23, 2023 | 05:30 AM



Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) memperuntuk tempoh tiga tahun, mulai 2023, bagi menaikkan secara berperingkat gaji asatizah di madrasah dan masjid.

Namun, institusi keagamaan yang lebih mampu menaikkan gaji asatizah lebih awal digalak berbuat demikian, kata ketua Jabatan Sumber Manusia Muis, Cik Indahsuria Mokhtar.

Tempoh semakan tiga tahun itu diperlukan untuk memberi peluang kepada institusi keagamaan menyesuaikan keadaan kewangan mereka bagi menampung kos kenaikan gaji tersebut, kata beliau lagi.

Ini selaras dengan pelaksanaan Garis Panduan Gaji Umum (CSG) secara berperingkat pada 2023.

Garis panduan itu sebahagian Pelan Pembangunan Tenaga Kerja Asatizah (AWDP) yang antara lain bertujuan memastikan asatizah diberi gaji yang adil berdasarkan kecekapan dan nilai yang mereka berikan dalam pekerjaan mereka.

Ia kini sedang dilaksana Muis dengan kerjasama madrasah, masjid serta Hab Pembelajaran Islam dan Pejabat Pengurusan (Ilham).

Menerangkan faktor-faktor yang dipertimbang dalam pelaksanaan CSG, Cik Indahsuria berkata langkah pertama adalah mengenal pasti sektor yang bersaing untuk mendapatkan khidmat asatizah serta tangga gaji yang ditawarkan.

Ini selain membuat penilaian bagi menentukan tahap kesukaran pekerjaan asatizah, untuk memastikan ia setimpal dengan gaji yang diberikan.

“Antara faktor utama adalah menentukan siapa pesaing kita, apakah sektor lain yang turut menarik asatizah untuk mengubah haluan, contohnya, sekolah nasional atau sektor khidmat sosial.

“Kita perlu tahu gaji yang ditawarkan sektor-sektor ini dan bersaing dengan mereka,” katanya dalam wawancara bersama Berita Minggu (BM) baru-baru ini.


Pada masa yang sama, keupayaan, kemahiran serta pengetahuan khusus yang diperlukan dalam melaksanakan tugas juga akan dipertimbang dalam menentukan gaji asatizah, tambah Cik Indahsuria.

Memberi perincian lanjut mengenai tempoh tiga tahun yang diperuntuk bagi menaikkan gaji asatizah, Cik Indahsuria berkata langkah ini memberi masa kepada majikan mengukur tahap kemampuan kewangan serta kemampanan mereka dalam melaksanakan CSG.

“Ada juga asatizah yang diambil kerja secara langsung oleh masjid atau madrasah. Dalam keadaan ini, masjid atau madrasah perlu membuat keputusan tentang gaji yang ingin diberikan kepada asatizah.

“Namun kami mengalu-alukan jika ada institusi yang mampu untuk menaikkan gaji asatizah supaya memenuhi syarat minimum yang ditetapkan garis panduan umum itu,” ujarnya.

Menjawab soalan Parlimen awal Julai, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, telah mendedahkan peratusan asatizah berkelulusan universiti yang bekerja di masjid atau madrasah di sini serta pendapatan mereka berdasarkan data hingga Julai 2022.

Kebanyakan, atau 62 peratus asatizah, menerima gaji antara $2,001 dengan $3,000 sebulan, sementara 30 peratus asatizah menerima gaji antara $3,001 dengan $4,000 sebulan.

Sejumlah 7 peratus asatizah menerima gaji $4,001 dan ke atas sebulan. Sebanyak 2 peratus asatizah menerima gaji kurang $2,000 sebulan.

Menurut Cik Indahsuria, data tersebut dicatatkan sebelum CSG dilaksana dan gaji asatizah yang mempunyai pentauliahan Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) Peringkat Satu di madrasah, terutama madrasah di bawah Sistem Madrasah Bersama (JMS), masjid dan Ilham akan dinaikkan secara bertahap bagi mencapai tahap minimum CSG.

“Antara perkara penting yang perlu kita timbangkan adalah ketersediaan sektor ini untuk menaikkan gaji, keadaan kewangan serta pembiayaan dan kemampanan untuk menampung kos gaji-gaji yang meningkat,” katanya.

Pada Mei 2022, Encik Masagos mengumumkan bahawa Muis akan bekerjasama dengan madrasah dan masjid untuk melaksanakan CSG bagi asatizah untuk memastikan kenaikan gaji disokong oleh sistem berasaskan prestasi.

Beliau ketika itu berkata bahawa CSG dapat disokong antaranya dengan memanfaatkan Wakaf Masyarakat Singapura (WMS).

CSG merupakan antara saranan yang dikemukakan Jawatankuasa Asatizah Masa Depan (Cofa) pada 2019.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >