Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pemerintah komited pertahan institusi keluarga: Masagos

Pemerintah akur masyarakat Singapura, khususnya masyarakat Melayu/Islam, masih pegang teguh kepada perlunya mempertahan institusi keluarga, peraturan dan undang-undang berhubung perkahwinan
Aug 23, 2022 | 05:30 AM



Encik Masagos berkata pemerintah akur bahawa masyarakat Singapura, khususnya masyarakat Melayu/Islam, masih berpegang teguh kepada perlunya mempertahan institusi kekeluargaan serta peraturan dan undang-undang berhubung perkahwinan yang terkandung dalam Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla) dan Piagam Wanita.



Di bawah undang-undang, hanya perkahwinan antara seorang lelaki dengan seorang wanita diiktiraf di Singapura dan terdapat banyak dasar nasional yang bersandarkan takrif perkahwinan itu termasuk perumahan awam, pendidikan, peraturan mengambil anak angkat, piawaian pengiklanan, klasifikasi filem.



Dalam ucapan Rapat Hari Kebangsaan beliau kelmarin, Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, menekankan bahawa pemerintah akan mendukung dan melindungi institusi perkahwinan serta tidak bercadang untuk mengubah takrif perkahwinan itu, apatah lagi dasar tersebut.



Namun, Encik Masagos menarik perhatian bahawa pemerintah juga akur bahawa kedudukan Seksyen 377A, yang menyifatkan seks sejenis antara lelaki sebagai satu jenayah, tidak dapat bertahan lama.



Menurutnya, ini kerana undang-undang yang diperkenal pemerintah kolonial Britain pada 1930-an itu sering dicabar di mahkamah dan boleh menyebabkan undang-undang lain yang menyentuh tentang perkahwinan serta kekeluargaan goyah atau digugurkan dek cabaran yang dikenakan terhadap Seksyen 377A itu berjaya di Mahkamah Tinggi.



Maka, pemerintah telah membuat keputusan agar isu ini cepat diselesaikan dengan memansuhkan Seksyen 377A supaya cabaran tentang hal ini tidak akan timbul lagi, ujarnya.



Kali terakhir Parlimen membahaskan sama ada untuk memansuhkan Seksyen 377A adalah pada 2007.



Pemerintah ketika itu memutuskan untuk mengekalkan undang-undang tersebut tetapi tidak akan menguatkuasakannya secara aktif.



Sekitar 15 tahun kemudian sekarang, Encik Lee berkata sikap dalam kalangan masyarakat telah berubah dengan ketara.



Memberi contoh antara usaha yang telah dijalankan pemerintah untuk menunjukkan komitmen kukuhnya kepada institusi keluarga yang terbentuk melalui perkahwinan yang sah antara seorang wanita dan seorang lelaki, Encik Masagos berkata tahun ini telah ditetapkan sebagai Tahun Meraikan Keluarga SG.



Jun lalu, Encik Lee turut melancarkan Minggu Keluarga Nasional (NFW).



Encik Masagos berkata usaha itu akan memberikan isyarat setiap tahun bahawa keluarga merupakan institusi penting yang harus dihargai dan negara ini boleh menghasilkan individu yang memiliki nilai-nilai terbaik daripada keluarga yang utuh dan saling membantu.



Encik Masagos yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga sebelum ini juga telah berucap dalam perbahasan Rang Undang-Undang Pengambilan Anak Angkat di Parlimen.



Di bawah undang-undang, hanya pasangan yang sudah bernikah dibenarkan mengambil anak angkat di negara ini.



"Ini sekali gus juga memberikan isyarat bahawa pasangan yang mungkin bersekedudukan antara lelaki dengan lelaki atau perempuan dengan perempuan tidak boleh mengambil anak angkat di negara ini.



"Ini adalah antara isyarat yang saya fikir penting di negara ini untuk memberikan gambaran bahawa pemerintah akan terus mengambil dasar yang mengukuhkan lagi institusi keluarga," ujar beliau.



Tambahnya, lebih banyak usaha juga akan dijalankan untuk menangani cabaran yang bakal wujud pada masa akan datang serta memperkasa keluarga dan pasangan agar mereka memahami bagaimana untuk menangani perkara ini dengan anak-anak mereka.



Encik Masagos turut menarik perhatian perlunya kumpulan berbeza dalam masyarakat membuat penyesuaian dan bermuafakat dalam hal ini.



Dalam masyarakat majmuk di sesetengah negara lain, beliau berkata satu golongan akan mengutarakan keinginan mereka secara agresif hingga akan membuatkan masyarakat atau golongan lain menolaknya secara agresif juga.



Tambahnya, ini boleh memecahbelahkan masyarakat tersebut dan keadaan ini tidak diingini berlaku di negara ini.



"Kita harus ada sifat tolak ansur, rahmah, adab dan saling menghormati keperluan satu sama lain.



"Harapan saya adalah agar golongan LGBT jangan lagi memberikan tekanan kepada golongan lain dengan kehendak mereka.



"Begitu juga golongan agama, agar tidak memberikan tekanan kepada golongan LGBT tentang kehendak dan keperluan mereka yang mungkin berbeza.



"Kita sebagai masyarakat majmuk harus ke depan, bersatu dan saling menghormati satu sama lain," kata Encik Masagos.




KEDUA PIHAK PERLU TOLAK ANSUR, SALING MENGHORMATI



''Kita harus ada sifat tolak ansur, rahmah, adab dan saling menghormati keperluan satu sama lain. Harapan saya adalah agar golongan LGBT jangan lagi memberikan tekanan kepada golongan lain dengan kehendak mereka. Begitu juga golongan agama, agar tidak memberikan tekanan kepada golongan LGBT tentang kehendak dan keperluan mereka yang mungkin berbeza. Kita sebagai masyarakat majmuk harus ke depan, bersatu dan saling menghormati satu sama lain.''
- Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.




KOMITMEN PEMERINTAH TERHADAP KELUARGA



''Tahun ini kita sedang meraikan keluarga Singapura, satu isyarat yang sangat besar dan menunjukkan bahawa kita komited... kepada institusi keluarga yang ditubuhkan melalui perkahwinan yang sah antara wanita dan seorang lelaki yang ditetapkan dalam Piagam Wanita dan juga Amla. Ini adalah satu komitmen... yang kita berikan yang begitu besar.''
- Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >