Subuh
5:36
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Perkukuh sokongan kesihatan mental pelajar: Chun Sing

Antara inisiatif termasuk mengurangkan skop peperiksaan akhir tahun, latihan berkaitan kesihatan mental bagi guru-guru
Jul 28, 2021 | 05:30 AM



SEKOLAH-SEKOLAH di sini akan mengurangkan topik bagi peperiksaan, selain menambah masa dan usaha yang diperuntuk bagi menjaga kesihatan mental pelajar, kata Menteri Pendidikan Chan Chun Sing.



Dalam Kenyataan Menteri yang disampaikannya di Parlimen semalam berhubung insiden maut di Sekolah Tinggi River Valley (RVHS) baru-baru ini, Encik Chan turut mengumumkan latihan berkaitan kesihatan mental bagi guru, dan rancangan MOE mengerahkan lebih 1,000 guru-kaunselor dalam beberapa tahun mendatang.



Beliau berkata sekitar 540 pelajar dan staf RVHS telah memohon sokongan psikologi selepas insiden pada 19 Julai itu, apabila seorang pelajar 16 tahun didakwa membunuh rakan sekolah berusia 13 tahun di sekolah itu. Hampir 100 pakar dan kaunselor MOE yang dilatih dalam bantuan kecemasan psikologi dan trauma telah dikerah untuk memberikan sokongan kepada sekolah itu.



Menyusuli kejadian itu, ramai warga termasuk Presiden Halimah Yacob, telah menggesa agar lebih banyak sokongan disediakan untuk membantu pelajar yang mengalami masalah kesihatan mental.



Membentangkan langkah-langkah baru yang akan disediakan, Encik Chan berkata golongan anak muda mengalami pelbagai tekanan, termasuk menangani masalah remaja dan tekanan daripada persekitaran yang berdaya saing dan berprestasi tinggi.



Cabaran mereka itu ditambahkan lagi dengan apa yang berlaku di dalam talian di mana perbandingan tidak henti-henti berlaku dan sekali gus menambahkan satu lagi lapisan tekanan sosial.



"Itu sebabnya mengapa sebagai sebuah masyarakat, kita mesti terus mempertingkat dan memperkukuh sistem sokongan kita untuk lebih mempersiapkan anak-anak kita bukan hanya untuk menangani tekanan yang mereka hadapi, malah juga berkembang maju walaupun terdapat tekanan," kata Encik Chan.



"Pendekatan kita tidak harus hanya untuk memperkukuh ekosistem sokongan keseluruhan, namun untuk mewujudkan persekitaran yang lebih prihatin dan membela dalam masyarakat kita," tambah beliau.



Encik Chan berkata Covid-19 juga telah memburukkan lagi cabaran yang dihadapi anak-anak muda, dengan kebanyakan rutin dan rangkaian sosial serta sokongan biasa mereka terganggu - membawa kepada tempoh ketidakpastian, kegelisahan dan kesunyian berpanjangan.



Meskipun banyak usaha telah dilakukan untuk menangani isu kesihatan mental dalam kalangan pelajar, Encik Chan menekankan bahawa lebih banyak lagi boleh dan mesti dilakukan.



Antaranya, semua guru akan menerima pembangunan profesional dipertingkat mengenai kecelikan kesihatan mental sebagai garis dasar. Ini akan memperkukuhkan lagi keupayaan mengenal pasti dan menyokong pelajar yang memerlukan bantuan, kata Encik Chan.



Selain mengerahkan lebih 1,000 guru-kaunselor dalam beberapa tahun mendatang, lebih ramai kaunselor sekolah akan direkrut atau pendidik yang sesuai diberi peranan baru sebagai kaunselor demi menyokong rangkaian sokongan kaunseling.



Sekolah menengah dan prauniversiti juga akan mengembalikan kegiatan kokurikulum (CCA) dalam beberapa minggu mendatang sedang lebih ramai pelajar selesai vaksinasi mereka.



Encik Chan berkata rancangan kini sedang dibangunkan untuk memastikan CCA dapat diadakan dalam cara yang selamat dalam langkah-langkah pengurusan selamat nasional.



Guru sekolah juga akan memberikan lebih banyak masa dan tumpuan pada permulaan setiap penggal sekolah untuk memeriksa kesejahteraan pelajar, dan membimbing mereka tentang cara, di mana dan bila untuk mendapatkan bantuan.



Demi mengurangkan tekanan pelajar, Encik Chan berkata Topik Terakhir Biasa (CLT) akan dikeluarkan daripada peperiksaan Sijil Am Pelajaran (CGE) tahun ini disebabkan gangguan terhadap pembelajaran akibat Covid-19.



Semua sekolah juga akan mengurangkan skop bagi peperiksaan akhir tahun untuk pelajar yang bukan berada pada tahun akhir demi mengurangkan beban ulang kaji mereka.



"Varian Delta virus Covid-19 telah mewujudkan gangguan lebih besar daripada yang dijangkakan dan telah menjejas kesejahteraan sosial dan emosi pelajar kita. Kami amat prihatin tentang kohort yang bakal tamat pengajian, dan oleh itu, kami juga akan mengeluarkan CLT daripada peperiksaan GCE peringkat 'O', 'N', dan 'A' 2021.



"Meskipun topik ini telah pun diajar di sekolah, mengeluarkannya daripada peperiksaan nasional akan membantu meringankan beban ulang kaji dan tekanan peperiksaan bagi pelajar kita," kata Encik Chan.




DARI PARLIMEN






Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >