Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PM Lee: Peletakan jawatan AP, siasatan rasuah jejas PAP, tapi pemerintah komited kekal integriti

Aug 02, 2023 | 08:26 PM



Parti Tindakan Rakyat (PAP) terjejas berikutan siasatan rasuah ke atas salah seorang anggota yang juga seorang menteri dan peletakan jawatan Speaker Parlimen dan seorang Anggota Parlimen yang terlibat dalam hubungan sulit, kata Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong.

Namun, ini tidak akan menghalang parti pemerintah itu daripada terus melakukan perkara yang betul demi negara, kata beliau di Parlimen pada Rabu.

Encik Lee memberi jaminan kepada warga Singapura bahawa pemerintah akan terus “menegakkan standard dan melakukan perkara yang betul”.

“Biar saya memberi jaminan kepada warga Singapura bahawa kita akan melindungi integriti sistem pemerintahan kita,” kata beliau dalam satu kenyataan menteri.

Encik Lee menambah beliau tidak teragak-agak untuk melakukan kewajipannya untuk memastikan sistem Singapura kekal “teguh dan bersih”.

Kenyataan Encik Lee itu menyusuli siasatan Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) yang melibatkan Menteri Pengangkutan, Encik S Iswaran, serta peletakan jawatan mantan Speaker Parlimen, Encik Tan Chuan-Jin, dan mantan anggota parlimen (AP), Cik Cheng Li Hui.

Beliau memberitahu Dewan bahawa cara insiden tersebut dikendalikan menunjukkan PAP memandang serius tanggungjawabnya untuk mentadbir Singapura dan bertanggungjawab kepada Parlimen dan warga Singapura.

Merujuk kepada kes penyewaan banglo di Ridout Road sebagai contoh, Encik Lee berkata apabila timbul dakwaan ada salah laku, dua menteri PAP yang terbabit disiasat secara menyeluruh, termasuk oleh CPIB, dan akhirnya didapati tidak melakukan kesalahan.

“Laporan siasatan telah dibentangkan di Parlimen dan kami mempunyai sesi yang panjang menjawab soalan AP di Dewan ini,” katanya.

Berhubung kes Encik Iswaran pula, Encik Lee berkata apabila CPIB mendapati bahawa ia mempunyai sebab untuk menangkap dan menemubual Encik Iswaran, CPIB telah membuka siasatan rasmi pada Julai.

“Tiada siapa yang memberitahu mereka... tidak ada skandal awam.

“CPIB menemui sesuatu yang perlu disiasat dan meneruskan tugas mereka,” kata Encik Lee.

Menyusuli itu, pada Julai, apabila Encik Tan dan Cik Cheng “tidak mencapai piawaian kewajaran dan kelakuan peribadi yang diharapkan daripada mereka, mereka diminta meletak jawatan”, tambah Encik Lee.

“Kami mengambil sedikit masa untuk menyelesaikannya, mungkin lebih lama daripada yang sepatutnya, tetapi kami melakukan apa yang perlu kami lakukan dan memperbetulkan keadaan,” katanya.

“Generasi pengasas membangun Singapura dan meletakkan kepercayaan kepada generasi kita dalam keadaan baik.

“Adalah menjadi kewajipan kita untuk melindungi dan menegakkan sistem ini untuk memastikan ia tidak rosak dan bersih dan mengekalkan standard kewajaran yang tinggi,” tekan Encik Lee.

Beliau berkata PAP mengambil pendekatan “sifar toleransi” apabila terdapat syak wasangka atau dakwaan melakukan kesalahan dalam menjalankan tugas rasmi, terutamanya kemungkinan berlakunya rasuah.

Apabila individu melakukan kesalahan dalam kehidupan peribadi mereka pula, PAP akan “melihat pada fakta kes tersebut secara teliti dan menangani perkara itu dengan keperimanusiaan dan sesensitif yang mungkin, mengikut prinsip yang telah ditetapkan oleh parti”.

Encik Lee turut menarik perhatian bahawa setiap sistem terdiri daripada manusia dan dalam mana-mana sistem sekalipun, walaupun ada pelbagai langkah berjaga-jaga dikuatkuasakan, kadangkala “kegenjotan pasti berlaku”.

Beliau kemudian merujuk kepada kes rasuah dalam kalangan penjawat politik pada masa lalu, seperti mantan Menteri Pembangunan Negara, Encik Tan Kia Gan pada 1966; Menteri Negara Sekitaran pada 1975, Encik Wee Toon Boon; dan Menteri Pembangunan Negara, Encik Teh Cheang Wan pada 1986.

Semua kes itu, jelas Encik Lee, diuruskan oleh mendiang Encik Lee Kuan Yew, yang ketika itu masih menyandang jawatan Perdana Menteri, “secara menyeluruh, telus dan dengan pelaksanaan penuh undang-undang”.

“Ini masih lagi cara PAP menangani kes-kes sebegini.

“Ia tidak akan berubah di bawah kepimpinan saya, dan ia juga tidak akan berubah di bawah pengganti saya nanti,” tegas beliau.

Encik Lee juga memberi jaminan kepada warga Singapura bahawa PAP akan melindungi integriti sistem pemerintahan Singapura.

“Demi kebaikan negara kita, kita akan jalankan apa yang perlu dilakukan mengikut undang-undang, walaupun ia mungkin memalukan dan menyakitkan parti dari segi politik,” katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >