Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

LAWATAN PM LEE KE CHINA

Projek S'pura-China di Guangzhou dipercepat

Mar 30, 2023 | 05:30 AM



SYARIKAT Singapura berkobar-kobar untuk kembali memasuki pasaran China selepas pembukaan semula sempadan pasca Covid-19.



Bahkan, ini telah mendorong satu projek pembangunan bersama Singapura-China di Guangzhou untuk mempercepat usaha pengembangannya empat bulan lebih awal.



Fasa kedua Taman Bijak China-Singapura, yang memberi tumpuan pada inovasi teknologi dan bandar bijak, dijangka siap menjelang Jun, lebih awal berbanding Oktober seperti yang dijadualkan.



Ia ditempatkan dalam Bandar Ilmu Guangzhou China-Singapura, lokasi pertama yang dikunjungi Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, pada Selasa, yang juga hari kedua lawatan rasmi beliau ke China.



"Terdapat beberapa syarikat Singapura yang didaftar di sini.



"Saya gembira mendengar pengalaman mereka tentang bagaimana mereka memanfaatkan ekosistem dalam Bandar Ilmu Guangzhou China-Singapura untuk membangunkan perniagaan mereka dalam sektor seperti digital, agro-pertanian, tenaga mampan dan bioperubatan," ujar Encik Lee menerusi laman Facebooknya.



Bandar seluas 232 kilometer persegi itu, yang terletak sekitar sejam dari pusat bandar Guangzhou, bermula pada 2010 sebagai satu usaha yang diterajui sektor privet untuk mengembangkan industri teknologi tinggi yang bersepadu dengan pembangunan perumahan, komersial dan riadah.



Di situ, Encik Lee turut berkunjung ke Institut Penyelidikan Bersama Antarabangsa China-Singapura, yang ditubuhkan oleh Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan Universiti Teknologi China Selatan.



Ia memberi tumpuan pada bidang penyelidikan seperti kecerdasan buatan (AI), tenaga baru, bangunan hijau dan kawalan pencemaran.



Beliau juga telah bercakap bersama beberapa syarikat di International LaunchPad, yang merupakan sebuah wadah perkhidmatan sehenti dalam taman bijak itu bagi syarikat yang ingin memasuki pasaran China.



International LaunchPad membantu syarikat yang tidak berapa mengenali keadaan di China untuk melayari sistem negara itu serta memainkan peranan memadankan mereka dengan agensi pemerintah serta bakal pelabur dan rakan kerja serta menawarkan ruang untuk mereka bekerja.



Timbalan ketua eksekutif Bandar Ilmu Guangzhou, Encik Kenneth Teo, berkata taman bijak itu telah mempercepat garis masanya untuk menyiapkan fasa keduanya - yang melibatkan enam bangunan - lebih awal disebabkan permintaan terpendam dek Covid-19.



Singrow, sebuah syarikat pemula agro-teknologi yang menemukan cara untuk menanam strawberi dalam cuaca tropika menggunakan teknologi genomik proprietari, telah membuka kedai di taman perniagaan itu pada Februari dan bermatlamat membuka prasarana penghasilan anak benih pertama China yang bersifat perindustrian sepenuhnya di Bandar Ilmu Guangzhou menjelang 2024.



Syarikat itu mungkin memasuki pasaran China lebih awal jika bukan disebabkan pandemik Covid-19.



Pengasas, ketua pegawai eksekutif dan ketua saintis syarikat pemula itu, Dr Bao Shengjie, berkata:



"China merupakan pasaran strawberi terbesar dunia dan terdapat pasaran bernilai 20 bilion yuan ($3.8 bilion) kalau bukan musim, namun tiada teknologi untuk menanamnya dalam tempoh itu.



"Ini merupakan pasaran yang besar tanpa pesaing."



Encik Lee juga melawat Akademi SingChin Guangzhou di taman bijak itu.



Akademi itu merupakan satu-satunya sekolah di luar Singapura yang diuruskan bersama oleh Sekolah Antarabangsa Hwa Chong.



Encik Lee kemudian makan tengah hari bersama beberapa pemimpin korporat Singapura yang berpangkalan di Guangdong.



Kemudian, beliau melawat Yongqingfang, sebuah kawasan pemuliharaan budaya bagi bangunan bersejarah.



Beliau diiringi isterinya serta Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong; Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung; Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan; Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Negara), Cik Sim Ann; serta Setiausaha Parlimen Kanan (Kesihatan merangkap Undang-Undang), Cik Rahayu Mahzam.



Sebelum itu, beliau juga telah bertemu dengan warga Singapura yang berpangkalan di Guangzhou.



Menyifatkan tempoh tiga tahun lalu sebagai penuh dengan pahit manis dan selepas bangkit daripada pengalaman itu, Encik Lee berkata dunia masih perlu memberi respons kepada cabaran akan datang dan mempersiap bagi masa akan datang.



"Perkara utama yang perlu difahamkan adalah dunia kita bukan dalam keadaan yang baik. Dan Singapura perlu berada dalam keadaan baik yang khusus untuk menakat.



"Saya rasa kita mampu melakukannya... (dengan) bekerjasama, menangani masalah luar dan menangani apa yang sedang kita usahakan untuk membina Singapura," ujar beliau.



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >