Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PARLIMEN

Sistem GRC bertujuan kurangkan pengaruh kaum dalam politik, bukan pecah belah: Chun Sing

Jul 05, 2023 | 09:10 PM



Sistem Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) tidak bertujuan memecahbelahkan dari segi kaum, sebaliknya ia bertujuan mengurangkan pengaruh kaum dalam politik, kata Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing.

Bahkan, sistem GRC juga direka untuk mengurangkan peluang bagi individu menggunakan faktor kaum dalam pertandingan pilihan raya.

Encik Chan berkata demikian dalam ucapannya sebagai respons kepada usul yang dikemukakan Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP), Cik Hazel Poa dan Encik Leong Mun Wai, kedua-duanya daripada Parti Kemajuan Singapura (PSP), untuk menyaran langkah menghapuskan sistem GRC.

Dalam ucapan pembukaannya, Cik Poa antara lain mengusulkan dua alternatif kepada sistem GRC iaitu Skim NCMP bagi minoriti dan perwakilan yang seimbang.

Menerusi skim NCMP minoriti, Cik Poa menyarankan agar calon minoriti bertanding di Kawasan Undi Perseorangan (SMC).

Tambahnya, skim ini tidak berkuat kuasa sekiranya terdapat calon minoriti mencukupi yang dipilih tetapi jika calon minoriti kurang diwakili, calon minoriti yang kalah dalam pilihan raya namun mempunyai peratusan undi tertinggi boleh dilantik sebagai NCMP untuk memastikan perwakilan minoriti yang mencukupi di Parlimen.

Menerusi sistem perwakilan yang seimbang pula, Cik Poa berkata barisan calon berbilang kaum boleh ditetapkan bagi pertandingan SMC serta senarai parti berbilang kaum, dengan setiap parti perlu memilih daripada senarai itu untuk memenuhi keperluan perwakilan kaum minimum.

Encik Chan berkata sistem perwakilan yang seimbang akan menghasilkan parti yang berdasarkan kaum, agama atau kepentingan khusus.

“Sesetengah parti juga akan merasakan terdapat insentif untuk meraih sokongan dalam kepentingan tertentu untuk memenangi kerusi Parlimen, berbanding meraih sokongan daripada majoriti pengundi yang lebih meluas,” ujarnya.

Tambahnya, beliau tidak rasa skim NCMP minoriti yang diusulkan Cik Poa juga berupaya mencapai matlamat memastikan Parlimen kekal berbilang kaum serta mengurangkan kemungkinan calon dan parti menggunakan faktor kaum.

“Pertama, sekiranya kita ada SMC saja, tiada jaminan bahawa kita akan ada calon minoriti yang mencukupi dalam kalangan calon yang kalah.

“Kedua... sistem NCMP (yang disarankan Cik Poa) hanya dilaksana apabila parti pemerintah meraih majoriti besar di Parlimen tanpa Anggota Parlimen (AP) minoriti atau sedikit sahaja AP minoriti.

“Sekiranya demikian, sistem itu membawa masuk (ke Parlimen) calon minoriti yang kalah namun meraih peratusan undi terbaik. Hasilnya... adalah parti pemerintah yang sebahagian besarnya dibentuk AP berbangsa Cina, dengan AP minoriti dalam parti pembangkang atau sebagai NCMP.

“Parlimen akan berpecah belah mengikut kaum, jurang politik juga akan berpecah mengikut kaum. Ini amat berbahaya buat Singapura,” kata Encik Chan.

Tampil berucap berhubung usul itu, Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Encik Raj Joshua Thomas, berkata tiada sistem yang sempurna, namun setiap sistem politik harus memutuskan sistem yang paling wajar bagi konteks sosial, politik dan geografinya.

“Kalau kita hapuskan sistem GRC ini pun dan kembali kepada sistem sebelum ini, akan ada kritikan terhadapnya, ada kelebihan dan kekurangan juga.

“Soalannya ialah sama ada apa yang diusulkan PSP adalah sistem terbaik dalam konteks Singapura,” ujar beliau.

Berucap semasa membahaskan usul itu, Encik Leong berkata sistem GRC dan Presiden Dipilih bertujuan mengukuhkan kuasa politik Parti Tindakan Rakyat (PAP).

Namun, Encik Chan menjelaskan bahawa usul yang dikemukakan itu adalah berhubung langkah menghapuskan sistem GRC dan bukan tentang Presiden Dipilih, maka beliau mahu mengehadkan responsnya kepada isu tersebut sahaja.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >