Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

S’pura hadapi gelombang baru Covid-19, lebih ramai dijangka sakit: Ye Kung

Oct 06, 2023 | 06:41 PM



Singapura kini menghadapi gelombang jangkitan Covid-19 baru, dengan kadar individu yang dijangkiti dan memerlukan rawatan di hospital dijangka meningkat pada minggu-minggu akan datang, menurut Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung pada Jumaat.

Meskipun demikian, pemerintah tiada rancangan untuk melaksanakan sebarang sekatan sosial dalam menghadapi gelombang ini. Sekatan juga tidak dikuat kuasa semasa gelombang yang dihadapi antara Mac dan April.

Berucap semasa pembukaan rasmi Pusat Pemulihan Stepping Stones dan Pusat Serenity di Institut Kesihatan Mental (IMH), Encik Ong mendedahkan bahawa anggaran jumlah kes jangkitan Covid-19 telah meningkat dari 1,000 jangkitan sekitar tiga minggu lalu kepada 2,000 kes dalam tempoh dua minggu sebelum ini.

Kes jangkitan baru kebanyakannya berpunca daripada dua varian virus – EG.5 dan HK.3 – kedua-duanya merupakan keturunan varian XBB Omicron.

“Gabungan jangkitan dua virus ini menyumbang kepada lebih 75 peratus kes sekarang,” kata Encik Ong.

Semasa kemuncak jangkitan sebelum ini pada April, jumlah jangkitan meningkat kepada sekitar 4,000 kes sehari.

“Kami menganggap Covid-19 sebagai penyakit endemik dan ini selaras dengan strategi kami untuk hidup bersamanya.

“Lagipun, tiada bukti yang menunjukkan bahawa varian baru ini berkemungkinan menyebabkan penyakit yang lebih teruk berbanding varian sebelum ini.

“Tanda-tanda menunjukkan vaksin sedia ada mampu melindungi kita daripada penyakit yang lebih teruk jika dijangkiti varian baru ini,” katanya.

Namun, Encik Ong memberi amaran bahawa Singapura tidak boleh bersikap sambil lewa dalam mendapatkan perlindungan daripada jangkitan Covid-19.

“Dalam minggu-minggu akan datang, kita boleh jangkakan lebih ramai yang akan jatuh sakit, dan apabila perkara itu berlaku, kadar pesakit di hospital juga akan meningkat. Masa menunggu juga akan bertambah,” katanya.

Encik Ong menasihatkan agar warga emas atau mereka yang lebih terdedah, seperti mereka yang mengalami penyakit lain, supaya mengambil langkah berjaga-jaga seperti memakai pelitup di kawasan sesak.

“Yang lebih penting, warga emas dan individu yang terdedah disyorkan untuk pastikan vaksin anda dikemas kini, ini bermakna anda perlu menerima suntikan sekurang-kurangnya sekali setahun,” katanya.

Beliau menegaskan sekali lagi bahawa virus Covid-19 tidak menjadi lemah sejak tempoh pandemik.

“Sebenarnya kita yang bertambah kuat dan lebih berdaya tahan disebabkan vaksinasi serta selepas kita pulih daripada jangkitan.

“Namun, seperti semua perlindungan, ia akan berkurang dengan lebih banyak masa yang berlalu,” kata Encik Ong.

Beliau turut berkongsi hasil kajian Kementerian Kesihatan (MOH) yang menunjukkan kadar penyakit teruk yang dicatatkan semasa kemuncak jangkitan gelombang sebelum ini pada April.

Antara individu yang mempunyai “perlindungan terbaik” daripada virus itu – iaitu mereka yang telah menerima sekurang-kurangnya tiga suntikan vaksin mRNA dan telah pulih daripada jangkitan Covid-19 dalam tempoh 12 bulan sebelum itu – kadar penyakit teruk di kalangan mereka adalah sekitar 10 bagi setiap 100,000 orang.

Mereka yang mempunyai “perlindungan paling rendah” – yang tidak mempunyai perlindungan minimum dan tidak pernah dijangkiti – lima kali ganda lebih berisiko mengalami penyakit teruk apabila dijangkiti Covid-19.

Kadar penyakit teruk bagi individu seperti itu adalah sekitar 50 bagi setiap 100,000 orang.

Menyentuh tentang dapatan “paling penting” kajian itu, Encik Ong berkata:

“Bagi individu yang mempunyai perlindungan lebih tinggi dan telah menerima tiga vaksin mRNA dan dijangkiti lebih daripada 12 bulan lalu, kadar penyakit teruk yang dialami mereka adalah 50 bagi setiap 100,000 orang – tidak banyak beza dengan mereka yang tidak pernah menerima vaksin atau perlindungan.

“Ini merupakan tanda penting yang menunjukkan perlindungan akan berkurangan. Ia juga berlaku selepas 12 bulan, berdasarkan kajian kami.”




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >