Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

FORUM EKONOMI SEDUNIA

S'pura teroka kerjasama dengan sektor swasta bantu warga emas rancang persaraan

Jan 21, 2023 | 05:30 AM



SINGAPURA akan meneliti cara ia boleh bekerjasama dengan lebih baik bersama sektor swasta untuk membantu warga emas merancang persaraan mereka, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee.



Dalam wawancara dengan media Singapura kelmarin untuk mengakhiri lawatannya ke Forum Ekonomi Sedunia (WEF) di Davos, Encik Lee berkata cabaran masyarakat yang semakin menua diutarakan semasa beberapa sesi perbincangan panel.



Ini termasuk perbincangan dengan ahli panel daripada sektor swasta yang membantu rakyat di negara mereka memperoleh kemahiran celik kewangan untuk perancangan persaraan.



"Oleh itu, ia membuatkan kita berfikir tentang bagaimana kita seterusnya boleh melakukan yang lebih baik, bukan sahaja dalam kalangan agensi pemerintah dan dengan masyarakat, tetapi juga dengan sektor swasta untuk membantu memperkasa warga emas dengan menyediakan mereka pilihan alternatif dan rancangan supaya mereka mempunyai ketenangan fikiran apabila mereka bersara," tambah Encik Lee, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Integrasi Khidmat Sosial.



Beliau berkata memandang ke hadapan, kuncinya adalah untuk memanfaatkan bank dan institusi kewangan tempatan. Dengan cara ini, ia dapat memberi lebih keyakinan kepada warga emas di Singapura untuk bukan sahaja mengemudi produk kewangan yang ada, malah juga dasar dan skim pemerintah yang tersedia untuk mereka.



Dari segi skim pemerintah, Encik Lee menyebut tentang skim beli balik pajakan, yang membolehkan pemilik flat warga emas menjual sebahagian daripada pajakan mereka kepada pemerintah supaya mereka mempunyai lebih banyak wang untuk persaraan.



Sehingga November 2022, sekitar 9,200 isi rumah telah menyertai skim itu sejak ia diperkenalkan pada Mac 2009.



Encik Lee, yang menghadiri pelbagai mesyuarat dengan para peniaga, pemimpin pemerintah dan pertubuhan bukan pemerintah (NGO) semasa lawatan pertamanya ke forum itu, berkata terdapat rasa optimis namun masih berjaga-jaga sedang dunia bangkit daripada pandemik Covid-19.



Singapura turut diwakili oleh Menteri Perhubungan dan Penerangan, Cik Josephine Teo, dan Menteri Kanan, Encik Tharman Shanmugaratnam.



Namun, keprihatinan tetap kekal terhadap keadaan ekonomi global serta krisis kos sara hidup, persekitaran kadar faedah tinggi yang menjejas perniagaan, ketidakpastian mengenai pembukaan semula China dan kesan perang yang sedang berlaku di Ukraine, tambah beliau.



Beliau berkata satu isu utama dalam agenda itu ialah cara melabur dalam membina daya tahan terhadap "kejutan besar seterusnya".



"Pemimpin perniagaan, sudah tentu prihatin tentang apa yang baru mereka lalui, dari segi rantaian bekalan, gangguan pangkalan pembuatan, kesan berpaling daripada globalisasi dan perdagangan bebas," kata Encik Lee.



Krisis iklim juga adalah isu yang ditekankan di WEF, dan Encik Lee berkata beliau rasa terdorong bahawa dalam banyak perbincangan, "terdapat kebimbangan tentang langkah yang lebih baik yang boleh pemerintah ambil dan kerjasama dengan sektor swasta untuk mencapai sifar bersih".



Singapura, bagi pihaknya, telah berikrar untuk mencapai pelepasan gas rumah hijau sifar-bersih menjelang 2050.



Encik Lee menyatakan bahawa walaupun Singapura adalah sebuah negara kota kecil, ia sangat terbuka dan terlibat dalam ekonomi dunia.



"Oleh itu, kita perlu hadir di forum seperti ini untuk, pertama, merasakan nadi ekonomi global, memahami perkara yang difikirkan oleh pemimpin global dan nasional, memahami keprihatinan pemimpin perniagaan, dan idea serta rancangan yang mereka ada," kata beliau.



"Juga, dengar daripada para NGO, yang menekankan isu iklim, mendorong kesaksamaan sosial, mendorong pemuliharaan, menekankan hak asasi terhadap anggota masyarakat yang mudah terjejas dengan ketidakpastian hidup," tambahnya.



Singapura mahu menjadi sebahagian masyarakat global yang dapat menyumbang dan berkongsi idea serta pengalamannya, kata Encik Lee.



Pada masa yang sama, WEF juga adalah platform untuk mempelajari antara satu sama lain dan untuk mendapatkan idea terbaik dalam mengukuhkan Singapura, kata beliau.




"... ia membuatkan kita berfikir tentang bagaimana kita seterusnya boleh melakukan yang lebih baik, bukan sahaja dalam kalangan agensi pemerintah dan dengan masyarakat, tetapi juga dengan sektor swasta untuk membantu memperkasa warga emas dengan menyediakan mereka pilihan alternatif dan rancangan supaya mereka mempunyai ketenangan fikiran apabila mereka bersara."
- Encik Desmond Lee.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >