Subuh
5:38
Syuruk
7:02
Zuhur
1:09
Asar
4:34
Maghrib
7:14
Isyak
8:29

Usaha dipergiat perluas kemahiran, bina upaya pegawai pemerintah

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat
27
0

WAWANCARA DENGAN ENCIK CHAN CHUN SING MENGENAI PERKHIDMATAN AWAM

Usaha dipergiat perluas kemahiran, bina upaya pegawai pemerintah

Chun Sing: Lebih ramai pegawai dari sektor awam akan dihantar timba pengalaman di sektor privet, usaha timbal balas juga terus diterima
Feb 08, 2021 | 05:30 AM

LEBIH ramai pegawai dari sektor awam akan dihantar untuk menimba pengalaman di sektor privet pada masa depan, sebahagian usaha pemerintah memperluas kemahiran dan membina keupayaan pegawainya.

Pada masa yang sama, individu dari sektor privet terus diterima menyertai perkhidmatan awam bagi tujuan yang serupa.

Menteri Bertanggungjawab bagi Perkhidmatan Awam Chan Chun Sing berkata pertukaran pengalaman dan kemahiran sedemikian sedang dilakukan tetapi ia akan dipergiat selaras usaha pemerintah menggembeleng pelbagai sumber untuk mencari huraian yang berkesan bagi masyarakat.

"Kami sedang menghantar lebih ramai orang (ke sektor privet), kadangkala bagi tempoh lebih singkat, kadangkala bagi tempoh lebih lama... untuk melihat sendiri bagaimana perniagaan dijalankan.

"Malah, (PSD) divisyen perkhidmatan awam pada masa ini sedang bekerjasama dengan pelbagai agensi, kerana agensi berbeza mempunyai keperluan berbeza, untuk meneroka bagaimana ia boleh mengenal pasti dan menghantar orang (menimba pengalaman di sektor privet), ujar Encik Chan.

Beliau memberi contoh pengarah kanan Our Tampines Hub (OTH) Suhaimi Rafdi.

Pada 2015, Encik Suhaimi meninggalkan sektor hiburan selepas berkhidmat dua dekad dengan Cathay Organisation di mana beliau mendukung jawatan ketua pegawai eksekutif (CEO) bagi tujuh tahun terakhir.

Encik Suhaimi menyertai OTH pada tahun selanjutnya, di mana beliau berperanan tunggak membangun kompleks masyarakat yang menghimpun perkhidmatan awam dan komersial di bawah satu bumbung.

Menurut Encik Chan, OTH berbeza daripada pusat masyarakat lain kerana ia lebih besar dan memuatkan kemudahan awam dan kegiatan komersial. Cabarannya, tambah beliau, adalah menyatukan semua pihak berkepentingan dan pada masa yang sama memastikan OTH tetap memenuhi syarat kewangan.

Encik Chan berkata Encik Suhaimi membawa ke OTH kededua kemahiran komersial dan kemahiran sosial yang diperlukan bagi tujuan tersebut.

"Latar belakang Suhaimi adalah lebih kepada sektor komersial dan pengalaman beliau itu apabila disatukan dengan pasukan yang lebih cenderung pada aspek sosial mewujudkan projek yang berkesan," ujar Encik Chan, yang menambah bahawa kejayaan Encik Suhaimi dan pasukannya di OTH menunjukkan manfaat menggembleng tenaga bakat berbeza-beza.

Model yang dipelopori OTH itu kini dijiwai dalam membentuk Heartbeat@ Bedok dan Punggol Town Hub (PTH) - yang dijadual dibuka tahun ini - kata Encik Chan lagi.

Dalam kenyataannya, PSD berkata ia sedang memperluas peluang bagi pegawainya dihantar ke sektor di luar perkhidmatan awam untuk mempelajari amalan terbaik, menambah pendedahan dan membina rangkaian hubungan dengan sektor privet dan sektor manusia.

Menerusi Program Penempelan Bakal (TAP), ia bukan sahaja menghantar pegawai yang menjalani program kepimpinan, malah pegawai dalam pelbagai bidang seperti penyampaian perkhidmatan dan sumber manusia, ke syarikat berbilang negara, syarikat kecil dan sederhana serta syarikat baru mula atau 'start-up', ujar seorang jurucakapnya.

Encik Chan menyentuh tentang usaha PSD tersebut semasa mengadakan wawancara dengan media setempat baru-baru ini untuk berkongsi pendapatnya mengenai cabaran yang dilalui perkhidmatan awam semasa Covid-19 pada tahun lalu dan cabaran bagi masa depan.

Menurut Encik Chan, Covid-19 telah mempercepat dan menjadikan lebih ketara ketidaktentuaan dalam geopolitik, ekonomi dan sosial di serata dunia.

Persaingan bagi Singapura, dalam ekonomi dan supaya kekal relevan di mata dunia juga telah bertambah.

Sebagai contoh, peranan tradisional Singapura dalam masyarakat perniagaan global, iaitu sebagai hab perniagaan dalam rantaian bekalan dunia perlu dilihat semula dan diberi nafas baru, kata Encik Chan, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan.

Melebihi dimensi ekonomi, Singapura juga perlu meneliti semula peranan yang dimainkannya dalam Asean atau dalam pertubuhan berbilang negara lain yang berubah, supaya ia terus berperanan.

"Justeru, persaingan dan usaha kita supaya menjadi relevan kepada dunia telah berubah dan akan terus berubah," kata Encik Chan.

Cabaran ketiga, menurut Encik Chan adalah memenuhi aspirasi penduduk yang kian pelbagai, dan bukan sahaja mengiktiraf kepelbagaian dari sudut kaum, bahasa dan agama, meskipun aspek-aspek itu tetap penting.

Antara perkara yang boleh dilakukan oleh perkhidmatan awam untuk menempuhi cabaran-cabaran ini adalah menyesuaikan diri supaya tangkas berubah dalam memastikan Singapura terus berdaya saing dan menggembleng kepelbagaian penduduknya untuk menjadi satu kekuatan bagi negara, kata Encik Chan.

Satu contoh perkhidmatan awam menyesuaikan diri kepada cabaran baru dan memastikan Singapura terus relevan adalah Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) - perjanjian dagang terbesar di dunia - yang dimeterai oleh 15 negara termasuk Singapura pada November lalu, di tengah-tengah pandemik.

Menurut Encik Chan, perjanjian 14,000 muka surat itu dipersetujui melalui proses yang amat berbeza, termasuk perundingan yang dilakukan secara dalam talian, dan beliau berbesar hati dengan pencapaian perkhidmatan awam dalam aspek tersebut.

Beliau juga memberi contoh bagaimana pegawai awam dari pelbagai agensi menawarkan khidmat untuk menjadi duta jarak selamat dan bekerjasama dengan individu dari sektor privet untuk menasihatkan penduduk di sini supaya mematuhi peraturan jarak selamat.

Buat masa ini, Perkhimatan Awam Singapura menggajikan sekitar 146,000 pegawai dalam 16 kementerian, lebih 50 lembaga berkanun dan sembilan agensi negara.

Sekitar 85,000 daripada jumlah ini adalah pegawai dalam perkhidmatan sivil, yang berkecimpung dalam sektor pendidikan, pertahanan awam dan perkhidmatan lain.


TIGA CABARAN KETARA TAHUN LALU AKIBAT COVID-19

"Satu, keadaan tidak menentu dalam sekitaran global. Dua, jenis persaingan telah bertambah dan pencarian kita untuk memastikan kita tetap relevan dari segi ekonomi dan geostrategi; dan kepelbagaian yang bertambah dari segi pandangan dan aspirasi rakyat."
- Menteri Bertanggungjawab bagi Perkhidmatan Awam Encik Chan Chun Sing.


RESPONS PERKHIDMATAN AWAM KEPADA PERUBAHAN GEOPOLITIK DUNIA DISEBABKAN COVID-19

"Kita perlu mempergiat usaha.. dan memperkukuh cara kita menyusun diri kita sendiri, dari segi cara kita membentuk pasukan dan pertubuhan supaya kita tangkas dalam membina daya tahan."
- Menteri Bertanggungjawab bagi Perkhidmatan Awam Encik Chan Chun Sing. Beliau juga menggesa perkhidmatan awam membuat persiapan awal supaya Singapura terus mendahului pesaing dan mencari huraian yang melibatkan pelbagai pandangan dari lapisan masyarakat yang meluas.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3