Subuh
5:36
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Ye Kung: Tiada jalan pintas dalam senggara laluan rel

Siasatan forensik dapati kerosakan lapisan penebat satu kabel kuasa, komponen karat sebab gangguan MRT besar Oktober lalu
Mar 18, 2021 | 05:30 AM



KEROSAKAN pada lapisan penebat satu kabel kuasa dan komponen yang berkarat dalam pemutus litar menyebabkan gangguan MRT besar hingga menjejas tiga laluan kereta api - Laluan Utara-Selatan dan Laluan Timur-Barat (NSEWL) serta Laluan Circle Line (CCL) Oktober tahun lalu.



Akibatnya sekitar 123,000 penumpang terjejas.



Demikian hasil dapatan menyusuli siasatan forensik terhadap kerosakan peralatan di laluan Lanjutan Tuas West (TWE) yang menyebabkan gangguan di tiga laluan MRT itu pada 14 Oktober 2020.



Berkata demikian semalam, Menteri Pengangkutan Ong Ye Kung menggesa agar tidak mengambil jalan pintas dalam penyenggaraan laluan kereta api.



Rangkaian MRT boleh berkhidmat lebih sejuta kilometer secara purata sebelum mengalami kegenjotan kini, hasil kerja keras dan perbelanjaan lebih tinggi bagi penyenggaraan, kata Encik Ong semasa acara pecah tanah sebuah pusat ujian kereta api bersepadu (ITTC) yang baru.



Pusat tersebut akan menguji sistem kereta api dan kereta api baru tanpa menjejas khidmat di laluan yang sedang beroperasi.



Tambahnya, perbelanjaan penyenggaraan telah meningkat seganda sepanjang sedekad lalu dan kini berada di tahap sihat dan sewajarnya.



Namun beliau berkata tidak perlu untuk melakukan pelbagai perkara dan membelanjakan jumlah wang yang besar tetapi tidak menunjukkan sebarang hasil.



"Sebaliknya, kita perlu faham bagaimana kerosakan kecil berlaku secara serentak menyebabkan gangguan besar. Jadi, kita mengeluarkan perbelanjaan jika perlu... untuk memastikan keselamatan dan kekerapan.



"Latih pekerja dengan baik, lengkapkan mereka dengan kemahiran untuk mengesan dan membetulkan masalah, rasa selamat mengadu salah laku jika perlu serta memperbaiki kerja penyenggaraan secara proaktif," ujarnya.



Encik Ong berkata banyak usaha telah dijalankan dan dana dibelanjakan untuk membetulkan kerosakan yang dikenal pasti ekoran gangguan pada 14 Oktober lalu.



Pembekal sistem Alstom telah menggantikan kesemua 113 komponen pemutus litar sepanjang TWE tahun lalu dan kini sedang menggantikan kesemua 150 kilometer kabel kuasa sepanjang laluan 7.5 kilometer itu dengan kabel berspesifikasi lebih tinggi.



Syarikat itu menanggung kos bagi kerja penggantian itu.



Kerja penggantian itu juga telah menyebabkan Laluan Timur-Barat (EWL) ditutup lebih awal dan dibuka lebih lewat serta akan ditutup sepenuhnya pada hari Ahad di stesen tertentu dalam tempoh dua bulan akan datang.



Encik Ong turut menarik perhatian bahawa terdapat rancangan menggantikan komponen pemutus litar di TWE lagi dengan komponen yang diperbuat daripada keluli tahan karat menjelang suku ketiga tahun depan.



Kini, komponen yang digunakan diperbuat daripada keluli karbon dengan salutan nikel.



Namun buat masa sekarang, SMRT telah meningkatkan kekerapan penyenggaraan hingga setiap tiga bulan.



Mereka telah meningkatkan kekerapan penyenggaraan kepada setiap enam bulan selepas gangguan pada Oktober lalu itu, berbanding setiap tahun sebelum itu.



"Kita perlu jelas, mengambil jalan pintas bagi penyenggaraan untuk menjimat kos tidak produktif. Ini tidak menyumbang kepada kemampanan kewangan.



"Malah, ia sangat tidak produktif kerana tindakan pemulihan yang perlu diambil biasanya menyebabkan gangguan dan mahal, serta mempunyai kos sosial, ekonomi dan kewangan yang lebih tinggi," kata Encik Ong.



Bagaimanapun beliau akur gangguan kereta api yang berlaku sekali-sekala tidak dapat dielakkan.



"Apabila ia berlaku, kita perlu menyiasat hal itu, mengenal pasti puncanya, membetulkannya dan belajar daripada pengalaman itu," ujarnya.



Tambahnya, ITTC yang merupakan prasarana pertama seperti itu di Asia Tenggara, merupakan sebahagian langkah mengukuhkan sistem kereta api di sini.



Pusat itu berupaya menguji hingga tiga sistem isyarat berbeza pada masa yang sama dan terletak di sebuah tapak seluas 50 hektar di Raffles Country Club lama di Tuas.



ITTC akan beroperasi sepenuhnya menjelang hujung 2024.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >