Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

Anggota Kabinet dulu dan kini hargai kepimpinan PM Lee sepanjang 2 dekad

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Anggota Kabinet dulu dan kini hargai kepimpinan PM Lee sepanjang 2 dekad

Apr 16, 2024 | 07:05 PM



Kebijaksanaan membentuk dasar dan banyak perkara lain boleh diasah, tetapi nilai paling penting yang ditunjukkan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, kepada Singapura adalah pentingnya memastikan sistem kita bersih dan lurus demi memberi ilham kepada lebih ramai orang untuk tampil dan berkhidmat.

Demikian kata Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing, ketika memberi penghormatan kepada Encik Lee di Facebook pada 15 April.

“Kami bertuah kerana Encik Lee Hsien Loong memimpin dan membimbing kami selama bertahun-tahun. Kami yakin bahawa beliau akan terus melakukan demikian, walaupun kita di dalam pusingan perjalanan yang seterusnya,” tambahnya.

Hantaran Facebook Encik Chan adalah salah satu daripada banyak kata-kata penghormatan daripada beberapa Menteri Kabinet dan Anggota Parlimen yang dicurahkan kepada Encik Lee yang akan mengundur diri pada 15 Mei.

Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, akan mengambil alih tampuk kepimpinan.

Encik Chan turut meluahkan rasa yakin terhadap kepimpinan Encik Wong dan menegaskan semula sokongan Parti Tindakan Rakyat (PAP) kepadanya untuk membawa Singapura ke era baru.

Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, mengucapkan terima kasih kepada Encik Lee atas kepimpinannya yang memberi inspirasi kepada Singapura.

“Kepimpinan teguh anda telah mendorong Singapura terus menjadi luar biasa walaupun landskap sejagat berubah sejak dua dekad yang lalu,” ujar Dr Faishal pada 16 April di Facebook.

Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, pula berkongsi bahawa beliau mendapat banyak manfaat daripada nasihat Encik Lee, dan bagaimana beliau meraih inspirasi daripada bimbingan Encik Lee pada masa krisis.

Singapura telah meningkatkan keandalan dan ketersambungan rel dengan ketara, dengan mengembangkan rangkaian rel daripada 85 stesen sepanjang 128 kilometer pada 2005, kepada 200 stesen sepanjang 258 kilometer pada 2024.

“Encik Lee pernah berkata bahawa pengangkutan awam adalah alat sosial yang menghubungkan orang dan tempat – ia adalah pengalaman bersama hidup di Singapura, di mana rakyat Singapura daripada semua lapisan masyarakat menggunakan pengangkutan awam untuk pergi ke tempat kerja, sekolah dan beriadah.

“Selama bertahun-tahun, kami telah menambah baik sistem pengangkutan awam kita, dengan mengambil kira warga Singapura,” jelas Encik Chee pada 15 April di Facebook.

Tambahnya, Encik Lee juga memberi banyak penekanan untuk mengembangkan kedudukan Singapura sebagai hab udara dan laut, yang menyumbang kepada daya saing ekonomi negara dan mata pencarian ramai pekerja.

Selain itu, beliau mengulas tentang pekerja industri yang memastikan perkhidmatan pengangkutan awam Singapura beroperasi siang dan malam, walaupun semasa pandemik Covid-19.

“Semasa pandemik Covid-19, Encik Lee mengotakan janjinya bahawa pemerintah akan menjaga pekerja kita.

“Beliau telah menyokong dan percaya dengan teguh tentang kepentingan tripartit, dan perkongsian tiga pihak kita di Singapura telah berkembang dari kekuatan ke kekuatan semasa beliau menjadi Perdana Menteri,” kata Encik Chee.

Anggota Parlimen (AP) GRC Sembawang, Encik Vikram Nair, menyuarakan penghargaannya kepada Encik Lee atas komitmennya yang tidak berbelah bagi.

Dalam hantaran Facebook pada 15 April, beliau berkongsi bahawa Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) per kapita Singapura telah meningkat lebih tiga kali ganda sejak 2004 di bawah kepimpinan Encik Lee.

Ini membawa kepada warga muda Singapura terus mempunyai pilihan baru yang menarik untuk bekerja.

“Sedangkan generasi pemimpin pengasas kita perlu mencari jalan untuk Singapura berkembang daripada negara dunia ketiga kepada negara dunia pertama, Encik Lee dan pasukannya perlu mencari jalan untuk mengikuti aspirasi Singapura yang semakin besar serta memastikan Singapura kekal relevan dalam dunia yang berkembang pesat,” ulas Encik Vikram.

Duta Singapura ke Kuwait (Bukan Pemastautin), Encik Zainul Abidin Rasheed, merakam penghargaan kepada Encik Lee atas kepimpinannya yang tabah, kuat dan tidak ternilai.

Encik Zainul, yang juga mantan Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar) dan mantan Editor Berita Harian/Minggu (BH/BM), berkata:


“Kami diberkati dengan penjanaan semula kepimpinan yang lancar dan boleh dipercayai.

“Daripada Perdana Menteri Pengasas, mendiang Encik Lee Kuan Yew, kepada pengganti layak, Encik Goh Chok Tong, dan kini daripada Encik Lee Hsien Loong kepada Perdana Menteri yang dilantik, Encik Lawrence Wong.

“Semoga kita terus dikurniakan kepimpinan, nilai hala tuju, pembangunan dan kemajuan yang betul.

“Kami berterima kasih kepada Encik Lee atas kepimpinannya yang teguh dan tidak ternilai dan mengharapkan bimbingan berterusan beliau kepada Kepimpinan Generasi Keempat (4G).”




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >