Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18

Bakal jemaah perlu sertai senaman, ceramah kesihatan

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

RENCANA

Bakal jemaah perlu sertai senaman, ceramah kesihatan

CARA AGENSI PERSIAP JEMAAH
Mar 03, 2024 | 09:35 AM



Individu yang bakal berangkat ke Tanah Suci bagi menunaikan haji tahun ini perlu menyertai program kesihatan Get Fit For Haj yang dijalankan oleh ejen penjualan (GSA) pakej haji masing-masing, kongsi beberapa ejen bersama Berita Minggu (BM).


Difahamkan bahawa setiap GSA yang menawarkan pakej haji tahun ini perlu mengadakan lima sesi kegiatan, termasuk senaman dan ceramah kesihatan, di bawah program kesihatan itu sebagai persiapan untuk bakal jemaah menjaga kesihatan dan meningkatkan kecergasan sebelum berangkat ke Arab Saudi.

Di samping itu, setiap GSA juga dikehendaki mempunyai seorang pegawai kebajikan – selain seorang mutawif dan seorang pemegang jawatan utama agensi – yang menemani kumpulan jemaah mereka sepanjang perjalanan ibadah.

Keperluan baru itu berikutan jumlah kakitangan perubatan dan pentadbiran jauh lebih rendah yang akan mengikuti rombongan haji Singapura tahun ini – daripada 90 orang sebelum ini kepada hanya sembilan orang pada musim haji tahun ini.

Menjawab pertanyaan akhbar ini, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) mengesahkan bahawa peratusan visa bagi kakitangan misi haji, terdiri daripada pegawai perubatan dan pentadbiran, dikurangkan daripada 10 peratus kepada 1 peratus daripada kuota rasmi jemaah haji negara. Kuota rasmi Singapura ialah 900 orang.

PERLU ADAKAN PROGRAM KESIHATAN

Perubahan tersebut telah menimbulkan keprihatinan dalam kalangan beberapa GSA, terutama kerana sebahagian besar jemaah haji biasanya merupakan mereka yang sudah lanjut usia dan mungkin mengalami beberapa masalah kesihatan dan pergerakan.

Pada 2023, program Get Fit For Haj – usaha di bawah inisiatif M Kuasa Tiga (M³) dan dikelola oleh Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB), Persatuan Karyawan Penjagaan Kesihatan Islam (MHPA) dan GSA – diperkenalkan untuk menggalak bakal jemaah haji mempersiapkan diri secara fizikal dan mental bagi menjalani ibadah haji dengan selamat. Program itu tidak mandatori ketika dilaporkan tahun lalu.


Namun, untuk tahun ini, program itu dijalankan GSA yang dilantik sebagai sebahagian daripada pakej haji, kata Muis menjawab pertanyaan akhbar ini.

“Muis sentiasa menggalak bakal jemaah supaya membuat persiapan awal untuk menunaikan haji. Ini termasuk persiapan jasmani bagi pengalaman haji yang lancar.

“Muis bekerjasama dengan HPB dan Karyawan Penjagaan Kesihatan Islam (MHPA) tahun lalu bagi program Get Fit For Haj sebagai sebahagian persiapan menyeluruh untuk ibadah haji.


“Bagi tahun ini, program itu dikelolakan ejen penjualan yang dilantik Muis, sebagai sebahagian pakej haji,” kata jurucakapnya.

CARA AGENSI PERSIAP JEMAAH

Pengarah eksekutif Jalaluddin Travel & Services, Cik Noor Faizah Mustaffa, berkata sejak program Get Fit For Haj diperkenalkan tahun lalu, agensi mereka telah mengorak langkah mengadakan beberapa aktiviti senaman bagi jemaah haji.

“Tahun ini, dengan kriteria yang diperuntukkan oleh Muis, pihak kami meneruskan usaha bekerjasama dengan HPB untuk menambah lagi mutu dan jumlah aktiviti bersama jemaah haji 2024.

“Sehingga kini, kami telah menjalankan beberapa aktiviti seperti ceramah kesihatan, jalan kaki sepanjang lima kilometer bersama jemaah di East Coast dan senaman ringan. Dalam masa dua bulan akan datang, kami merancang mengadakan satu lagi ceramah kesihatan untuk menasihati jemaah haji mengenai cuaca dan kesihatan di Saudi nanti,” katanya.







Pengarah Noor Mohamad Services & Travel, Ustazah Juyda Noor Mohamad, pula berkata agensinya telah mengadakan satu ceramah kesihatan dan sesi senaman sejauh ini, dengan rancangan mengadakan sesi berjalan lima kilometer tidak lama lagi.

“Berdasarkan musim haji lalu pada 2022 dan 2023, jemaah berjalan hampir enam hingga lapan kilometer dari Muassim hingga ke lontar jamrah di Jamrah Al-Aqabah dan jalan balik ke Shisha.

“Bagi mereka yang tidak boleh jalan kaki, ada pilihan menggunakan kerusi roda. Oleh itu, jemaah perlu jujur dengan pihak agensi tentang keadaan kesihatan kerana jika gunakan khidmat kerusi roda, ia satu kos tambahan dan agensi perlu buat persiapan,” kata beliau.

Demi memastikan pihak agensi dapat membuat persiapan menyeluruh untuk menjaga jemaah, beberapa GSA berkongsi bahawa mereka memerlukan jemaah membuat pengisytiharan tentang keadaan kesihatan mereka.

Ustazah Juyda berkata jemaah perlu berterus-terang tentang masalah kesihatan dan penyakit yang mereka hadapi dan tidak menyembunyikan sebarang maklumat supaya pihak agensi tahu cara membantu mereka sekiranya perlu.

Pengarah urusan TM Fouzy Travel & Tours, Ustaz Tengku Mohamad Fouzy Tengku Mahid Jumat, pula berkongsi pihaknya telah menghantar 21 pegawai untuk menjalani kursus pertolongan cemas sebagai persiapan untuk musim haji akan datang.

“Kursus ini melengkapi pegawai kami dengan pengetahuan tentang apa yang perlu dilakukan sekiranya berlaku masalah penyakit, musibah dan sebagainya supaya pegawai dapat tangani situasi sebelum ia dibawa kepada pihak Muis atau pihak kesihatan Saudi untuk bantuan lanjut,” kata beliau sambil menambah hampir separuh jemaah haji di bawah agensinya berusia lebih 50 tahun.

Di agensi Hahnemann Travel & Tours, pengurus, Ustaz Muhammad Ahmad, berkata mereka menggalak bakal jemaah menjaga kesihatan dengan mengadakan lebih banyak kelas senaman dan juga ceramah kesihatan bersama HPB.

Ini selain berkongsi video yang memberi panduan tentang pemakanan sihat, seperti makan sayur-sayuran dan buah-buahan serta makanan sunah seperti madu.

“Jemaah amat menghargai usaha kami dan ada yang berkongsi mereka gembira Hahnemann Travel berkongsi maklumat ini. Ada juga berjaya turun berat badan dan kini lebih sihat,” katanya.

NASIHAT DAN PANDUAN

Naib Presiden MHPA, Dr Nurhidayati Suphan, yang pernah mengikuti rombongan haji Singapura sebagai pegawai perubatan beberapa kali, menasihatkan bakal jemaah supaya mula bersenam untuk menguatkan otot dan meningkatkan tahap kecergasan.

Ini memandangkan mereka akan perlu banyak berjalan dan dalam pada itu, ada tandas di sana yang memerlukan individu mencangkung untuk menggunakannya.

Beliau menambah jemaah harus memastikan mereka mempunyai bekalan ubat-ubatan yang mencukupi dan mendapatkan vaksinasi yang diperlukan berdasarkan garis panduan imunisasi nasional.

“Ada kalangan jemaah yang merupakan warga emas, yang sering mempunyai masalah perubatan lebih serius – bukan hanya kencing manis, malah ada pesakit strok, dialisis, barah dan sebagainya, dan mereka memerlukan lebih banyak bantuan.

“Saya harap jemaah bersatu padu membantu satu sama lain,” kata beliau.

Dengan musim haji jatuh pada pertengahan tahun, dengan suhu di Makkah boleh mencapai lebih 40 darjah Celsius, Ustaz Tengku Mohamad Fouzy, yang juga presiden Amtas, menasihatkan jemaah supaya banyak minum air dan jauhkan diri daripada pancaran matahari.

“Sediakan diri anda secara mental dan fizikal supaya ada persediaan diri kalau berlaku apa-apa kesulitan.

“Perlu juga siapkan rohani, ikuti kursus serta lakukan amal baik.

“Dari segi fizikal pula, makan makanan sihat dan lakukan senaman supaya dapat jadi lebih ‘fit’,” kata beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >