Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18

Chun Sing: MOE akan siasat ancaman terhadap pendidik, sokong mereka ajar CCE

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Chun Sing: MOE akan siasat ancaman terhadap pendidik, sokong mereka ajar CCE

Mar 04, 2024 | 07:17 PM



Kementerian Pendidikan (MOE) memberi sokongan penuh kepada para guru yang menyampaikan pelajaran Pendidikan Perwatakan dan Kewarganegaraan (CCE) mengenai konflik Israel-Hamas.

Pada masa yang sama MOE juga akan memastikan para guru itu mempunyai sokongan penuh di sisi undang-undang, kata Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing.

Encik Chan berkata demikian semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) di Parlimen pada 4 Mac di mana beberapa Anggota Parlimen (AP) menyuarakan keprihatinan setelah sesetengah guru menjadi mangsa tindak balas, ancaman dan komen negatif dalam talian kerana mengajar pelajaran CCE tersebut.

Dalam ucapannya, Encik Chan berkata menangani perbezaan secara hormat merupakan sesuatu yang masih terus perlu diusahakan.

“Pada umumnya, rakyat Singapura menyuarakan pandangan kami secara sivil dan hormat.

“Namun, beberapa kebencian dan kemarahan dalam talian terhadap MOE dan guru kami daripada episod ini mengingatkan bahawa kami tidak boleh mengambil mudah perkara ini. Sesetengah pendidik telah menerima komen biadab dan kesat,” katanya.

MOE memandang serius perkara ini dan akan menyiasat semua kejadian penderaan, gangguan atau ancaman terhadap pendidiknya, tambah beliau.

“Mereka mempunyai sokongan penuh MOE dan perlindungan penuh undang-undang,” tegas Encik Chan.

Beberapa AP telah bertanya soalan susulan kepada Encik Chan berikutan ucapannya itu.

Dr Wan Rizal Wan Zakariah (GRC Jalan Besar) bertanya sama ada MOE mempunyai rancangan berkongsi slaid atau bahan pengajaran yang digunakan dengan orang ramai.

Ini lebih-lebih lagi setelah slaid dan bahan yang tidak disahkan yang kononnya daripada pelajaran CCE tersebut disebarkan dalam talian.

Encik Chan berkata beliau telah membincangkan isu itu dengan kementeriannya.

“Kami membuat kesimpulan bahawa slaid tidak memberi gambaran penuh apa yang diajarkan guru kerana slaid tidak bercakap.

“Bagi ibu bapa atau orang ramai yang mempunyai kebimbangan mengenai perkara ini, kami lebih suka berjumpa mereka secara bersemuka dan menerangkan kepada mereka cara slaid digunakan,” katanya.

Encik Sharael Taha (GRC Pasir Ris-Punggol) pula bertanya dengan kemas kini pada bahan-bahan pengajaran yang akan dilakukan, sama ada pelajaran CCE itu akan dihentikan buat sementara waktu.

“Dan sebelum dimulakan semula, bolehkah kita menguji pelajaran itu dengan kumpulan fokus atau merintisnya dengan sekumpulan individu dan mendapatkan maklum balas mereka?” tanya beliau.

“Kami kini dalam proses mengemas kini slaid dan juga menjalankan latihan lanjutan dengan guru. Ini adalah janji kami kepada semua orang; bahawa kita akan terus melakukan ini sepanjang perjalanan kerana tidak mungkin untuk kita menghentikan segala-galanya kerana keadaan sedang berkembang,” jawab Encik Chan.

Sementara itu, Encik Faisal Manap (GRC Aljunied) mempersoal sama ada MOE telah berunding dengan ibu bapa sebelum mengajar pelajaran CCE tersebut memandangkan ia melibatkan isu sensitif.

Encik Faisal menambah bahawa kebenaran ibu bapa diminta sebelum MOE mengajar pendidikan seksual.

Encik Chan menjelaskan bahawa pelajaran CCE berbeza daripada pendidikan seksual.

“Pendidikan seksualiti berurusan dengan isu yang sangat peribadi, kepercayaan keluarga, dan sebagainya.

“Dalam CCE, kita berbincang tentang perhubungan orang antara satu sama lain secara hormat dan sensitif.

“Ia bukan mengenai konflik itu sendiri; ia adalah mengenai kepelbagaian dan perbezaan pandangan, bagaimana kita berjaya meneruskan sebagai satu warga. Ini mengenai hubungan interpersonal, tentang cara kami memberi respons sebagai warga Singapura,” kata beliau.

Dalam ucapannya, Encik Chan turut mengetengahkan beberapa pengajaran yang digarap daripada episod pelajaran CCE itu.

Pertama katanya, kita tidak boleh memandang remeh kesan akibat gambaran yang salah.

Beberapa netizen sengaja memilih satu slaid daripada slaid lain yang disebarkan dalam talian dan daripada itu membuat kesimpulan tentang pendirian MOE.

“Ini adalah peringatan bahawa dalam ruang dalam talian, tidak mudah untuk memisahkan mereka yang mempersoalkan bahan dengan niat yang baik, daripada mereka yang menyertai perbincangan dengan niat tersembunyi, untuk membangkitkan emosi negatif mengenai topik sensitif ini,” katanya.

Selain itu, beliau berkata perpaduan kita bergantung pada komitmen dan usaha yang berterusan.

Encik Chan akur soalan sama ada pelajaran CCE itu patut diteruskan telah dibangkitkan dalam kalangan pendidik memandangankan ia telah menerima kecaman awam.

Namun, ramai pendidik melihatnya sebagai tanggungjawab mereka untuk memastikan bibit-bibit kebencian dan rasa tidak percaya tidak disemai dalam generasi seterusnya.

“Sesungguhnya menjadi kewajipan kita untuk membimbing generasi akan datang dengan baik.

“Pendidikan adalah tanggungjawab yang serius. Saya dan rakan-rakan MOE berasakan beratnya misi kami. Kami berazam untuk melaksanakan kewajipan kami dan melakukan perkara yang betul bagi pelajar kami,” ujar Encik Chan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >