Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18

Chun Sing: MOE akur guru ada keprihatinan peribadi, hargai dedikasi

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Chun Sing: MOE akur guru ada keprihatinan peribadi, hargai dedikasi

Feb 25, 2024 | 09:39 PM



Sekolah-sekolah, dengan bantuan Kementerian Pendidikan (MOE) boleh membentuk kumpulan guru untuk menyampaikan pelajaran jika perlu, terutama jika ada yang menganggap sesetengah topik bercanggah dengan kepercayaan dan pandangan peribadi mereka, kata Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing.

Beliau berkata demikian dalam satu wawancara bersama SPH Media dan Mediacorp pada 25 Februari, menyusuli keprihatinan yang diluahkan pihak awam berhubung pelajaran Pendidikan Perwatakan dan Kewarganegaraan (CCE) mengenai konflik Israel-Hamas.

Melahirkan penghargaan kepada para pendidik yang memahami keperluan lebih besar yang mendorong MOE memutuskan untuk menyampaikan topik berhubung konflik Israel-Hamas di kelas, Encik Chan berkata sebagai pendidik profesional, pengetua dan guru “komited untuk membimbing anak-anak kita sebaik mungkin untuk memahami kepentingan menegakkan keharmonian sosial kita, mengesahkan maklumat sebagai kemahiran hidup, dan menghargai pelbagai perspektif dengan penuh rasa hormat”.

Menjawab soalan Berita Harian berhubung keprihatinan guru yang mungkin rasa isu tersebut bercanggah dengan pandangan peribadi mereka, Encik Chan akur guru juga mempunyai keprihatinan tersendiri dan isu itu menjejas individu pelbagai agama dan latar belakang.


“Kami memahami bahawa setiap guru mungkin mempunyai keprihatinan berbeza dan ini bukan sahaja buat masyarakat Melayu/Islam. Ia juga boleh menjejas masyarakat Yahudi, masyarakat Kristian atau mana-mana orang lain dengan kepercayaan berbeza, atau daripada latar belakang yang berbeza.

“Oleh itu, pemimpin sekolah kita akan memudahkan proses secara sistematik dengan membentuk pasukan yang mampu menyampaikan kelas ini. Kami berusaha untuk memastikan bahawa kami membantu sekolah membentuk pasukan untuk menyampaikannya sebagai satu pasukan dan bukannya sebagai individu,” kata beliau.

Isu berhubung kandungan pelajaran CCE tersebut timbul setelah ibu bapa menyuarakan keprihatinan dan rasa tidak senang mereka di media sosial tentang kandungan pelajaran tersebut dan bagaimana anak-anak mereka diajar tentang konflik Israel-Hamas itu.

Surat terbuka dan e-mel yang dihantar kepada Encik Chan juga disebarkan dalam talian, manakala laman Facebook MOE pula dibanjiri komen mengenai bahan-bahan pelajaran tersebut.


Dalam satu surat sedemikian, sekumpulan ibu bapa berkata bahawa murid-murid telah diberikan maklumat yang “kurang dalam penceritaan tepat tentang peristiwa sejarah”.


Menjawab soalan sama ada pengajaran topik konflik Israel-Hamas itu harus ditangguhkan, Encik Chan berkata cabaran akan timbul sekiranya itu dilakukan kerana sejarah tidak pernah berhenti berkembang dan tidak pernah ada masa yang boleh dikatakan sesuai untuk melakukannya.


Ini sementara rakyat Singapura, termasuk anak-anak muda, terus dibanjiri maklumat mengenai konflik itu daripada pelbagai sumber.


“Oleh itu, semakin lama kita melengahkan perkara ini, terdapat implikasinya,” kata beliau.


Justeru, beliau berkata adalah penting untuk berterus terang, sambil menyedari bahawa cabarannya tidak mudah diatasi.


“Kami memahami misinya – kami akan terus mengembangkan bahan-bahan pelajaran kami dan pengajaran kami untuk mendekati kumpulan pelajar yang berbeza. Ini adalah sesuatu yang tidak mudah untuk dilakukan.


“Saya mesti memberi penghargaan kepada para pendidik kerana tegas dalam keyakinan mereka untuk memahami keperluan lebih besar mengapa kita perlu melakukan perkara ini, walaupun mereka menghadapi cabaran dan mempunyai pandangan peribadi mereka sendiri tentang beberapa isu, dan untuk berdiri bersama sebagai satu badan profesional untuk membantu membimbing anak-anak kita dalam persekitaran yang amat mencabar ini,” kata beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >