Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18

Chun Sing perjelas isu pelajaran CCE berhubung konflik Israel-Hamas

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Chun Sing perjelas isu pelajaran CCE berhubung konflik Israel-Hamas

Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing, bertemu dengan SPH Media dan Mediacorp dalam satu sesi wawancara pada 25 Februari menyusuli keprihatinan sesetengah ibu bapa berhubung pelajaran Pendidikan Perwatakan dan Kewarganegaraan (CCE) mengenai konflik Israel-Hamas. Berikut sedutan perkongsian wawancara itu
Feb 25, 2024 | 08:00 PM



Soalan: Terdapat reaksi daripada masyarakat berkenaan dengan Pendidikan Perwatakan dan Kewarganegaraan (CCE). Umumnya, orang ramai mahu kepastian tentang apakah hasil yang ditetapkan Kementerian Pendidikan (MOE) bagi dirinya dalam merancang untuk program seperti ini, yang melibatkan topik rumit seperti ini, konflik melibatkan agama Islam supaya ia dapat disesuaikan untuk para pelajar di sekolah, pada peringkat yang berbeza. Sebagai orang dewasa juga kita berasa begitu sukar untuk memahami kerumitan keadaan.


Jawapan: Mungkin saya kongsikan sedikit latar belakang mengapa kami melakukan perkara ini, dan bagaimana kami melakukannya. Dan kemudian apakah antara cabaran yang kami hadapi dan bagaimana kami berhasrat untuk mengatasi sebahagian daripada cabaran itu? Jadi, seperti yang anda tahu, sejak kebelakangan ini, beberapa ibu bapa telah menyatakan keprihatinan dengan perbincangan konflik Israel-Hamas semasa pendidikan CCE... ada yang bertanya, apakah tujuan sebenar? Ada yang bertanya, adakah apa yang diajarkan itu betul? Dan ada pula yang bertanya adakah apa yang diajarkan adil?

Hakikatnya ini adalah konflik yang rumit dengan sejarah panjang melibatkan bangsa, agama, politik dan geopolitik. Dan ia bermula bertahun lamanya, berdekad malah berkurun, bergantung kepada tempoh yang anda persetujui. Dan setiap kali konflik berlaku, ramai jiwa yang terkorban. Dan semua orang daripada semua pihak menderita. Dan kali ini, korban jiwa dan jumlah mereka yang cedera yang menggunung telah memberi kesan kepada kita semua, di tahap yang lebih tinggi dan mendalam. Dengan media sosial, kita berdepan dengan kesengsaraan ini setiap hari menerusi imej penderitaan terutama melibatkan penduduk Gaza.

Pada saat ini, ramai warga Singapura yang terkesan dan berkongsi penderitaan yang dilalui oleh mangsa konflik ini. Ia meruntun jiwa kita, termasuk golongan muda kita, yang berasa gejolak perasaan ini daripada sudut kemanusiaan. Setiap daripada kita, mengharapkan, mendoakan keamanan, gencatan senjata segera serta pengakhiran kepada konflik ketenteraan ini dan digantikan dengan penyelesaian jangka panjang, iaitu penyelesaian dua negara di mana warga Palestin dan Israel hidup dalam keadaan aman damai. Ini adalah sesuatu yang sukar. Ramai yang telah mencuba, dan gagal. Namun, adakah pilihan lain?

Lantaran itulah Singapura telah menyertai banyak lagi negara dalam menyokong gesaan PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) bagi gencatan senjata dan sokongan kemanusiaan kepada mangsa. Dan kami menyokong gesaan bagi penyelesaian dua negara, meskipun ia sukar untuk dicapai. Penyelesaian ini kini menjadi semakin sukar untuk dicapai. Namun, terdapat usaha baru daripada masyarakat dunia, dan Singapura akan melakukan apa sahaja yang diperlukan untuk menyumbang ke arah usaha tersebut. Jadi inilah latar belakang yang kita harus tangani.

Rakyat kita juga terkesan, bukan hanya masyarakat Melayu/Islam atau Yahudi, bahkan ramai golongan muda kita yang bertanya: Mengapa ini berlaku? Apa yang boleh kita lakukan?

Kita juga melihat ramai yang terkesan secara emosi. Mujurlah, umumnya warga Singapura bersikap sederhana dan mendekati perkara ini dengan rasa saling hormat-menghormati. Pemimpin masyarakat dan agama kita telah mengambil langkah membimbing masyarakat kita dalam satu tindak balas bersama. Contoh yang baik ialah Mufti dan ketua Rabai kita, dan kita menghargai para pemimpin sedemikian.

Meskipun konflik ini jauh dari segi geografi, kita bekerja keras untuk memastikan ia tidak memecahbelahkan kita atau membiarkan ia menjejas perpaduan sosial serta keharmonian yang kita gigih bangunkan selama ini.

Kita telah menyaksikan penyebaran maklumat yang tidak benar, termasuk imej dan maklumat yang disebarkan di media sosial dan membangkitkan emosi mendalam. Dan kita juga diberitahu apa yang perlu dan tidak perlu diajarkan kepada kanak-kanak kita berkenaan isu ini. Justeru, kita perlu bersikap amat teliti supaya tidak memupuk kebencian dan sikap tidak percaya dalam generasi kita yang lebih muda.

Kita perlu memahami kelemahan dan kepentingan Singapura; dan bekerja keras untuk mempertahankan perpaduan, sikap saling toleran dan penerimaan kita, serta mencari jalan untuk mempertahankan keharmonian dalam masyarakat kita yang berbilang kaum dan berbilang agama.

Sebagai warga Singapura, kita amat menghargai latar belakang kita yang pelbagai dan asal-usul kita. Tapi kita tidak harus membiarkan diri kira berpecah belah disebabkan perbezaan antara kita. Kita boleh menggunakan kepelbagaian ini untuk membina masa depan bersama menggunakan nilai-nilai yang dikongsi. Dan ini mestilah menjadi matlamat kita dan pendidikan harus menyumbang kepada matlamat ini. Itu sebabnya kita hendak menyediakan sekitaran selamat untuk pelajar kita memahami isu-isu yang berlaku di dunia dan di sekeliling mereka.

Demi perpaduan sosial dan pembangunan anak-anak kita, Pendidikan Perwatakan dan Kewarganegaraan (CCE) atau apa yang kita gelar CCE, bertujuan mencapai empat perkara bagi anak-anak kita.

Pertama, untuk memahami emosi mereka dan menunjukkan empati terhadap orang lain. Kedua, berfikir secara lebih mendalam bagaimana kita boleh melindungi perpaduan dan harmoni dalam masyarakat berbilang kaum. Ketiga, untuk belajar cara-cara mengesahkan kebenaran sumber maklumat sebelum maklumat itu dikongsi dengan orang lain secara bertanggungjawab. Dan keempat, untuk menghargai kepelbagaian pandangan, dan mengadakan perbincangan secara sensitif dan hormat.

Nah, selepas mengutarakan sedemikian, saya pasti anda akan bersetuju perkara ini tidak mudah dilakukan atau boleh dicapai dengan mudah. Kemudian, satu soalan sukar yang kami tanya diri kami sendiri ialah – haruskah kita cuba melakukannya untuk para pelajar kita? Haruskan kita membiarkan mereka bergelut dengan pengaruh dari luar secara bersendirian? Atau haruskan kita menanggung risiko membiarkan mereka dibimbing secara salah oleh sumber-sumber bias di media sosial?

Itu sebabnya, di MOE, kita membincangkan perkara ini secara mendalam sejak tercetusnya konflik terkini pada Oktober lalu; bagaimana hendak memberi membimbing pelajar kita dan bahan apa yang perlu dipilih untuk mereka untuk membantu mereka memahami isu dengan cara yang sesuai dengan usia mereka.

Justeru, kita memilih bahan dengan bantuan agensi lain seperti Kementerian Ehwal Luar (MFA). Kumpulan bahan pertama kami kemas kini pada Disember 2023. Dan kami akan terus mengemas kini bahan ini sedang keadaan berubah. Ini adalah ciri pendidikan CCE. Kami juga membincangkannya dengan pendidik profesional, para pengetua, guru-guru CCE, tentang bagaimana hendak melakukan sedemikian bagi pelajar di peringkat berbeza-beza. Kededua saya dan Dr Maliki telah bertemu dengan para pendidik untuk secara teliti membincangkan bagaimana hendak melakukan perkara ini. Pemimpin di sekolah juga membantu mempersiapkan guru-guru dan memilih guru-guru untuk mengajarkan bahan dan mengendalikan perbincangan.

Kita semua – guru-guru dan pengetua – akur ada cabaran dan risiko yang terlibat. Saya harus menyampaikan penghargaan kepada pendidik kita yang bertekad dan berani melakukan perkara ini dengan baik, walau ada cabaran, demi anak-anak kita dan warga kita. Untuk membantu anak-anak kita memahami isu-isu kompleks yang berlaku di serata dunia pada masa ini, termasuk isu-isu lain seperti Perang Russia-Ukraine.

Kami juga akur adalah sukar untuk melaksanakan perkara ini secara konsisten di seluruh sistem sekolah. Justeru, MOE bekerjasama rapat dengan sekolah-sekolah untuk membangun keupayaan mereka, berdasarkan keperluan mereka.
Bagi pendidikan CCE, MOE menyediakan bahan yang dibezakan buat peringkat berbeza, mengikut keperluan yang berbeza.

Guru-guru diberikan sumber tambahan untuk memberikan maklumat latar belakang jika perlu. Sekadar memberikan konteks dan contoh, bagi murid lebih muda, memahami konflik telah berlaku. Fokus adalah bagaimana kita menangani emosi kita dan bagaimana kita boleh menunjukkan empati dengan perasaan orang lain, termasuk mereka yang tidak berkongsi pandangan yang sama.

Bagi menjelaskan perkara ini, kelas CCE ini bukanlah bertujuan untuk menjadi pelajaran sejarah. Ia juga bukan satu latihan untuk menuding jari kepada satu pihak atau yang lain. Sebagai contoh lain, bagi pelajar yang lebih tua, kami menggalakkan mereka untuk mengesahkan maklumat yang mereka terima, membaca daripada pelbagai sumber, menghargai kepelbagaian pandangan secara hormat sebelum membuat kesimpulan sendiri.

Sesetengah orang mungkin hanya melihat sebahagian daripada bahan dan membuat kesimpulan yang salah – bahawa pelajaran CCE bertujuan untuk menggambarkan satu pihak sebagai baik dan pihak yang lain sebagai jahat. Namun itulah yang kami cuba elakkan. Tujuan pendidikan bukanlah untuk menyebarkan kemarahan dan kebencian. Ia adalah untuk memupuk pengetahuan, pemahaman dan empati kepada semua manusia, tanpa mengira bangsa atau kepercayaan.

Dan untuk semua pelajar, kami berharap perbualan itu akan membantu mereka menumpukan tenaga mereka pada dialog yang membina dan saling menghormati, dan yang paling penting, untuk memberi mereka rasa perlunya untuk mengambil tindakan positif seperti menyumbang kepada bantuan kemanusiaan.

Pada ketika ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengetua dan guru-guru kami kerana menjalankan tugas mereka secara profesional. Mereka juga mempunyai perasaan peribadi dan keyakinan tentang isu-isu. Tetapi mereka tidak memaksa pandangan peribadi mereka kepada pelajar kita. Sebagai profesional, mereka komited untuk membimbing anak-anak kita sebaik mungkin untuk memahami kepentingan menegakkan keharmonian sosial kita, mengesahkan maklumat sebagai kemahiran hidup, dan menghargai pelbagai perspektif dengan penuh rasa hormat.

Saya faham akan kebimbangan ibu bapa mengenai perkara ini. Seperti anda semua, kami juga ibu bapa dan bersama-sama MOE, kami ingin melakukan yang terbaik untuk pelajar kami.

Kami akan terus mengemas kini bahan pelajaran CCE, berdasarkan perkembangan dan maklumat baru. Kami juga akan mengembangkan kaedah pengajaran kami, mengambil maklum balas daripada pihak berkepentingan.

Jadi, saya akan menggalakkan semua orang agar menyertai kami dalam memberikan kepercayaan dan sokongan anda kepada pengetua dan guru-guru kami.

Soalan: Anda menyebut bahawa sukatan pelajaran akan dikemas kini dengan bahan baru. Berapa lamakah proses ini akan mengambil masa, dan sementara itu apakah yang akan berlaku kepada sukatan pelajaran semasa?


Jawapan: Jadi, kami mengemas kini kurikulum secara berperingkat kerana sedang kami berbual sekarang, perkembangan baru sedang berlaku. Jadi, ini adalah kurikulum itu sendiri, ini adalah cara kami mengemas kini dengan kerap, jadi anda boleh menjangkakan kemas kini berlaku setiap dua hingga tiga bulan, bergantung kepada perkembangan baru.

Namun selain kurikulum itu sendiri, apabila kami mengumpulkan lebih banyak pengalaman mengendalikan kelas ini untuk kumpulan pelajar yang berbeza, pendidik kami juga akan mengembangkan kaedah yang boleh mereka gunakan untuk melibatkan kelas mereka, kerana pelajar yang berbeza mempunyai latar belakang dan keperluan yang berbeza. Ini adalah perkara-perkara yang akan terus berkembang.

Soalan: Apakah langkah yang diambil MOE untuk melengkapkan guru-guru dengan lebih baik bagi mata pelajaran tersebut? Memandangkan mereka berada di barisan hadapan dalam hal ini.


Jawapan: Ini merupakan satu perbualan yang sangat penting dan menarik yang saya ada dengan guru-guru dan pengetua sebelum kami memulakan perjalanan ini.

Saya bertanya kepada mereka “Adakah anda yakin untuk melakukan ini memandangkan cabaran yang hadir?” Dan mereka sangat terbuka dengan saya bahawa memang mereka memahami cabaran yang ada, tetapi mereka juga memahami kepentingan mengapa kita perlu melakukan ini dan mengapa kita perlu melakukan ini untuk anak-anak kita yang lebih muda atas sebab-sebab yang telah saya nyatakan.

Jadi antara perkara yang sangat penting ialah kami perlu melengkapkan guru kami dengan baik. Kami perlu memberi mereka bahan untuk menyokong mereka. Kita juga perlu memberi mereka pengalaman agar mereka dapat menjalankan mata pelajaran sedemikian dengan baik.

Itulah sebabnya sebelum mereka mengendalikan mata pelajaran dan perbualan serta perbincangan di dalam bilik darjah, kami membincangkannya dalam kalangan kami sendiri. (Sesi) itu sendiri, boleh dikatakan, adalah satu sesi untuk kami memahami cabaran dalam menyampaikan perkara (mata pelajaran) ini walaupun dalam kalangan kami sendiri. Itulah sebabnya saya sendiri, Dr Maliki (Dr Mohamad Maliki Osman, Menteri Kedua Pendidikan) kami mengadakan perbincangan dengan mereka. Itu tahap pertama.

Selepas itu, kami menyampaikannya ke sekolah-sekolah, di mana pemimpin sekolah, bersama kakitangan mereka, juga akan mengadakan perbincangan mengenai bagaimana mereka boleh melaksanakan (pengajaran) ini dalam konteks untuk sekolah mereka.

Di sini juga di mana Cawangan Pendidikan Perwatakan dan Kewarganegaraan MOE juga akan menyokong mereka, sekiranya perlu, untuk mengkonfigurasi pasukan untuk melaksanakannya.

Kami tidak boleh melakukannya sendirian. Kami memerlukan (beberapa) pasukan untuk melaksanakan (pengajaran) ini sebelum kami melaksanakannya secara progresif dengan pelajar.

Jadi terdapat kaedah dalam penyampaian maklumat, maklumat dikongsi, dan pengalaman yang diperoleh dan dibina di kala kami terus melancarkan kurikulum (ini). Beginilah cara pengajaran CCE biasanya dijalankan, kerana CCE adalah subjek mengenai hal yang masih berlaku. Ia tidak seperti Matematik atau Sains, yang mungkin lebih statik dari segi bahan-bahannya.

Soalan: Topik khas ini lebih mencabar kerana ia masih berubah dan ia berubah dengan begitu pesat. Seperti yang anda katakan, anda sedang mengemas kini bahan-bahan kurikulum anda secara beransur-ansur dalam tempoh dua hingga tiga bulan. Jadi anda harus sentiasa kenal pasti dan sedia maklum terhadap perkembangan (yang berlaku). Kedua, ibu bapa dan masyarakat umum, terutamanya ibu bapa yang mempunyai anak-anak kecil di sekolah, mereka terkait secara emosi dalam topik ini. Dan itu membuatnya lebih sukar bagi anda melaksanakan mata pelajaran ini dengan jayanya.


Jawapan: Kurikulum dan pengajaran CCE kami tidak bergantung hanya sebagai penerangan lisan tentang peristiwa yang terus berlaku kerana kami tidak mengajar sejarah atau hal ehwal semasa.

Tetapi kami ingin mengupas dari situasi tersebut apa maklumat  yang harus diketahui oleh pelajar kami. Sebagai contoh, bagi pelajar sekolah rendah, mereka tahu bahawa konflik telah bermula. Mereka mungkin tidak menyedari kejadian terbaru yang berlaku pada hari-hari sebelumnya, tetapi mereka perlu bergelut dengan emosi (mereka).

Dan emosi sedemikian mungkin tidak bergantung pada apa yang berlaku pada hari-hari sebelumnya. Begitu juga dengan pelajar yang lebih matang, kami menggalakkan mereka untuk mengesahkan fakta mereka bagi menyemai tabiat itu, baca daripada pelbagai sumber untuk mendapatkan penghayatan yang lebih luas tentang isu tersebut. Hal sedemikian, sekali lagi, tidak bergantung kepada kejadian harian.

Salah satu perkara yang kami benar-benar ingin pelajar hayati adalah kepelbagaian perspektif. Oleh kerana dalam masyarakat kita yang berbilang kaum, kita ada masyarakat Melayu/Islam, masyarakat Yahudi, Kristian, Buddha. Kita ada orang tua dan orang muda. Individu daripada latar belakang berbeza.

Dan salah satu pengajaran penting, ialah bagaimana kita menghargai kepelbagaian perspektif dan mengadakan perbualan secara hormat antara satu sama lain. Ini melangkaui kejadian harian, sama ada konflik Russia-Ukraine, atau konflik Israel-Hamas. Bagi setiap isu, terdapat kepelbagaian perspektif, terutamanya apabila rakyat kita terhubung kait kepada dunia dengan Internet.

Ini adalah pengajaran peringkat tinggi, keupayaan peringkat tinggi yang kami mahu pelajar kuasai – belajar cara menghargai kepelbagaian secara hormat, belajar cara mengesahkan maklumat, belajar cara menangani emosi sendiri, belajar cara mengekalkan perpaduan sosial, di tengah-tengah cabaran (masa kini).

Jadi, kita mungkin mempunyai persoalan, mengapakah slaid (yang ditunjukkan) tidak merangkumi aspek ini? Mungkin tidak perlu untuk sampaikan semua perkara itu kerana ini bukanlah pelajaran sejarah. Ia adalah untuk mengambil iktibar daripada pelbagai perkara yang berlaku dan bertanya kepada diri sendiri “Apakah yang boleh kita lakukan?”. Kami harus jelas apa yang mahu kami kecapi.

Soalan: Adakah kemas kini tertumpu pada jangka masa yg ditetapkan iaitu Oktober hingga Disember 2023, atau turut meliputi rangka masa sebelum 7 Oktober untuk memberikan konteks kepada konflik ini?


Jawapan: Sebenarnya, demikian itu telah pun kita lakukan. Saya rasa anda mungkin telah melihat satu slaid yang mengatakan bahawa peristiwa yang telah berlaku sejak 7 Oktober, tetapi dalam dek slaid yang sama, beberapa slaid sebelum itu menceritakan sejarah yang kompleks dan ganas di sebalik konflik ini.

Dan untuk rujukan guru-guru, terdapat juga bahan yang mendalam untuk menggalakkan pelajar yang lebih berusia membaca dan memahami konflik ini secara terperinci. Jadi ini sudah wujud.

Jadi saya boleh faham, sesetengah orang mungkin salah faham dan mengatakan bahawa kita hanya mengetengahkan isu dari 7 Oktober dan seterusnya, kerana pendirian kami adalah sangat jelas. Ia adalah panjang, ia adalah konflik dengan sejarah yang panjang. Dan banyak perkara yang berlaku sebelum ini. Perkara yang lebih terkini yang perlu kami kemas kini atas sebab yang anda nyatakan.

Soalan: Bagaimanakah anda akan menangani kebimbangan guru yang berasa bercanggah, bahawa ini bertentangan dengan kepercayaan peribadi mereka?


Jawapan: Sememangnya, ini juga topik perbualan yang telah muncul dalam sesi perbincangan secara tutup kami sendiri. Kami memahami bahawa setiap guru mungkin mempunyai keprihatinan berbeza dan ini bukan sahaja buat masyarakat Melayu/Islam. Ia juga boleh menjejas masyarakat Yahudi, masyarakat Kristian atau mana-mana orang lain dengan kepercayaan berbeza, atau daripada latar belakang yang berbeza.


Oleh itu, pemimpin sekolah kita akan memudahkan proses secara sistematik dengan membentuk pasukan yang mampu menyampaikan kelas-kelas ini. Kami berusaha untuk memastikan bahawa kami membantu sekolah membentuk pasukan untuk menyampaikannya sebagai satu pasukan dan bukannya sebagai individu.


Soalan: Adakah MOE mempertimbangkan pilihan untuk ibu bapa yang tidak berasa selesa bahawa anak-anak mereka mengambil bahagian dalam kelas CCE?


Jawapan: Saya rasa kita perlu kembali kepada apa tujuan kelas CCE. Seperti yang saya nyatakan, kelas CCE sebenarnya bukan kelas sejarah. Ia juga tidak bertujuan menjadi kelas untuk menilai pasti siapa yang betul atau salah pada tempoh sejarah mana. Jika kita melihat kelas CCE, seperti yang telah kita sebutkan, kita cuba menggalakkan keharmonian sosial yang saling memahami, saya fikir kita mahu semua pelajar kita dapat menghargai ini. Dan jika kita mendekatinya daripada perspektif ini, maka kita dapat memahami kepentingan menerapkan nilai-nilai tersebut kepada pelajar kita. Ia tidak khususnya berkenaan isu, ia bukan khususnya berkenaan konflik. Ia adalah satu set nilai tentang cara kita bekerja bersama-sama dengan orang daripada pelbagai latar belakang untuk menggalakkan keharmonian dan perpaduan sosial kita, cara kita bekerjasama untuk mengesahkan fakta, cara kita bekerja bersama-sama, yang pada akhirnya, walaupun kita mempunyai pendapat yang berbeza perspektif, kita boleh berbincang secara hormat. Jadi saya benar-benar ingin menekankan bahawa ia bukan sahaja mengenai isu ini, ia adalah pelbagai isu. Tetapi set kemahiran ini yang kami harap dapat diterapkan melalui CCE tidak akan berubah. Isu ini mungkin berubah, tetapi nilai asas dan perspektif yang kami harapkan pelajar kami akan harapkan dalam masyarakat berbilang kaum, agama, saya fikir ia tetap memihak.


Soalan: Sejak awal lagi, MOE, kakitangan kanan anda, menyedari cabaran yang anda hadapi dalam memilih topik ini untuk CCE. Dan melihat reaksi buruk daripada orang ramai… adakah anda menjangkakan reaksi daripada orang ramai? Dan apakah antara pengajaran yang anda lihat daripada permulaan hingga penyampaian kelas CCE ini?


Jawapan: Sama ada isu ini atau konflik Russia-Ukraine, setiap kali ia melibatkan CCE, kami menjangkakan sepenuhnya bahawa akan ada isu yang akan menimbulkan reaksi berbeza daripada pelbagai orang. Ia boleh menjadi isu dari segi tahapnya, ia boleh dengan cara yang berbeza. Oleh itu, saya fikir kita sudah bersedia dari segi mental untuk perkara ini. Semasa perbincangan dalaman kita sendiri bersama pengetua dan guru-guru kita – mereka juga mempunyai kepercayaan dan pandangan peribadi mereka sendiri – tetapi saya fikir apa yang telah kita persetujui ialah kita semua juga berkongsi objektif yang sama untuk membina etos bersama tentang cara kita memberi respons sebagai rakyat Singapura bukan sahaja berhubung konflik ini, malah mungkin kepada isu-isu lain dengan rasa perpaduan tentang bagaimana kita boleh bersatu dan fokus pada persamaan dalam kalangan kita, dan bukannya membiarkan perbezaan kita memecahbelahkan kita. Membina atas kepelbagaian itu, dan kemudian kembangkan ia kepada sesuatu yang indah, sesuatu yang dikongsi bersama bagi kita semua.


Kemudian mungkin tersirat dalam soalan anda juga: Bagaimana pula dengan masanya? Kami juga membincangkan perkara ini secara terperinci. Haruskah kita menangguhkan perkara ini, dan jangan membincangkannya sehingga lama kemudian? Tetapi jika kita melakukan itu, kita juga akan menghadapi cabaran lain, kerana tidak pernah ada masa di mana sejarah berhenti berkembang, dan adalah masa yang sesuai untuk kami melakukan ini. Tetapi sebaliknya, rakyat kita di Singapura, termasuk anak-anak kita, sedang dibanjiri dengan semua maklumat ini dan semua cabaran ini sedang kita bercakap. Oleh itu, semakin lama kita melengahkan perkara ini, terdapat implikasinya.


Itulah sebabnya kita perlu berterus terang – bahawa kita memahami cabarannya, kita akan melakukan yang terbaik untuk mengurangkan cabaran itu sebagai satu pasukan. Kami menyedari sepenuhnya bahawa cabarannya tidak mudah diatasi. Kami memahami misinya – kami akan terus mengembangkan bahan-bahan pelajaran kami dan pengajaran kami untuk mendekati kumpulan pelajar yang berbeza. Ini adalah sesuatu yang tidak mudah untuk dilakukan.


Saya mesti memberi penghargaan kepada para pendidik kerana tegas dalam keyakinan mereka untuk memahami keperluan lebih besar mengapa kita perlu melakukan perkara ini, walaupun mereka menghadapi cabaran dan mempunyai pandangan peribadi mereka sendiri tentang beberapa isu, dan untuk berdiri bersama sebagai satu badan profesional untuk membantu membimbing anak-anak kita dalam persekitaran yang amat mencabar ini.


EMPAT MATLAMAT PENDIDIKAN PERWATAKAN DAN KEWARGANEGARAAN (CCE)


  • Bantu murid fahami emosi mereka dan bersikap empati terhadap orang lain
  • Pelihara perpaduan dan keharmonian Singapura
  • Semak sumber maklumat dan berkongsi secara bertanggungjawab
  • Fahami dan hormati pelbagai perspektif berbeza



Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >