Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

Dermasiswa AMP jadi pendorong pelajar memerlukan terus cemerlang

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

AMP SINGAPURA

Dermasiswa AMP jadi pendorong pelajar memerlukan terus cemerlang

Mar 12, 2024 | 05:31 AM



Cik Sia Jingyun Erna Sharida ialah penerima Dermasiswa Pendidikan AMP Singapura bagi 2014 dan 2015.

Baginya, dermasiswa yang diterima daripada AMP itu merupakan batu loncatan yang membolehkan dirinya ‘terbang tinggi’ dan mencapai cita-citanya.

Lulusan Sarjana Muda Sastera dalam bidang Psikologi dari Universiti Buffalo di New York, Amerika Syarikat pada 2016 itu telah melalui pembelajaran di SIM Global Education.

Cik Erna, 32 tahun, kini bertugas sebagai Penolong Kanan Penyelidik di Institut Pendidikan Nasional (NIE).

Sebelum ini, anak sulung tiga beradik itu mengikuti pengajian Hortikultur dan Landskap di Politeknik Ngee Ann dan memberi tuisyen bagi menampung perbelanjaan hariannya.

Beliau mendapat sekitar $390 sebulan daripada kelas tuisyen yang dikendalikan.

Bapanya meninggal dunia pada 2005 akibat pendarahan di bahagian otak kiri, dan sebelum ini, ibunya, Cik Suriya Hidayati Mopim, 57 tahun, menjadi pencari nafkah utama keluarga mereka.

Namun buat sementara waktu ini, ibunya berehat daripada bekerja sepenuh masa.

Adik Cik Erna, Cik Sia Jingsiew Erni Sharida, sudah mula bekerja sementara adik bongsunya, Sia Jingmay Erlisa Sharida, pula masih menuntut dalam tahun ketiga di Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

Meskipun membesar tanpa ayah di sisi, Cik Erna, ibu dan adik-adiknya tetap teguh dan tekun belajar.

Cik Suriya mula bekerja pada 2008 kerana perlu menampung ketiga-tiga anaknya yang masih kecil ketika itu, di samping gigih menjalani kursus baru untuk meningkatkan kemahiran dirinya.

Keluarga Cik Erna turut bersyukur kerana mendapat sokongan padu dan bantuan daripada anggota keluarga yang lain. Mereka amat prihatin dan keluarga Cik Erna menerima sumbangan kewangan daripada mereka secara tetap.

Menyingkap jerih payah yang dilalui keluarganya, Cik Erna berkata ibunya adalah orang yang paling terjejas dengan pemergian ayah.

Ketika itu, Cik Erna berada di Menengah 1 dan beliau berhasrat ingin membantu keluarganya.

Namun, ibunya bertekad mahu melihat ketiga-tiga anaknya memberikan tumpuan penuh pada pelajaran agar dapat mencatat kejayaan yang cemerlang.

Anak-anak itu memohon dermasiswa dari peringkat sekolah menengah hingga ke universiti.

“Ibu mahu kami fokus pada pelajaran, dan ibu tidak pernah meminta saya keluar bekerja (sambilan). Ibu benar-benar mahu memastikan kami lulus sekolah dengan baik,” katanya dengan nada sebak.

“Bagi membiayai sebahagian daripada perbelanjaan keluarga, ibu saya mula bekerja secara sambilan pada 2008 dan menjadi pembantu guru di sebuah tadika.

“Bermula dari situ, beliau berjaya mendapatkan pekerjaan sepenuh masa dan menjadi pendidik-pengasuh bayi, atau ‘infant educarer’.

“Ibu perlu menjalani dan mengambil pelbagai kursus untuk meraih kemahiran baru dan terus meningkatkan dirinya.

“Dengan kemahiran baru yang diraih ibu, beliau berjaya mendapat gaji yang lebih tinggi, berbanding $600 hingga $700 sebelum ini.

“Kami sekeluarga juga berterima kasih kerana saudara-mara dan ahli keluarga lain sering membantu kami dalam mengatasi masalah kewangan selepas pemergian bapa kami,” jelas Cik Erna, yang kini telah berumah tangga.

Mengenai kelebihan dermasiswa yang diterima daripada AMP, Cik Erna memberitahu Berita Harian:


“Dermasiswa Pendidikan AMP yang saya terima ini telah melengkapkan perjalanan pembelajaran saya ketika di universiti, terutamanya dalam perihal pembelian buku teks dan keperluan pelajaran lain.

“Saya ingin meringankan beban kewangan ibu saya, meskipun sedang melanjutkan pelajaran ke menara gading waktu itu.

“Alhamdulillah, dengan pemberian dermasiswa daripada AMP ini, ia sungguh bermakna buat kami sekeluarga.

“Tidak semua daripada kita lahir dalam keluarga yang mewah dan berada, jadi pemberian dermasiswa daripada AMP ini, mampu memberi laluan dan merealisasikan impian seseorang untuk melangkah jauh ke hadapan, khususnya dalam pelajaran.

“Insya-Allah, jika satu hari nanti apabila kita sudah berada pada tahap yang lebih baik lagi, kita juga boleh menyumbang kembali kepada masyarakat dan membawa perubahan kepada orang lain pula.”

JADI RELAWAN DAN PERTINGKAT DIRI

Meskipun mahir dalam bidang penyelidikan, Cik Erna tetap meluangkan masa bersama kanak-kanak, lantas pernah menjadi relawan dan membantu badan kebajikan setempat.

Antaranya, beliau terlibat bersama The Widaad Project (TWP) dari 2017 hingga 2019; Rumah Anak Yatim Darul Ihsan 2017 hingga 2018; dan kini bersama Komuniti Majulah secara ad hoc.


Namun kini, kerana kesempitan waktu, beliau lebih menumpukan lebih banyak masanya pada pekerjaan dan keluarganya.

Memandang ke hadapan, Cik Erna berhasrat melanjutkan pelajarannya ke tahap yang lebih tinggi.

“Fokus saya sekarang adalah mahu lebih mengasah kemahiran dan memajukan kerjaya saya.

“Saya ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana, dan masih mencari-cari program yang sesuai dan cara terbaik untuk membiayainya,” tambah Cik Erna.

Untuk maklumat lanjut tentang Dermasiswa Pendidikan AMP dan program lain yang disediakan, anda boleh melungsuri laman web www.amp.org.sg

Jika anda ingin membantu pelajar seperti Cik Erna ataupun golongan memerlukan yang disokong oleh AMP, sila lungsuri laman ampdonate.sg atau hubungi talian 6416-3966 untuk perincian selanjutnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >