Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

Dilatih SPF, nenek jadikan misi bantu warga emas kekal selamat dalam talian

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Dilatih SPF, nenek jadikan misi bantu warga emas kekal selamat dalam talian

Nenek berusia 64 tahun seronok pelajari kemahiran, kongsi dengan warga emas lain menerusi kerja sukarela
Mar 31, 2024 | 05:30 AM



Cik Esah Ali merupakan seorang celik digital. Pada usia 64 tahun, beliau melayari wadah media sosial seperti Facebook dan TikTok dengan mudah. Beliau mengambil tahu tentang alat-alat kecerdasan buatan (AI) generatif seperti ChatGPT dan juga mengendalikan kelas videografi.

Namun, walaupun beliau mahir mengemudi dunia digital, beliau hampir terjerumus dalam perangkap seorang penipu sekitar empat tahun lalu.

“Saya mendapat panggilan daripada seseorang yang mendakwa dirinya sebagai pegawai imigresen dan beliau mengatakan bahawa saya mempunyai satu hadiah dari luar negara yang ditahan oleh pejabat imigresen. Saya diarah membayar sejumlah wang untuk menerima hadiah itu tetapi apabila beliau mula tawar-menawar dengan saya, saya sedar ia adalah satu penipuan kerana bagaimana anda boleh berunding tentang kos perkara sedemikian?” kata Cik Esah sambil mengimbas peristiwa itu.

Dengan penipuan yang semakin berleluasa kini, Cik Esah memutuskan untuk membantu orang lain kekal selamat. Beliau turut serta dalam Projek PRAISE apabila ia dilancarkan pada 2022.

Projek PRAISE, iaitu singkatan bagi Police-RSVP Anti-Scam Engagement, yang bertujuan mencegah golongan warga emas daripada menjadi mangsa penipuan, adalah satu kerjasama antara Pasukan Polis Singapura (SPF) bagi Divisyen Ang Mo Kio dan RSVP Singapore, Pusat Kecemerlangan Kebangsaan bagi Kesukarelawanan Kanan.

Malah, Cik Esah telah bermula menyumbang bakti sebagai relawan bersama RSVP Singapura semenjak sebelum pandemik Covid-19 lagi, tetapi beliau menjadi lebih aktif pada 2022.

Pertubuhan tidak mengaup keuntungan itu melibatkan warga emas dalam kegiatan kesukarelawanan dan Projek PRAISE adalah usaha bersama SPF untuk memastikan masyarakat selamat daripada penipuan.

Pada 2023, terdapat melebihi 46,000 kes penipuan yang menyebabkan jumlah kerugian melebihi $650 juta di Singapura dan jumlah itu hanya merangkumi kes penipuan yang dilaporkan.

Sesiapa sahaja boleh jadi mangsa penipuan

Sebagai penyokong cegah penipuan, Cik Esah sentiasa mengikuti sesi latihan anjuran polis dan Google.

Beliau telah menyampaikan ceramah kepada beberapa kumpulan kecil yang terdiri daripada 15 hingga 50 orang, dan berusia antara 40 tahun dengan 70 tahun, di masjid, pusat kegiatan dan pusat masyarakat dengan menggunakan slaid yang disediakan oleh pihak polis.

Matlamat ceramah tersebut adalah untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan warga emas tentang pelbagai jenis penipuan, dan bagaimana ia boleh menghabiskan simpanan hayat mereka. Penglibatan Cik Esah dalam ceramah-ceramah tersebut juga telah membuat beliau sentiasa berwaspada.

Beliau berkata ramai orang berpendapat yang mereka tidak akan ditipu. “Ia bukan kerana mereka tamak tetapi adanya godaannya. Mereka berpendapat bahawa penipuan tidak akan terjadi kepada mereka tetapi orang yang celik IT juga pernah ditipu,” katanya.

Cik Esah menambah, oleh sebab generasi warga emas sering menjadi sasaran penipu, mereka perlu kekal berwaspada “dalam dunia IT yang semakin meningkat”.

Beliau menambah: “Dahulu, jika orang minta anda wang, anda tidak akan berikan. Tetapi, sekarang dengan peralatan teknologi maklumat (IT), anda beri maklumat peribadi anda dengan mudah dan ia seperti memberi wang, sesuatu yang anda tidak akan lakukan secara bersemuka.”

Oleh itu, semasa ceramahnya, beliau selalu menasihati warga emas agar tidak mudah berkongsi maklumat peribadi di dalam talian atau melalui telefon. Juga, jika mereka nampak pautan dalam mesej telefon mereka, mereka tidak seharusnya klik atau mengimbas kod QR itu.

“Anda perlu tahu kepada siapa anda buat bayaran. Jangan bersikap sambil lewa, walaupun jika ia derma,” kata Cik Esah.

Seorang relawan dan pelajar sepanjang hayat

Cik Esah telah menjadi seorang sukarelawan sejak di bangku sekolah lagi.

Ibu empat anak dan enam cucu, kehilangan anak perempuan bongsunya sekitar dua setengah tahun lalu. Beliau menjaga tiga anak kecilnya sekarang. Sebagai penjaga mereka, beliau mahu menyumbang kembali kepada masyarakat sebanyak mungkin kerana anggota masyarakat telah banyak membantunya pada saat kesukarannya. Beliau juga mahu menunjukkan kepada cucu-cucunya bahawa jika ada kemahuan, mesti ada jalan.

Saya mahu mereka tahu bahawa tidak kira betapa susahnya  kehidupan, kita mesti sentiasa menghadapinya dengan positif. Hidup ini bukan hanya tentang diri kita sendiri atau wang semata-mata. Itu sebabnya, walaupun saya sibuk bekerja dan menjaga mereka, saya meluangkan masa untuk melibatkan diri dengan masyarakat,” kata Cik Esah.

Keluarga Cik Esah gembira melihatnya sentiasa aktif dan terlibat dengan masyarakat kerana ia membolehkan beliau meluaskan rangkaian sosialnya dan berkongsi pengetahuan dan pengalamannya.

“Sudah berusia tidak bermakna anda benar-benar tua. Saya tidak sekadar duduk dan tidak buat apa-apa. Saya suka belajar dan menimba ilmu lalu berkongsinya dengan orang lain,” kata Cik Esah.

Walaupun beliau sudah memiliki dua diploma, ijazah dalam pentadbiran perniagaan dan sarjana dalam pendidikan, latihan dan pembangunan, Cik Esah gemar belajar sepanjang hayat. Semasa pandemik, beliau menggunakan semua kredit SkillsFuture untuk mempertingkatkan kemahiran dan melanjutkan pengajian dan minatnya.

Mengenai cara beliau mencari masa dan tenaga untuk melakukan pelbagai perkara pada usianya, beliau berkata ia adalah soal bagaimana anda menguruskan masa anda.

Beliau menambah bahawa warga emas sepertinya boleh kekal aktif dengan menjadi sukarelawan – bukan sahaja ia buat anda sibuk, ia juga membantu anda menyumbang kembali kepada masyarakat.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >