Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

Kabinet hargai kepimpinan PM Lee, sokong penuh dan yakin pada DPM Wong

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Kabinet hargai kepimpinan PM Lee, sokong penuh dan yakin pada DPM Wong

Apr 15, 2024 | 07:35 PM



Beberapa menteri Kabinet melahirkan penghargaan mereka terhadap kepimpinan jitu Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, sepanjang dua dekad lalu.

Tidak kurang pujian mereka terhadap bakti yang ditaburkan Encik Lee, 72 tahun, dalam menerajui Singapura sepanjang 20 tahun lalu.

Selain berkongsi pengalaman masing-masing bertugas di samping Encik Lee, mereka melahirkan rasa optimis terhadap keupayaan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, yang bakal mengambil alih tampuk kepimpinan daripada Encik Lee pada 15 Mei.

Sepanjang dua dekad kepimpinannya, Encik Lee memimpin Singapura dengan “kebijaksanaan yang tenang dan tangan yang mantap”, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat.

Beliau, yang juga Menteri Penyelaras bagi Dasar Ekonomi, berkata sepanjang 20 tahun lalu, negara ini terpaksa mengharungi pelbagai episod ketidaktentuan – daripada Krisis Kewangan Sejagat kepada pandemik Covid-19 dan sekitaran geopolitik yang semakin berpecah belah hari ini.

“Di bawah kepimpinan PM, kami mengambil berat terhadap warga Singapura sambil membuat pelaburan dan membina keupayaan untuk meletakkan Singapura di kedudukan baik untuk masa depan.

“Hari ini, Singapura menonjol sebagai mercu tanda keterbukaan dan kerjasama di tengah-tengah persekitaran sejagat yang lebih suka memencilkan diri.

“Pada masa masyarakat semakin berpecah belah, warga Singapura terus optimis tentang masa depan dan bersatu untuk membesarkan ruang bersama kita dan membina masyarakat bersatu padu,” kata Encik Heng.

Beliau menzahirkan rasa terima kasih mendapat bimbingan daripada Encik Lee serta meraih manfaat daripada kebijaksanaannya sepanjang sedekad lalu.

Ini lebih-lebih lagi semasa krisis Covid-19 apabila pemerintah perlu membuat keputusan untuk mendapatkan persetujuan Presiden bagi menggunakan rizab lalu negara.

“Ia sentiasa mengingatkan saya tentang tanggungjawab kita untuk menjaga Singapura dengan baik untuk generasi akan datang dan memastikan Singapura bersinar lama pada masa yang akan datang.

“Terima kasih, PM, atas dedikasi dan perkhidmatan anda yang tidak mementingkan diri sendiri,” tulis Encik Heng dalam hantarannya di media sosial.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Encik Wong, sambil menambah bahawa Encik Wong, 51 tahun, mempunyai “sokongan penuh”nya.

Sementara itu, Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, menyifatkan Encik Lee sebagai “penaja kuat saya dan juara bagi dasar seperti visi 30 menjelang 30, Cukai Karbon dan Sisa Sifar”.

“Beliau juga menyokong pelan induk prasarana air kami, matlamat sifar bersih 2050 dan Rancangan Hijau Singapura, dengan memberi kami sumber yang diperlukan,” tambahnya.

Cik Fu, yang memegang jawatannya kini setelah Pilihan Raya Umum 2020, berkata beliau telah banyak meraih manfaat daripada kewibawaan Encik Lee dan muhibah yang telah dipupuknya di seluruh dunia.

“Di bawah kepimpinannya, Singapura dikenali di seluruh dunia sebagai rakan kongsi neutral, berfikiran bebas dan boleh dipercayai akan menunaikan janjinya.

“Reputasi ini amat berharga dan telah sangat membantu saya dalam memajukan keinginan Singapura di wadah antarabangsa.

“Beliau telah membolehkan kami mempunyai pengaruh atau keupayaan melebihi jangkaan kami, seperti yang sering digambarkannya,” ujar Cik Fu.

Beliau turut memuji Encik Lee sebagai “mentor dan pemimpin hebat dalam kerjaya politik”nya.

“Selain berinteraksi dengan beliau sebagai bos, saya juga akan menghargai detik-detik beliau berkongsi tentang kehidupan hariannya, seperti keluar berjalan-jalan bersama cucu-cucunya, rekaan baju terbaru Hari Kebangsaannya dan perkongsian interaksinya bersama warga.

“Sepanjang tahun-tahun ini, saya telah menyaksikan empati, keadilan dan kewibawaan PM Lee di tempat kerja,” tambahnya.

Menteri Perhubungan dan Penerangan merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Cik Josephine Teo, pula berkata, seperti dua Perdana Menteri sebelumnya, iaitu mendiang Encik Lee Kuan Yew dan Encik Goh Chok Tong, Encik Lee juga seorang pemimpin “luar biasa” yang telah “mencurahkan hati dan jiwa mereka untuk berkhidmat kepada warga Singapura dan menjadikan Singapura tempat yang lebih baik”.

Berkongsi pengalaman peribadinya bekerja dengan Encik Lee selama ini, Cik Teo berkata pemahaman Encik Lee tentang matematik, ekonomi, sains dan teknologi sering mengejutkan pengunjung ke Singapura.

“Ia membantu pengunjung melihat bahawa kita adalah negara yang berfikiran serius, komited pada semua peringkat untuk memahami isu yang mendalam dan tidak cenderung mengikut trend.

“Ia juga membantu pelabur apabila mengambil pertaruhan yang serius dengan wang mereka, kerana mereka tahu Singapura tidak mengambil mudah sebarang perkara, tetapi akan menganggap setiap sesuatu itu penting,” ujar Cik Teo.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada DPM Wong kerana sanggup menggalas tanggungjawab memimpin negara pada tahun-tahun akan datang.

Dalam pada itu, Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, berkongsi bahawa PM Lee “sangat percaya bahawa kita mesti mewariskan kepada anak-anak kita sebuah Singapura yang lebih baik daripada yang kita warisi dan menggesa kita supaya tidak berhenti membayangkan semula dan membina Singapura yang dialu-alukan generasi akan datang”.

“Ini menyokong langkah perancangan guna tanah jangka panjang berani yang telah kami lakukan dalam beberapa tahun kebelakangan ini – termasuk pembangunan Paya Lebar, Daerah Tasik Jurong, Greater Southern Waterfront, Pelabuhan Tuas, Terminal 5 Lapangan Terbang Changi, serta Long Island – semangat memandang ke hadapan ini memberi inspirasi kepada kita semua untuk terus merancang dan membina Singapura yang lebih bertenaga, boleh didiami, mampan dan berdaya tahan dari hari ini,” kata Encik Lee.

Beliau menambah bahawa Singapura di bawah kepimpinan DPM Wong akan dibangunkan pada asas kukuh yang telah diletakkan Encik Lee dan akan menyambung legasinya mencipta masyarakat terangkum bagi generasi sekarang dan akan datang.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >