Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18

Kesabaran teras kejayaan bagi pelukis berus angin

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Kesabaran teras kejayaan bagi pelukis berus angin

Jan 16, 2024 | 05:30 PM



Kesabaran adalah nilai murni yang sudah sebati dalam diri Encik Muhammad Dzulkhairi Karsani.

Apa tidaknya, kerjaya Encik Dzulkhairi, yang lebih mesra dengan panggilan ‘Bart’, sebagai pelukis yang menggunakan berus angin atau airbrushing memerlukan tahap ketelitian dan kesabaran tinggi.


Bapa seorang anak berusia 40 tahun itu berkongsi dengan Berita Harian (BH) bahawa beliau sudah berkecimpung dalam bidang tersebut selama hampir 20 tahun.


Beliau mula berjinak-jinak dengan seni lukis menggunakan berus angin itu sekitar 2004 sebagai hobi.

Menurut Encik Dzulkhairi, pada waktu itu, beliau sekadar membuat rekaan pada topi keledar rakan-rakan yang menunggang motosikal dan hasil karya itu dibuat di bawah bloknya.

Dari situ, rakan beliau menyarankan beliau supaya mendalami seni lukis berus angin menggunakan penyembur secara serius.

Pengasas TBRN Designs – perkhidmatan penyesuaian melalui semburan berus angin yang dimulakan beliau pada 2021 – itu menjelaskan:

“Saya banyak belajar sendiri, sehinggakan saya ke perpustakaan untuk mendapatkan buku perihal menyembur berus angin.

“Boleh katakan minat ini membentuk jati diri saya pada hari ini kerana sebahagian daripada pelanggan saya menjadi rakan baik… di samping memupuk nilai kesabaran dalam diri.”

Ini setelah menurutnya, sekiranya ada sebarang kesilapan atau cacat-cela pada karya, seluruh karya itu perlu disembur semula.

Berkat kesabaran dan kecekalan ini, beliau meraih anugerah ‘Wicked Wallop Mooneyes Pick’ – anugerah yang mengiktiraf kecemerlangan dalam hasil karya lukisan tersuai pada kenderaan – bagi hasil karya pada motosikal dalam satu pameran kenderaan pada awal Januari.

Ini kali kedua berturut-turut hasil karya beliau diiktiraf susulan anugerah ‘Best Paint Bicycle Wicked Wallop’ (Hasil Cat Basikal Terbaik) pada 2023.

“Terus terang saya memang menjangka meraih sesuatu tetapi tak sangka pula menang anugerah ulung.

“Anugerah sedemikian adalah sebagai pengiktirafan atas hasil kerja saya yang baik, lebih-lebih lagi saya dipilih oleh barisan panelis dari Jepun yang menitik beratkan ketelitian,” ujarnya.

Beliau menambah, sebelum memutuskan bagi membuka perniagaan sendiri secara sepenuh masa, beliau merupakan seorang penjawat awam selama 11 tahun dan sekadar mengambil projek-projek lukisan secara bebas.

Ini memerlukan beliau mengimbangi masa antara kerjaya sepenuh masa dan projek yang diambilnya, yang ada kalanya memerlukan tempoh lebih lama untuk disiapkan.

“Saya perlu imbangi kerja sebelum ini dengan projek sembur berus angin yang saya buat jadi ada kalanya, saya rasa ia terlalu memenatkan.

“Saya buat keputusan untuk buka syarikat sendiri kerana saya sedar aktiviti sembur berus angin membuat saya bahagia,” tambah Encik Dzulkhairi.

Beliau berkata sungguhpun sudah hampir 20 tahun mengendali penyembur angin secara profesional, masih banyak lagi yang boleh diperbaiki – baik dari segi teknik mahupun teknologi sembur berus angin yang sentiasa berkembang.

“Perkhidmatan yang baik boleh dilihat daripada kesudahan hasil karya. Oleh itu di sebalik kemahiran asas yang sememangnya diperlukan, sama penting untuk saya kekal maklum dengan teknologi untuk berikan yang terbaik bagi pelanggan,” ujar beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >