Mantan Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI), Laksamana Yudo Margono, telah menerima anugerah ketenteraan berprestij tertinggi Singapura daripada Presiden Tharman Shanmugaratnam di Istana pada 30 Januari.
Laksamana Yudo dianugerahkan Darjah Utama Bakti Cemerlang (Tentera) atas sumbangan besarnya dalam mengukuhkan hubungan pertahanan yang erat antara Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dengan TNI.
Selain itu, beliau menyokong rondaan yang diselaraskan secara dua hala antara Tentera Laut Indonesia dengan Singapura bagi meningkatkan keselamatan maritim, serta meningkatkan kerjasama antara kededua angkatan tentera dalam rangka kerja pelbagai hala yang menyumbang kepada keamanan dan kestabilan rantau ini.
Selepas menerima anugerah tersebut, Laksamana Yudo, yang berada di Singapura dari 29 hingga 31 Januari, turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen; dan Panglima Pasukan Pertahanan, Laksamana Madya (VADM) Aaron Beng, di Istana untuk mengesahkan lagi hubungan pertahanan dua hala yang erat dan terjalin lama antara Indonesia dengan Singapura.