Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

NTUC mahu lakukan lebih bagi golongan PME yang bentuk 45% keahlian

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

NTUC mahu lakukan lebih bagi golongan PME yang bentuk 45% keahlian

Apr 25, 2024 | 06:03 PM



Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) akan terus meningkatkan usahanya menyokong golongan karyawan, pengurus dan eksekutif (PME) yang kini membentuk 45 peratus keahliannya.

Berkata demikian dalam satu sesi media sebelum Hari Pekerja, Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng, menekankan usaha kesatuan tersebut membantu PME terutama dalam hal berkaitan keadilan dan perlindungan di tempat kerja, kemajuan kerjaya dan penempatan pekerjaan.

“Dalam hal penempatan pekerjaan, kami telah menarik jenis PME yang lebih luas termasuk penasihat ekuiti, seorang Ketua Pegawai Operasi (COO) dari firma kewangan dan juga seorang doktor.

“Dalam hal melindungi PME, seperti yang kita lihat dalam insiden Lazada baru-baru ini, bukan sahaja pekerja biasa yang kami lindungi, malah PME yang memegang jawatan pengurusan. Mereka telah mendapatkan hasil rundingan yang baik.

“Lebih penting daripada itu, kami banyak mengusahakan untuk membantu PME maju,” kata Encik Ng.

Beliau menjelaskan bahawa ramai PME mengambil bahagian dalam inisiatif Jawatankuasa Latihan Syarikat (CTC) NTUC.

Projek-projek Geran CTC ini telah menyebabkan seramai 727 PME dari 61 syarikat menerima kenaikan gaji purata sebanyak 5 peratus di atas kenaikan tahunan mereka atau mendapat manfaat daripada pelan pembangunan kerjaya.

Memastikan keadilan di tempat kerja, membantu dengan kemajuan kerjaya serta penempatan pekerjaan PME merupakan antara sembilan cadangan yang diberikan kumpulan kerja PME NTUC-Snef (Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura) yang dibentuk pada 2021.

Encik Ng telah memberi kemas kini pada 25 April tentang usaha yang dijalankan NTUC sejak cadangan tersebut diutarakan.

Sembilan cadangan itu termasuk:

1. Meningkatkan amalan pekerjaan yang adil melalui penambahbaikan piawaian sumber manusia (HR) dan mengukuhkan tindakan terhadap syarikat yang tidak mematuhi amalan pekerjaan adil;

2. Mengukuhkan teras Singapura dengan mempertingkatkan proses semakan permohonan Pas Pekerjaan (EP) dan memudahkan pemindahan kemahiran kepada PME setempat;

3. Perluas sokongan bagi PME melalui kajian semula perundangan mengenai perwakilan PME;

4. Mengukuhkan sokongan pendapatan pengangguran bagi PME yang menganggur secara bukan sukarela;

5. Membantu PME berumur beralih kepada pekerjaan lebih bermakna melalui sokongan pendapatan jangka pendek;

6. Membangunkan kemampuan kepimpinan warga Singapura;

7. Menyediakan sokongan bimbingan kerjaya yang disesuaikan bagi PME;

8. Membangunkan rancangan pekerjaan berstruktur dan kemahiran untuk PME melalui CTC; dan

9. Mengukuhkan jalinan antara rakan kongsi tiga pihak untuk menyediakan tenaga kerja bagi peralihan ekonomi dan pelaburan.

Antara perkara yang telah dilakukan NTUC, kata Encik Ng, ialah bekerjasama dengan Institut Karyawan Sumber Manusia (IHRP) untuk melatih karyawan HR dalam hal berkaitan keadilan tempat kerja.


“Menjelang akhir Mac 2024, saya gembira mengkhabarkan bahawa 75 peratus daripada 12,000 karyawan HR di Singapura sudah dilatih oleh rakan kongsi tiga pihak dengan kerjasama IHRP,” kata beliau.


NTUC juga menyokong PME dengan meningkatkan perwakilan di tempat kerja melalui kesatuan dan persatuan yang berkaitan. Ini telah menyebabkan lebih banyak kesatuan sekerja kini mewakili PME.


Sehingga April 2024, NTUC mempunyai sebanyak 58 kesatuan dan tujuh persatuan yang berkaitan, tambah Encik Ng lagi.


Dalam pada itu, Pusat Kerjaya di One Marina Boulevard yang dilancarkan Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) NTUC pada April 2024 juga menyediakan sokongan tambahan kepada PME termasuk peluang pekerjaan dan sumber yang diperlukan untuk mengukuhkan lagi kemahiran kebolehpasaran mereka serta sentiasa mengikuti keperluan industri.

Menurut NTUC, hampir 90 peratus mereka yang mendekati Pusat Kerjaya e2i untuk mencari pekerjaan dan mendapatkan bantuan kebolehpasaran merupakan golongan karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET), dengan sekitar separuh daripada mereka mendapat gaji bulanan lebih $8,000.

Ini menandakan “kerelevanan dan tarikan” pusat tersebut kepada golongan tenaga kerja profesional, tambah NTUC.


Namun, dalam menyediakan sokongan kepada PME, NTUC tidak akan mengabaikan tanggungjawabnya terhadap golongan pekerja lain termasuk mereka yang bergaji rendah, pekerja tua dan pekerja bebas, kata Encik Ng.


Beliau menambah akan menyentuh tentang usaha NTUC yang dilakukan bagi pelbagai segmen pekerja dalam ucapan Hari Pekerja beliau pada 1 Mei kelak.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >