Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

Peluang bertemu pemimpin muda Asean dalam program NYC-SIF cetus inspirasi bagi anak muda Melayu SG

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Peluang bertemu pemimpin muda Asean dalam program NYC-SIF cetus inspirasi bagi anak muda Melayu SG

Apr 12, 2024 | 09:45 AM



Apabila berpeluang bertemu dan berinteraksi dengan pemimpin muda Asean yang lain, Naib Presiden Kelab Mendaki, Cik Amalina Abdul Nasir, 30 tahun, mendapat banyak idea serta berpeluang bertukar-tukar kepakaran dengan rakan serantau.

Apa yang dipelajari itu diharap dapat disalurkan kepada industri tempatan kelak, khususnya dalam masyarakat Melayu/Islam Singapura.

Ini diraih setelah beliau mengambil bahagian dalam program Persahabatan Belia Asean (AYF) 2023 yang dianjurkan dengan kerjasama  Majlis Belia Kebangsaan (NYC) Singapura dan Yayasan Antarabangsa Singapura (SIF).

Dalam program itu, beliau menyertai 40 pemimpin belia dari 10 negara Asean pada 28 Oktober hingga 4 November 2023 lalu di Vietnam.

Program yang memasuki tahun kelima itu membuka peluang kepada ramai pemimpin muda di rantau ini agar melibatkan diri, meningkatkan ilmu pengetahuan dan meneroka pengalaman bersama agensi industri awam ataupun swasta.

Malah, ia turut mendedahkan peserta muda kepada pembinaan rangkaian dan kerjasama dalam masyarakat Asean.

PERSAHABATAN BELIA ASEAN (AYF) BUKA PERSPEKTIF BARU

Menurut pemimpin muda yang aktif dalam NYC ini, penganjuran AYF telah membawa perspektif baru terhadap potensi kepimpinan belia dalam merangka kemajuan masyarakat hari ini.

“Saya menerima maklum balas positif tentang program tersebut daripada peserta AYF yang sebelumnya.

“Mereka berpandangan, daya usaha ini mengukuhkan hubungan serantau dan meningkatkan peranan belia dalam masyarakat dan pembangunan sejagat.

“Justeru, saya ingin mengambil peluang menerusi platform ini bagi mencabar diri, berkongsi idea kemahiran serta bertukar kepakaran serantau untuk disalurkan kepada industri tempatan kelak, khususnya dalam masyarakat Melayu/Islam Singapura.

“Antara tajuk perbincangan yang dibicarakan di AYF juga adalah mengenai kepentingan teknologi, kemampanan, kecerdasan buatan (AI), pemerkasaan belia dan pelbagai isu pasaran kerja semasa.

“Di samping itu, saya rasa cukup bertuah kerana berpeluang mendekati para belia di AYF, yang menjelmakan inspirasi luar biasa untuk mengubah masa hadapan masyarakat sekeliling,” kata Cik Amalina.

BERTEMU BELIA HEBAT DARI SELURUH ASEAN

Delegasi belia dalam pelbagai rangkaian badan Melayu/Islam (MMO) itu turut menjelaskan bahawa penyertaan AYF telah menyerlahkan beberapa sosok potensi yang mendukung aspirasi menakjubkan.

Kata lulusan Sarjana di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS) dan Sarjana Muda di Universiti Pengurusan Singapura (SMU) dalam bidang Sosiologi dan Komunikasi Korporat itu, kohort AYF terdiri daripada belia Asean dengan latar belakang yang mengagumkan.

“Saya bertemu seorang pemimpin belia lelaki dari Filipina, yang bergelar kaunselor termuda di wilayahnya. Sikap tanggungjawab dan kewibawaan beliau pada usia muda sebegini, sedikit sebanyak membuat saya terpegun.

“Seorang lagi ahli kumpulan saya merupakan belia wanita dari Laos.

“Beliau mengetuai satu daya usaha kemampanan sehingga syarikat pekerjaannya berjaya menjadi pertubuhan bukan pemerintah (NGO) pertama yang diiktiraf oleh pemerintah di sana berhubung isu kemampanan.

“Peluang mendekati golongan belia ini membuatkan saya berasa sangat beruntung kerana pelbagai pengalaman telah diraih bersama mereka.

“Malah, melihat mereka semua diberi peluang pada umur yang begitu muda, ia sangat memberi inspirasi,” cerita Cik Amalina.

PENGALAMAN BERMAKNA BERSAMA NYC

Cik Amalina, berterima kasih kepada NYC kerana menyediakan sebuah platform pemerkasaan para belia dalam pelbagai isu kontemporari, dan merupakan juga belia pertama yang dilantik dalam Lembaga Gabenor Yayasan Antarabangsa Singapura (SIF).

Tambahnya, agenda yang dibawa oleh NYC sangat bagus untuk menghubungkan golongan belia dengan pemimpin negara menerusi sesi dialog dan persidangan.

“Antaranya, Program Pemimpin Singapura Kita (OSLP) yang diadakan secara tahunan oleh NYC, telah menghimpunkan seramai lebih kurang 50 pemimpin muda Singapura, mendedahkan pelbagai pengalaman, terutamanya bersama pembuat dasar.

“Ia pengalaman yang sangat berharga kerana tidak semua orang berupaya mendapat pendedahan sedemikian.

“Selain itu, saya menghargai peluang bertemu ramai pakar industri dan tokoh korporat untuk memperoleh pelbagai maklumnat tentang keperluan pasaran kerja masa hadapan, khususnya buat golongan belia di luar sana,” jelasnya.

Cik Amalina turut menghargai penubuhan panel belia yang disokong oleh NYC dan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) dalam menyediakan kerjasama antara belia muda Singapura dengan pemerintah demi menghasilkan pelbagai idea pelaksanaan dasar.

Kewujudan panel belia ini membenarkan para belia lebih memahami tentang bagaimana sesuatu pemerintahan berfungsi, menghargai pelbagai pertimbangan dasar yang memberi kesan kepada rakyat Singapura, serta memberi ruang penglibatan dan perbincangan dalam kalangan belia.

“Panel belia ini memberi ruang untuk menyampaikan suara anak muda kepada pemerintah dan saya berterima kasih atas segala peluang memajukan masyarakat,” kata Cik Amalina.

BIMBING BELIA HADAPI KEPERLUAN PASARAN KERJA

Bercakap tentang projek terbarunya, Cik Amalina sedang menantikan beberapa program Mara, satu daya usaha pembangunan kerjaya yang direncana oleh Kelab Mendaki untuk pembangunan potensi pelajar universiti, siswazah dan profesional muda.

“Antara program mengujakan pada September ini ialah Mara Mentoring, anjuran Kelab Mendaki, terbuka kepada pelajar universiti dari tahun kedua hingga keempat. Tujuan utama adalah bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan rakan kongsi kepada pelajar di luar sana.

“Sebelum ini, kami bekerjasama dengan pelbagai firma khidmat profesional yang membawa masuk mentor-mentor daripada industri perbankan, teknologi, kemampanan dan sebagainya.

“Kelab Mendaki juga dalam usaha mengadakan persidangan tahunan Mara (persidangan kerjaya) pada September ini untuk sesiapa yang inginkan rujukan seperti khidmat nasihat profesional, pemeriksaan resume, panduan temu duga dan lain-lain.

“Antara keutamaan lain, kami ingin memperkenalkan lebih ramai rakan kongsi dalam rangkaian sosial di Singapura, seperti penglibatan lebih kurang enam hingga lapan industri korporat dalam persidangan kerjaya musim lepas.

“Dengan kesungguhan mahu meningkatkan diri, ia mampu membawa kejayaan besar dalam masyarakat. Gunakan segala kesempatan dan potensi yang ada seperti yang dilakukan oleh para belia hebat di luar sana.

“Inilah masanya untuk belajar mengutamakan dan munculkan diri anda,” akhiri anggota Panel Perundingan Seni, Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) ini.

Sekilas tentang AYF

Persahabatan Belia Asean (AYF) menyediakan peluang pembangunan kepimpinan, rangkaian dan pembelajaran kepada pemimpin muda yang berusia 27 tahun hingga 35 tahun. Seramai 40 peserta telah menyertai AYF pada 2023.

Pemimpin belia boleh menyertai program ini melalui permohonan secara dalam talian atau dicalonkan oleh pertubuhan yang mereka terlibat. Pemilihan mereka adalah berdasarkan rekod kepimpinan, kepakaran yang relevan, penglibatan atau kesedaran dalam pembangunan Asean.

Minat terhadap AYF semakin meningkat, sejak ia dilancarkan pada tahun 2018, daripada lebih 90 permohonan ketika itu kepada lebih 1,000 pada tahun 2024 ini.

Jika anda seorang belia dan berminat untuk menyertai program di luar negara, khususnya bagi program di Asia Tenggara dan Jepun, anda dijemput mendaftar ke Program Kapal Belia Asia Tenggara (SSEAYP), dianjurkan dengan bantuan NYC Singapura.

Untuk maklumat lanjut, sila lungsuri laman go.gov.sg/ayf23-sseayp.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >