Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21

Rakyat tidak akan jadi minoriti di S’pura: DPM Wong

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Rakyat tidak akan jadi minoriti di S’pura: DPM Wong

May 09, 2024 | 05:34 PM



Singapura akan terus mengalu-alu karyawan asing, namun akan mengekalkan satu paras kawalan supaya rakyat negara ini tidak menjadi minoriti, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

“Jika ia tidak dikawal, saya rasa kita dengan mudah akan dibanjiri (oleh bilangan karyawan asing yang terlalu ramai),” katanya.

Bagaimanapun, karyawan asing diperlukan untuk melengkapi warga teras Singapura, kerana mereka menambah nilai kepada ekonomi, mengisi pekerjaan dalam bidang seperti pembinaan dan marin yang kurang disertai rakyat Singapura, atau dalam bidang baru yang memerlukan kemahiran baru, katanya.

Dengan mengekalkan paras kawalan berperingkat dalam membawa masuk karyawan asing, Singapura boleh meraih manfaat kebaikan untuk semua, katanya.

Beliau memberi contoh Amiriah Arab Bersatu (UAE), yang rakyatnya membentuk kurang 10 peratus daripada jumlah penduduknya.

Encik Wong berkata Singapura “tidak mampu” menghadapi keadaan sedemikian kerana ia tidak bergantung pada hasil minyak dan gas untuk menyediakan keperluan rakyatnya, berbeza daripada negara di Timur Tengah itu.

Disebabkan perbezaan itu, sedang UAE berupaya membawa masuk warga asing secara bebas, pendekatan tersebut tidak boleh diamalkan di Singapura, kata beliau.

Encik Wong bercakap kepada The Economist dalam satu temu bual yang menyentuh pelbagai topik pada 6 Mei, sebelum beliau mengambil alih jawatan perdana menteri Singapura pada 15 Mei.


Encik Wong berkata bahawa tempoh pertumbuhan Singapura yang diraih dengan mudah sudah berakhir kerana negara kini berada pada tahap pembangunan tinggi, dan tenaga pekerja hanyalah salah satu daripada pelbagai isu yang dihadapi.

“Kita akan menjadi (negara) mahal. Maksud saya, anda tidak boleh mengharapkan gaji tinggi dan kos rendah. Gaji dan kos adalah dua bahagian syiling yang sama. Kita mempunyai pendapatan tinggi, kos tinggi, kita perlu terus berinovasi, menyusun semula (perniagaan) dan meluaskan lagi sempadan produktiviti dan inovasi untuk memberi alasan kuat bagi premium ini,” katanya.

Memandangkan cabaran masa depan, Singapura perlu terus menarik pelaburan termaju dan canggih di sini, meluaskan sempadan, dan bersedia menghadapi kehilangan perniagaan tidak berdaya maju, agar sumber yang ada boleh dimanfaatkan dengan lebih baik.

Menurut beliau, ia adalah proses perubahan “yang boleh menimbulkan gangguan ke atas pekerja, tetapi itulah sebabnya kami juga melaksanakan banyak usaha untuk membantu pekerja menjalani latihan semula, kemahiran semula dan peningkatan kemahiran”.

Satu lagi topik yang dibincangkan ialah sama ada pengkategorian identiti etnik Cina, Melayu, India dan lain-lain dalam masyarakat Singapura boleh dihapuskan, dengan penemuduga bertanya apakah Singapura boleh menjadi sebuah masyarakat ‘pasca-kaum’.

Encik Wong menyatakan beliau memang ingin Singapura berkembang menjadi sebuah masyarakat “buta kaum”.

Bagaimanapun, beliau harus bersikap “amat realistik”, memandangkan peristiwa baru-baru ini terus mengingatkan bahawa naluri kaum “amat asas, emotif dan malah terpendam dalam kalangan rakyat”.

“Satu insiden, seorang berwatak buruk, seorang yang cuba menimbulkan kekacauan, sudah cukup untuk menyebabkan virus terpendam ini meluap semula. Sebab itu kita perlu berwaspada dan berhati-hati,” katanya.

Sambil menyifatkan beberapa insiden tersebut sebagai “amat antagonistik” yang boleh menimbulkan permusuhan kaum, beliau menyebut mengenai perbuatan seseorang melontar kata-kata berbaur perkauman terhadap individu daripada masyarakat etnik tertentu kerana dilihat berjalan tanpa memakai pelitup di sebuah taman, selain reaksi kurang senang sebilangan rakyat Singapura terhadap ketibaan ramai pelawat dari India.

Dalam temu bual itu, Encik Wong, dikenal pasti sebagai perdana menteri pertama yang dilahirkan selepas kemerdekaan Singapura, ditanya tentang bagaimana sikap dalam kalangan generasi muda telah berubah.

Encik Wong berkata bahawa nilai dan prinsip yang membolehkan Singapura mencapai kejayaan hari ini, seperti meritokrasi, tidak menerima rasuah dan keharmonian kaum, kekal utuh.

Pada masa yang sama, walau terdapat perubahan, Encik Wong berkata golongan muda yang beliau temui ingin berusaha dan bekerja keras demi aspirasi mereka sendiri.

Beliau juga berkata langkah-langkah sedang diambil untuk merealisasikan matlamat dalam Hala Tuju Singapura.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >