Subuh
5:36
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

RLAF kumpul dana bagi Gaza pada Ramadan

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

RLAF kumpul dana bagi Gaza pada Ramadan

Mar 06, 2024 | 06:51 PM



Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) akan menjalankan satu lagi kempen mengumpul dana bantuan kemanusiaan di Gaza pada Ramadan ini, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

Butiran lanjut akan diberi dalam masa terdekat, kata beliau.

RLAF menjalankan kempen serupa sebelum ini pada Oktober 2023.

Dalam ucapannya menggulung perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) berhubung masyarakat Melayu/Islam, Encik Masagos menyentuh tentang isu peperangan di Gaza yang menjejas perasaan ramai dalam masyarakat di sini.

Akur peperangan itu adalah isu yang sangat meruntun hati orang ramai, beliau berkata meskipun jauh dari Gaza, masyarakat Muslim di sini tetap terhubung dalam hati dan fikiran, serta sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka.

“Dalam banyak sesi perbincangan mengenai krisis ini bersama masyarakat, saya dan rakan-rakan Anggota Parlimen akur rasa sedih, kecewa dan tidak berdaya yang ramai luahkan. Kami mendengar curahan hati masyarakat dan memahami sentimen ini,” kata Encik Masagos.

Lebih 30,000 jiwa terkorban dan angka korban dijangka terus meningkat di Gaza, tambah Encik Masagos, dan tindak balas tentera Israel telah melampaui batas. Beliau berkata pembunuhan beramai-ramai mesti dihentikan.

Beliau mengulangi gesaan Singapura agar gencatan senjata dilaksana dengan segera supaya bantuan kemanusiaan dapat disalurkan secepatnya kepada mereka yang memerlukan.

“Kami komited menyokong orang awam di Gaza, dan Singapura bakal menghantar bekalan bantuan kemanusiaan ketiga melalui Jordan, sebagaimana yang dikongsi Menteri Vivian (Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan) minggu lalu.

“Bagi menyokong usaha Singapura menghulurkan bantuan kemanusiaan dan terus membantu mereka yang terjejas oleh krisis ini, RLAF akan menjalankan satu lagi kempen mengumpul dana kemanusiaan bagi Gaza pada Ramadan ini. Kami mengalu-alukan rakyat Singapura tampil dan menderma,” ujar Encik Masagos.

Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya terus teguh bersatu dan memperkukuh perpaduan. Ini lebih-lebih lagi dengan ketegangan geopolitik dan ekonomi sejagat yang tidak menentu, yang akan menjadikan masa hadapan lebih mencabar.


Encik Masagos berkata isu-isu yang dihadapi akan menjadi lebih rumit, malah dapat memecahbelahkan masyarakat serta menguji keteguhan dan perpaduan Singapura sebagai satu negara.

“Umat Islam bakal menyambut bulan suci Ramadan minggu depan. Marilah kita sama-sama perbanyakkan doa memohon keamanan dan perlindungan – bagi mereka yang dilanda bencana dan cabaran, bukan sahaja bagi penduduk Gaza, malah di tempat lain di dunia dan juga di tanah air kita,” kata Encik Masagos.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >