Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18

Sekolah, pendidik perlu tingkat upaya bagi hadapi perubahan dunia: Chun Sing

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Sekolah, pendidik perlu tingkat upaya bagi hadapi perubahan dunia: Chun Sing

Dec 28, 2023 | 08:43 PM



Meskipun sistem pendidikan Singapura telah mempamerkan prestasi baik mengikut metrik semasa seperti kajian penanda aras antarabangsa, ia tidak dapat mengelakkan perubahan sejagat yang pesat.

Ini termasuk persaingan geopolitik dan perubahan demografi serta teknologi, kata Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing.

Justeru, sekolah dan pendidik tidak boleh leka, dan terdapat keperluan memaksimumkan keupayaan untuk terus berkembang maju dalam dunia yang cepat berubah, tambahnya.

Encik Chan berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelantikan dan Penghargaan Pengetua yang diadakan di Hotel Shangri-La pada 28 Disember.

Sebanyak 52 sekolah bakal diterajui pengetua baru pada 2024.

“Kita telah melakukan yang terbaik berdasarkan matriks semasa, tetapi itu bukanlah takrif kejayaan kita. 

“Kita perlu sentiasa berwaspada tentang kuasa yang sedang dan akan memberi kesan kepada kita.

“Sebagai pemimpin dalam perkhidmatan pendidikan, adalah menjadi tugas dan tanggungjawab kita untuk melihat lebih jauh ke hadapan dan bertanya pada diri sendiri apakah kita akan terus cemerlang dalam matriks esok juga,” kata Encik Chan.

Beliau menambah bahawa pengetua sekolah memainkan peranan penting sebagai pemimpin yang boleh meningkatkan prestasi kakitangan mereka dan membuat penilaian mengenai cara menambah baik sistem sedia ada.

Mereka juga perlu bukan sahaja membantu pelajar menghasilkan keputusan baik buat masa ini, malah menyediakan asas untuk masa depan mereka.

Selain itu, pengetua perlu menghimpunkan guru daripada generasi berbeza yang mempunyai aspirasi dan keperluan yang pelbagai, serta pelajar yang kini mempunyai akses mudah kepada pelbagai sumber maklumat, tambahnya.

Sementara itu, dalam satu kenyataan, Kementerian Pendidikan (MOE) mengatakan langkah melantik pengetua baru adalah sebahagian daripada usahanya menyuntik perspektif baru dan berkongsi amalan terbaik antara sekolah di Singapura.

Dalam kalangan mereka yang dilantik, 15 pengetua akan mengalas peranan itu buat kali pertama, menandakan satu langkah penting dalam kerjaya pendidikan mereka.

Sementara itu, 37 pengetua adalah pengetua berpengalaman yang akan bertukar ke sekolah baru, mencerminkan kepercayaan MOE terhadap kebolehan warga pendidik sedia ada untuk terus memimpin sekolah mereka dengan berkesan.

MOE berkata proses pelantikan dan penggiliran pengetua membolehkan sekolah meraih manfaat daripada perspektif baru, dan membolehkan pengetua berpengalaman berkongsi amalan terbaik di seluruh sekolah.

“Pengetua kami akan berpeluang untuk meluaskan pengalaman mereka dan mengukuhkan usaha yang telah dilakukan sekolah baru mereka,” kata MOE.

Encik Chan menggesa pengetua yang baru dilantik supaya mencipta pengalaman tulen bagi pelajar agar mereka dapat mengukuhkan pembangunan Kecekapan Abad Ke-21, atau 21CC, serta sifat-sifat pelajar sebagai pencipta, penyambung dan penyumbang.

Semua itu, menurut beliau, memerlukan idea dan inovasi baru.

“Kita memerlukan pengetua kita untuk terus mencuba. Kita kena terus mencuba lagi. Kita tidak akan gagal melainkan kita berhenti mencuba.

“Ada banyak idea yang baik dalam kalangan kita semua, dan jika setiap sekolah berkongsi idea inovatif setiap tahun, kita akan mempunyai sekitar 350 idea baru untuk semua sekolah kita mencuba setiap tahun,” ujarnya. 

Selain pelantikan pengetua baru, MOE merakamkan penghormatan kepada sumbangan pengetua dan pegawai kanan pendidikan yang akan bersara yang pernah berkhidmat dalam jawatan kepimpinan di sekolah sebelum ini.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >